|
|
JULFEKAR merupakan komposer yang bertanggungjawab mendidik dan memperkenalkan penyanyi Farawahida dalam persada seni suara tanah air enam tahun lalu.
Bukan setakat itu sahaja, malah komposer dan penulis lirik berasal dari Sabah ini turut menaungi penyanyi berkulit hitam manis itu di bawah syarikat rakaman miliknya, Millenium Art Sdn. Bhd., sejak lima tahun lalu.
Semua itu dilakukan Julfekar bagi memudahkannya membimbing serta mengangkat nama Farawahida setanding dengan penyanyi popular masa kini.
Sebab itu, tidak keterlaluan jika dikatakan hubungan Julfekar dan Farawahida bukan setakat ibarat guru dan murid tetapi juga seperti abang dan adik.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini hubungan baik itu sedikit tercalar apabila timbulnya rasa tidak puas hati terutamanya berhubung kontrak membabitkan penyanyi tersebut.
Menurut dakwaan Julfekar, penyanyi yang berasal dari Taiping, Perak itu sukar dihubungi sejak kebelakangan ini menyebabkan berlakunya masalah komunikasi di antara mereka.
Malah, beliau yang juga penulis lirik terkenal tanah air turut mendakwa ekoran masalah itu penyanyi itu telah melanggar kontrak yang telah dipersetujui sebagai artis di bawah naungan Millenium Art Sdn. Bhd.
"Farawahida mengikat kontrak 5 + 1 di mana kontrak itu mengambil masa lima tahun dan satu tahun lagi merupakan pilihan syarikat rakaman sama ada mahu menyambungnya atau tidak.
"Kontrak itu masih ada setahun lagi tetapi dalam tempoh itu dia telah melanggar kontrak tersebut. Farawahida misalnya, telah muncul mengadakan persembahan pentas dalam siaran langsung pertandingan akhir Bintang RTM 2009 Ahad lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
"Dia muncul mengadakan persembahan itu tanpa mendapat kebenaran daripada Millenium Art Sdn. Bhd. Terma itu terdapat dalam kontrak yang telah kami tandatangani sebelum ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sehubungan itu, Julfekar bercadang untuk menyaman penyanyi itu kerana didakwanya telah melanggar kontrak perjanjian tersebut.
Buat masa ini jelas komposer itu, dia sedang berbincang dengan peguamnya dan bercadang untuk mengadakan sidang akhbar bagi menjelaskan kemelut yang sedang berlaku itu.
Ganti rugi
"Saya bercadang untuk menyaman Farawahida sebanyak RM231,000 bagi menuntut ganti rugi atas pelanggaran kontrak itu. Selain itu, saya juga akan menambah jumlah saman itu sebanyak RM200,000. Jadi jumlah keseluruhan ialah RM431,000.
"Jumlah tambahan itu adalah atas usaha dan kos yang telah saya belanjakan selama hampir enam tahun membimbing serta menaikkan namanya sebagai penyanyi," ujarnya.
Bukan setakat melanggar kontrak, malah Julfekar turut mendakwa penyanyi itu seakan-akan mahu melarikan diri dan enggan bekerjasama dengannya biarpun kontrak di antara mereka belum tamat.
Ekoran masalah komunikasi itu menyebabkan beliau tidak dapat menghubungi Farawahida bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
"Masalah komunikasi antara saya dan Farawahida sudah wujud sejak 6 Februari lalu di mana sejak saat itu saya tidak bertemu dengannya. Saya sukar untuk menghubunginya kerana difahamkan dia pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.
"Alasannya dia mahu lari daripada saya kerana mendakwa selama ini saya mengongkongnya. Malah, saya dapat tahu Farawahida juga mendakwa saya tidak suka dengan keluarganya," katanya.
Justeru, beliau berharap agar penyanyi itu tampil bersemuka dengannya bagi menyelesaikan masalah itu dengan cara yang baik sebelum tindakan undang-undang diambil.
"Setakat ini saya belum berpeluang bersemuka dengan Farawahida kerana tidak dapat menghubunginya, telefon bimbitnya juga tidak berjawab.
"Tetapi baru-baru ini dia ada menghantar sepucuk surat mahu menarik diri serta merta daripada Millenium Art Sdn. Bhd., atau berhenti kerja 24 jam. Masalahnya ini bukannya kerja, tetapi kontrak sebagai artis rakaman," jelasnya lagi.
Hits cuba menghubungi Farawahida melalui telefon bimbitnya tetapi gagal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: