Thursday, July 2, 2009

Jiwa setia ikon rock


KREDIBILITI Ella sebagai ikon rock negara tetap utuh apabila berjaya bertahan sehingga 25 tahun dalam industri seni.


RASA seperti baru semalam anak kelahiran Klang, Selangor ini menjalani kehidupan sebagai seorang anak seni dan menghiburkan khalayak menerusi lagu-lagunya yang cukup malar segar itu.

Tapi hakikatnya, sudah 25 tahun Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminuddin menyelusuri kehidupan sebagai seorang artis yang dunianya penuh pahit dan manis.

Selama tempoh itu jugalah, dia berjaya mengekalkan dan mencipta rekod tersendiri sehinggakan takhtanya sebagai Ratu Rock negara sukar sekali dikekang oleh sesiapa.

Biarpun dalam usianya yang sudah pun mencecah 43 tahun, dia masih lagi menjadi pujaan dan apa pun kata orang tentang dirinya, tetapi dia dilihat masih lagi relevan dalam industri seni tempatan.

Usaha keras dan tidak ambil pusing dengan kata-kata orang sekeliling merupakan resipi kejayaan Ella untuk terus bertahan dalam bidang seni.

Mungkin agak klise tetapi persoalan cinta dan perkahwinan merupakan soalan wajib yang tidak akan terlepas diajukan kepada penghibur yang cukup terkenal dengan sifat manja ini.

Saat diajukan soalan cepu emas itu kepadanya pada majlis pelancaran album kompilasi terbarunya, Greatest Hits di Bangkok Jazz, Kuala Lumpur, baru-baru ini, media 'dikejutkan' dengan jawapan Ella terhadap persoalan cintanya.

Tidak seperti kebiasaannya di mana dia begitu terbuka membincangkan tentang kisah cinta dan perkahwinan tetapi kali ini, Ella mengunci rapat bibir mungilnya dalam menjawab pertanyaan pihak media yang setia menanti.

Hanya bayangan yang kabur sahaja diberikannya apabila memberikan jawapannya tentang sang arjuna yang bertakhta di hatinya kini.

"Saya tidak mahu cakap tentang soal cinta dan perkahwinan buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah hidup saya sememangnya bahagia dan semuanya berjalan dengan lancar.

"Siapakah orangnya? Dia hanyalah orang biasa dan tiada kena-mengena dengan bidang seni. Kalau boleh, saya tidak mahu memperbesarkan lagi isu ini kerana saya perlu menjaga hati banyak pihak termasuk ibu saya dan keluarganya.

"Soal rezeki, jodoh, maut dan pertemuan semuanya Allah SWT yang tentukan. Saya hanya berserah kepadaNya untuk menentukan bilakah saya akan akan bergelar seorang isteri. Apabila sampai waktunya, anda akan terima juga kad undangan saya," jelas pelantun lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu ini dalam tawa manja yang sudah menjadi identitinya itu.

Namun Ella menegaskan, dia tidak pernah takut dengan perkahwinan. sebaliknya kehidupan solo yang dilaluinya sejak sekian lama, ada kalanya membuatkannya gusar seandainya hidup berdua kelak.

"Perkara wajib seperti berkahwin memang harus dipercepatkan bila kita sudah bersedia dan berkemampuan tapi ini semua kerja Allah. Dia yang tentukan segala-galanya," ujarnya ringkas sambil ditemani kakak tersayang yang juga pengurusnya, Jojie.

Mungkin Ella tidak mahu lagi terlalu bercerita tentang cinta dan perkahwinan kerana bimbang apa yang dirancang tidak akan menjadi. Untuk itu, dia menyerahkan kepada kuasa Sang Pencipta untuk menentukan jodohnya.

Menutup kisah itu, Ella lebih galak dan teruja untuk berkongsi cerita tentang perkembangan terbaru dalam karier seninya.

Cukup popular lewat ini menerusi lagu terbarunya, Puisi Hamba yang dimuatkan dalam album Greatest Hits, kakak kepada penyanyi Korie ini menjelaskan ia merupakan lagu pembuka selera untuk peminatnya sebelum dia tampil dengan album terbarunya selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Ironinya, album Greatest Hits menyaksikan Ella bagaikan sirih pulang ke gagang apabila ia diterbitkan oleh syarikat rakaman pertamanya, Warner Music.

Mempunyai keserasian

Selain Puisi Hamba, dua buah lagu baru yang dimuatkan dalam album kompilasi berkenaan adalah Jiwa Setia dan Mencari yang merupakan ciptaan komposer baru, Amir manakala liriknya pula nukilan Kerang.

Ternyata pelakon filem Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan Hanya Kawan ini mahu mencuba sentuhan terbaru dalam lagu-lagunya dengan menampilkan komposer baru itu.

"Kali pertama bertemu dengannya, saya sudah dapat merasakan bahawa Amir merupakan seorang yang berjiwa besar dan mempunyai banyak idea baru.

"Malah, kami juga mempunyai keserasian dan apabila mendengarkan lagu-lagunya saya tidak berfikir panjang untuk menggunakan khidmatnya untuk tiga lagu ini dan juga album saya kelak," ujar bekas vokalis utama kumpulan The Boys selama tiga tahun sebelum tampil dengan album solo pertamanya, Pengemis Cinta pada tahun 1989.

Selain daripada tiga lagu baru itu, Greatest Hits turut menampilkan 29 buah lagu popular dan malar segar Ella antaranya Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Cinta Selembut Sutera, Rama Rama, Kesal, Pengemis Cinta, Standing In The Eyes Of The World serta lagu duet bersama komposer dan penyanyi Indonesia, Deddy Dores yang berjudul Mendung Tak Bererti Hujan.

Mendamba diri selama suku abad dalam dunia seni, memang layak untuk seorang ikon sepertinya untuk membicarakan tentang senario muzik tempatan masa kini.

Dari pemerhatiannya, apa yang dapat disimpulkan tentang industri hiburan masa kini adalah ia masih di tahap yang boleh dibanggakan walaupun tidak sekencang dulu.

"Saya tidak menafikan ada yang bagus dan muzik yang mereka bawakan cukup segar dan menarik. Tetapi, ada juga yang tidak bagus dan mereka sekadar mahu mencari populariti. Bukannya untuk berjuang demi kecintaan terhadap muzik.

"Walaupun sudah lama menyanyi, saya masih berpegang kepada kualiti dan bertahannya saya dalam dunia seni adalah kerana minat yang cukup mendalam. Kerana itulah yang akan dipancarkan menerus karya dan lagu-lagu saya," ujarnya yang mengakui kematangan lagu dan liriknya kini seiring dengan usianya.

Bukan itu sahaja, Ella juga merupakan antara artis tempatan yang cukup gah satu ketika dulu apabila menjadi pilihan promoter untuk konsert solo mahupun konsert jelajah negara.

Ditanya tidakkah dia mahu mengulangi kegemilangan yang pernah dikecapinya itu, dengan melemparkan sekuntum senyum, dia tidak menafikan perkara itu.

"Siapa yang tidak mahu buat konsert? Tetapi, saya percaya pada rezeki dan siapa tahu peluang untuk saya beraksi di konsert akan tiba juga satu hari nanti. Saya rindu juga untuk menghiburkan peminat setia saya yang tidak pernah jemu menyokong sehingga ke hari ini," katanya penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: