Wednesday, July 1, 2009

Bakat Hafiz makin terserlah


PERASAAN rendah diri, kurang yakin serta kalut dalam semua segi mungkin dilihat sebagai kekurangan dan kelemahan Hafiz Halim atau Hafiz, 21.

Bagaimanapun, semua aspek negatif itu sudah dibuang jauh apabila menyertai uji bakat program realiti Anak Wayang.

Beraksi di hadapan kamera juga bukan masalah bagi Hafiz kerana pernah menimba pengalaman sebagai pelakon selama tiga tahun.

Antaranya drama Kami, Ghost musim kedua, pementasan teater serta terbaru, Gadis Kosmo.

Namun pemuda dari Cheras, Kuala Lumpur ini mempunyai alasan sendiri menyertai Anak Wayang.

"Kurang yakin, rendah diri serta kalut banyak mempengaruhi gaya serta keperibadian saya.

"Walaupun sudah tiga tahun jangkau usia pembabitan saya dalam dunia lakonan, itu masih belum mampu melenyapkan sahsiah negatif ini.

"Personaliti buruk itu akhirnya memberi komplikasi kepada perjalanan karier lakonan apabila ada sesetengah pengarah tidak yakin dengan kemampuan saya untuk menjiwai sesuatu watak.

"Justeru, menerusi Anak Wayang, saya yakin sikap negatif ini dapat diatasi dengan baik melalui bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman.

"Malah, penyertaan saya dalam Anak Wayang untuk menimba ilmu lakonan.



"Sejujurnya, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai dunia lakonan merangkumi lontaran suara, gaya tubuh badan serta menjiwai watak secara betul.



"Walaupun sudah membabitkan diri dalam beberapa drama atau pementasan teater, namun itu belum mampu membantu saya menyelami dunia lakonan dengan sebetulnya.

"Saya juga ingin belajar strategi menyatukan semua emosi merangkumi sakit, gembira, sedih, dan sebagainya bagi melahirkan satu penjiwaan watak lakonan yang berkesan," katanya ketika ditemui di majlis sidang media mengumumkan keputusan minggu kelima Anak Wayang untuk watak kuncu samseng, baru-baru ini.

Minggu lalu menerusi rakaman Pentas Anak Wayang yang dihoskan Rusdi Ramli, menyaksikan tugasan merebut watak kuncu samseng ditawarkan kepada seorang daripada lima peserta yang bertanding.

Mereka ialah Mohd Shah Rezza Abdul Rahman (Msreza), 24, Rosli Mohd Nor (Murshed), 34, Afian Giman (Yanz), 31, Yufazli Yusof (Yuzz), 26, dan Hafiz.

Dalam merebut watak itu, mereka perlu menghadapi dua tugasan spontan selama dua minit dibantu pelakon terkenal tanah air.

Untuk watak kuncu samseng, mereka dibantu Dynas dan Fizz Fairuz.

Tugasan kedua pula, peserta diminta berlakon dalam drama sebabak Sepetang Di Stesen Bas di layar hijau dalam tempoh satu minit 30 saat dibantu Almy Nadia.

Selepas dua tugasan itu, penonton berpeluang menyaksikan lakonan mereka menjiwai watak kuncu samseng dalam babak diarahkan Ahmad Idham.

Rata-rata peserta pada minggu terbabit berupaya menjiwai watak biarpun pada awalnya sedikit kelam-kabut ketika menjayakan tugasan pertama.

Jika lakonan spontan berdasarkan emosi diberi muncul cabaran pertama rasanya lebih berpihak kepada Yanz, yang beraksi dalam babak peminat fanatik bola sepak, ujian skrin hijau pula menonjolkan keupayaan Hafiz ketika menjayakan tugasan kedua bersama Almy di stesen bas.

Bagaimanapun, keputusan juri tidak menyebelahi Msreza, Murshed dan Yuzz apabila mereka disingkirkan pada sesi rakaman itu.

Justeru, hanya tinggal Hafiz dan Yanz untuk dinilai penonton menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Undian bermula Jumaat, jam 10.30 malam dan berakhir Ahad, jam 12 tengah hari.

Watak kuncu samseng akhirnya menjadi milik Hafiz apabila berjaya meraih undian SMS sebanyak 56 peratus berbanding Yanz 44 peratus.

Keputusannya diumumkan Isnin lalu menerusi Panggung Anak Wayang: Kecuali Cintamu yang disiarkan menerusi Astro Prima, jam 9 malam.

"Keputusan ini memang amat mengejutkan dan saya sendiri langsung tidak menjangka kemenangan ini kerana peserta lain tidak kurang hebatnya.

"Alhamdulillah, berkat doa keluarga, pertolongan tenaga pengajar dan rakan serta pengalaman sebagai pelakon, akhirnya sedikit sebanyak membantu saya menghadapi setiap cabaran sebagai seorang peserta Anak Wayang," kata Hafiz.

Menyentuh pengalaman selama tiga tahun sebagai pelakon dikira tidak adil kepada peserta lain, kata pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Multimedia, Cyberjaya, itu semua bergantung kepada rezeki juga.

Tambahnya, tiga tahun pengalaman di lokasi tidak sama dengan cabaran yang dilalui sepanjang seminggu menyertai persaingan Anak Wayang - Minggu Kelima bagi merebut watak kuncu samseng.

Malah, katanya, banyak cabaran baru seperti tugasan secara spontan, sekali gus menguji kreativitinya sebagai pelakon.

Sementara itu, Yanz dari Muar, Johor mengakui sedikit kecewa apabila gagal meraih watak ditawarkan namun tidak menanggap ia sebagai noktah kepada bidang lakonan yang diminatinya.

Bapa dua anak, Mohd Nurhakimi, 9 dan Mohd Nurhazrin, 7, berkata, dia tidak mahu bersikap hipokrit kerana Anak Wayang adalah satu pertandingan yang berupaya membawa seseorang ke peringkat lebih baik.

"Sejujurnya, saya agak terkilan kerana tidak berjaya ke peringkat seterusnya.

"Namun, itu tidak bermaksud saya tidak suka atau dengki dengan kemenangan Hafiz. Bagi saya, dia seorang yang baik serta berpotensi besar dalam industri ini.

"Lagipun, dalam pertandingan kita tidak boleh menidakkan kebolehan setiap peserta. Sesiapa saja yang diangkat sebagai pemenang berhak menerimanya kerana semua peserta sudah mencuba yang terbaik dengan tunjuk ajar tenaga pengajar selama di kelas.

"Mungkin, kali ini rezeki dia. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berjaya sampai ke tahap ini dan mendapat sedikit pengalaman asas lakonan dari tenaga pengajar berpengalaman serta rakan yang lain," katanya.

Yanz yang pernah menjayakan drama Suram Seri Pengantin, Rahsia Hati, Wardi Rahmah dan Bukan Pintaku mengakui seronok apabila digadingkan dengan Dynas dan Fizz.

"Ketika menjayakan tugasan pertama peminat fanatik bola sepak, gementar memang ada, tetapi bantuan daripada dua pelakon berpengalaman ini membantu saya menyelusuri tugasan itu.

"Biarpun tidak berjaya ke peringkat seterusnya, saya akan terus dalam bidang lakonan kerana inilah yang saya inginkan," katanya.

Sementara itu, juri tetap, Nasha Aziz berkata, dia menyukai lakonan Hafiz yang dilihatnya mempunyai pengetahuan sebelum melakonkan sesuatu watak.

"Untuk tugasan pertama, lakonan Hafiz agak kelam-kabut sedikit. Mungkin, gementar, tetapi bagi tugasan berikutnya, Hafiz dapat menjiwai watak dengan baik serta mempunyai kreativiti tersendiri dalam membuatkan sesuatu babak itu menarik ditonton.

"Lontaran suara dan gerak tubuh badan pun, boleh dikirakan bagus berbanding tugasan pertama," katanya.

Pengarah Rashid Sibir yang juga juri tetap berpendapat, semua lima peserta bertanding merebut watak kuncu samseng mempunyai potensi untuk digilap sebagai pelakon.

"Banyak perlu dipelajari sekiranya mahu menjadikan lakonan sebagai karier. Yang tidak berjaya untuk peringkat seterusnya, bukanlah satu penamat usaha.

"Malah, ia adalah satu titik mula ke arah perjuangan yang lebih mantap.

"Saya lihat Hafiz, berupaya menghidupkan suasana dan dia mempunyai topik atau idea ketika menjayakan tugasan. Malah, saya lihat Hafiz bukan saja komited tetapi berupaya menjiwai watak dengan baik," katanya.

Untuk minggu keenam Jumaat ini, lima lagi peserta bakal menyahut cabaran merebut watak pembantu peribadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: