Thursday, July 2, 2009

Farrah Fawcett dikenang kerana Charlie's Angels


KEJELITAAN Farrah Fawcett tidak pudar dimamah usia.


TANGGAL 25 Jun lalu, dunia lakonan televisyen (TV) di Hollywood, Amerika Syarikat (AS) khususnya dan dunia amnya diselubungi kesedihan apabila berita kematian aktres Farrah Fawcett diumumkan secara luas menerusi media-media massa.

Bagi kalangan penonton TV pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, nama dan populariti Farrah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana mendiang merupakan salah seorang ikon kaca TV yang terkenal ketika era tersebut.

Malah, bagi para penonton TV di negara ini ramai yang mula mengenali beliau menerusi siri TV Charlie's Angels yang disiarkan pada penghujung tahun 1970-an menerusi watak lakonannya, Jill Munroe bersama Kate Jackson dan Jaclyn Smith.

Memang tidak dapat disangkal siri TV itu merupakan platform terbesar yang telah mengangkat nama Farrah dalam bidang lakonan di mana beliau tetap diingati kerana watak tersebut sehinggalah ke akhir hayatnya.

Farrah yang menghembuskan nafas terakhirnya kerana menderita penyakit barah dubur pada usia 62 tahun mula dikenali di seluruh dunia apabila siri Charlie's Angels menemui para penonton TV pada awal tahun 1976.

Siri TV yang mengisahkan tiga penyiasat wanita persendirian itu bukan setakat menampilkan jalan cerita yang menarik tetapi juga menyerlahkan kejelitaan Farrah sebagai antara tarikan utama selain Kate Jackson dan Jaclyn Smith.

Kejelitaan Jill Munroe lakonan mendiang dalam Charlie's Angels turut diperkuatkan lagi dengan aksinya yang lasak, bijak menyamar dan kebolehannya dalam seni mempertahankan diri telah menambahkan lagi populariti mendiang dalam siri TV itu.

Selain pelakon popular TV, beliau yang meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi Khamis lalu di Hospital Santa Monica, Los Angeles, AS, juga dikategorikan sebagai salah seorang ikon dalam dunia fesyen pada ketika itu.

Tentunya ramai peminat mendiang yang masih ingat akan rambut berombak manja paras bahu berwarna perang yang digayakan oleh beliau telah menjadi ikutan ramai penggemar fesyen pada dekad tersebut di seluruh dunia.

Gaya potongan rambutnya itu yang menjadi ikutan ramai wanita turut mendapat jolokan khusus iaitu 'Farrah Hair' telah mendapat liputan meluas daripada pelbagai media massa seperti saluran TV Redd Foxx dan ABC serta majalah Dynamite yang cukup berpengaruh pada masa itu.

Jurucakap Farrah, Paul Bloch berkata, aktres itu bukan setakat popular menerusi kaca TV tetapi kecantikannya turut menjadi hiasan banyak majalah yang menyiarkan poster-poster mendiang di dalamnya dan menjadi koleksi kebanyakan remaja.

"Poster Farrah yang menyiarkan aksinya dengan memakai baju mandi merupakan antara poster yang menjadi perhatian ramai pada tahun 1976 apabila ia dicetak berjuta-juta keping," katanya mengulas tentang kecantikan aktres itu.

Syarikat Pro Arts Inc. yang menampilkan idea bagi penerbitan poster-poster mediang ketika zaman mudanya yang kebanyakkannya bolehlah dikatakan cukup memberahikan berjaya dijual sehingga 12 juta keping di AS!

Ibu kepada seorang anak lelaki, Redmond, 24, ini mula menyepikan diri daripada dunia lakonan terutamanya pada awal tahun 2006 apabila penyakit barah yang dihidapinya mula dikesan oleh doktor.

Bagaimanapun, penyakit yang dideritainya itu tidak melemahkan semangat juangnya untuk meneruskan kehidupannya sama seperti para penghidap penyakit barah yang lain.

Pasangan Farrah, Ryan O'neil yang menemaninya sejak sekian lama turut terharu dengan ketabahan aktres itu melawan penyakit terbabit sehinggalah ke penghujung hayatnya.

"Mesej utama yang ingin disampaikan oleh Farrah ialah supaya setiap orang tidak ada sikap putus asa walau apa juga cabaran yang datang menimpa. Perjuangan hidup harus diteruskan," dedah O'Neil yang telah melamar Farrah sebagai isterinya pada awal bulan lalu.

Sayangnya, sehingga ke akhir hayat Farrah, mendiang tidak berkesempatan mengikat tali perkahwinan dengan aktor tersebut.

Farrah yang pernah berkahwin dengan pelakon siri TV Six Million Dollar Man, Lee Majors juga cukup popular sebagai model iklan pelbagai barangan keperluan harian di AS selepas lakonannya dalam Charlie's Angels menjadi perhatian ramai.

Wajah-wajah jelita mendiang dalam pelbagai gaya yang seksi banyak terpampang dalam barangan seperti kemeja-T, shampu, malah rambut palsu yang berteraskan fesyen rambut yang dipopularkannya itu turut mendapat sambutan para peminatnya.

Antara jenama barangan yang pernah menggunakan wajah Farrah sebagai model ialah krim Noxema, ubat gigi Ultra Brite, shampu Wella dan banyak lagi hingga menjadikannya sebagai salah seorang model terkemuka pada era kegemilangannya itu.

Mendiang yang mula berlakon sebagai pelakon undangan dalam siri TV I Dream of Jeannie pada 1968 hingga 1969 juga terus diingati gara-gara impak tarikan Charlie's Angels yang dilakonkannya.

Buktinya selepas lebih 30 tahun, pada 2004 sebuah syarikat produksi di AS telah menerbitkan sebuah dokumentari berjudul Behind The Camera: The Unauthorized Story of Charlie's Angel yang memaparkan kehebatan siri TV tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: