|
|
KEMATIAN Raja Pop, Michael Jackson pagi Jumaat lalu memberi pengaruh besar kepada dunia hiburan antarabangsa. Hakikatnya, peminatnya di seluruh dunia berkongsi kesedihan itu dan penghormatan mereka masih diteruskan. |
Bagi peminat Jackson di negara ini, pastinya konsert History Tour In Concert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1996, meninggalkan kenangan manis.
Kunjungan pertama kali Jackson ke sini memberikan kenangan yang sukar dilupakan. Antara peminat yang pernah bertemu Jackson dan akan terus mengingati kenangan manis itu ialah Pengarah Hotel Concorde, Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir yang menjadi antara individu bertanggungjawab membawa penyanyi itu ke sini.
Di sebalik kejayaan konsert itu, khabarnya Jackson pernah merancang untuk mengadakan konsert di sini sekali lagi, tetapi ia hanya tinggal kenangan. Apa yang pasti, sepanjang lima hari berada di sini dulu, Jackson sempat meluahkan perasaan dan pengalaman yang pernah dilaluinya sejak bergelar penghibur terkenal dunia kepada Syed Yusof.
Biarpun pelbagai persoalan masih menyelubungi Jackson termasuk soal peribadi mengenai punca kematian dan tarikh sebenar beliau memeluk Islam, hanya anggota keluarga Jackson dan kenalan terdekat mengetahui cerita sebenar.
Ikuti temu bual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hmetro.com.my) bersama Syed Yusof yang sudi berkongsi kenangan bersama Jackson ketika mengadakan konsert di sini termasuk pengalaman peribadi sebagai rakan karib.
SOALAN (S): Apa reaksi Tan Sri sebaik menerima berita kematian Jackson?
JAWAPAN (J): Saya mula terima SMS mengenai kematian Jackson jam 6 pagi daripada rakan Jackson. Memang saya terkejut dengan berita itu. Dua minggu sebelum itu, sebenarnya saya sempat berhubung dengan abang Jackson, Jermaine dan bertanyakan keadaan kesihatan Jackson.
Kata Jermaine ketika itu, Jackson sihat seperti biasa, tetapi saya tidak sangka akan terima berita kematiannya selepas itu.
S: Kesahihan Jackson memeluk Islam masih menjadi tanda tanya ramai peminat. Mungkin ada sesuatu yang Jackson perkatakan mengenai Islam?
J: Walaupun Jackson belum lagi memeluk Islam ketika itu, tetapi beliau sering menunjukkan minat untuk mengetahui Islam dengan mendalam. Ketika kami melalui Masjid Negara menuju tapak konsert di Stadium Merdeka, Jackson bertanya saya nama tempat itu.
Kemudian, Jackson bertanya lagi sama ada peninju Muhammad Ali pernah hadir ke situ. Padanya, Jackson menghormati Muhammad Ali apatah lagi tahu peninju hebat dunia itu memeluk Islam. Jackson sebenarnya turut menghormati negara ini sebagai negara Islam.
Sebelum mengadakan persembahan sulung di sini, saya ada membuat permintaan pada Jackson agar tidak membuat aksi genggam celah kangkang yang menjadi trademark persembahannya sebelum ini. Pada saya, aksi itu tidak sepatutnya dibuat di sini. Nyata, Jackson akur dengan permintaan saya.
S: Benarkan Jackson sudah memeluk Islam?
J: Ketika Jackson berada di sini, dia belum memeluk Islam, tetapi apa yang saya tahu, Jermaine terlebih dulu memeluk Islam. Pernah terlintas di fikiran saya, Jackson akan memeluk Islam kerana beliau asyik bertanya Islam pada saya sebelum ini. Bagaimanapun, saya tidak tahu bila Jackson masuk Islam cuma ia dilaporkan menerusi media antarabangsa.
S: Bagaimana personaliti Jackson secara peribadi?
J: Jackson individu yang mementingkan kesempurnaan. Sebelum konsert di sini bermula, Jackson sudah merancang segala aspek secara serius. Baginya, jika perancangan pada persembahan tidak dilakukan dengan sempurna, Jackson tidak mahu menyanyi.
Pada saya, Jackson mempunyai sifat penyayang dan pemurah. Ketika kami berada di Toys R Us, pusat beli-belah One Utama, Jackson banyak membeli barang mainan untuk kanak-kanak istimewa dan anak yatim. Jackson mempunyai acara lain bersama kanak-kanak istimewa dan anak yatim yang diadakan sebelum konsert berlangsung. Jackson ingin menghiburkan hati peminat ciliknya bersama hadiah mainan itu.
Dalam kunjungan itu, Jackson sanggup menghabiskan masa hingga lima hari di sini. Atas sokongan peminatnya, Jackson mengadakan persembahan selama dua malam yang dipenuhi hampir 100,000 penonton. Jackson juga dikenali menerusi sikap profesional ketika bekerja. Jackson sendiri akan berasa kecewa jika beliau cedera sebelum persembahan.
Sepanjang saya kenal rapat Jackson, beliau pernah mengajak saya berkunjung ke Neverland, Amerika Syarikat. Saya berkunjung ke sana pada 1995 dan Jackson turut menunjukkan kepada saya keistimewaan di situ seperti muzium, haiwan peliharaan dan pawagam teater. Jackson sebenarnya minat untuk menonton kembali persembahannya yang lalu di pawagam itu dan saya juga diajak bersama menonton pada masa itu.
Dalam kunjungan itu, Jackson juga menunjukkan keadaan dalaman rumahnya seperti bilik tidurnya yang tidak mempunyai tingkap dan gambar kenangan beliau bersama anggota keluarganya. Saya juga sempat bertemu Lisa Marie Presly (bekas isteri Jackson) yang menceritakan kepada saya lagu bapanya yang belum dirakam, tetapi diberikan kepada Jackson.
Jackson sebenarnya gembira apabila ada tetamu datang ke tempatnya. Malah, ada rombongan kanak-kanak yang hadir ke situ.
S: Mungkin dapat dikongsi, bagaimana konsert sulung Jackson di sini berjaya diadakan?
J: Sebelum konsert sulungnya di sini menjadi kenyataan, saya dan Jackson sudah beberapa kali bertemu termasuk di New York dan Los Angeles. Bila saya berpeluang bertemunya beberapa kali, saya mengajak Jackson ke Malaysia untuk mengadakan konsert.
Saya fikir Jackson bersetuju untuk mengadakan konsert di sini kerana beliau tahu ramai peminatnya di sini menantikan kunjungannya. Malah, Jackson turut berbesar hati berkunjung ke sini atas persahabatan kami. Ketika mahu mengadakan konsert di sini, Jackson menggunakan tujuh kapal terbang yang membawanya, kru produksi mencecah 200 orang dan pelbagai peralatan persembahan.
Sewaktu Jackson berada di sini, beliau mempunyai impian untuk membina taman permainan di sini. Saya fikir, mungkin Jackson sudah tandatangani kontrak untuk projek itu. Selepas konsert, Jermaine juga beberapa kali hadir semula ke sini untuk berbincang mengenai projek itu, tetapi ia tertangguh akibat krisis ekonomi yang melanda dunia ketika itu.
Saya nampak Jackson bersungguh-sungguh untuk menjalankan projek ini dan mengikut perancangan, beliau mahu wujudkan pelbagai kemudahan di situ seperti kafe, muzium dan perpustakaan. Imaginasi Jackson, beliau ingin peminat merasai pengalaman menaiki permainan roller coaster seperti Superman bila mereka baring sambil berhibur.
S: Kenangan ketika Jackson hadir ke sini?
J: Bagi Jackson, beliau cukup menghargai sokongan peminatnya. Malah, ketika berada di sini, Jackson sering bertanya soal peminat di sini kepada saya. Jackson ingin tahu apa pandangan peminat terhadapnya.
Saya masih ingat ketika saya bawa Jackson pergi ke Toys R Us. Ketika itu, saya sudah melihat ramai peminat menunggunya di situ untuk berjumpa. Lalu, saya beritahu Jackson lebih baik batalkan niat ke situ atas aspek keselamatan.
Namun, Jackson sebaliknya menyatakan beliau tidak kisah dengan situasi itu dan tidak mahu menghampakan harapan peminat yang sanggup menunggunya di situ. Sebaik keluar, Jackson mengambil kesempatan untuk bertemu dan bersalam dengan peminat. Selepas itu, ada satu peristiwa berlaku membabitkan seorang peminat melompat atas kereta kami. Sangka saya Jackson marah, tetapi masih sempat bersalam dengan peminat itu.
Saya sendiri berpeluang menaiki kapal terbang bersama Jackson dari Singapura ke Kuala Lumpur. Dalam kapal terbang itu, dia mempunyai bilik khas dan pramugari. Kami banyak berborak pelbagai perkara dan beliau sering menyatakan perasaan sayang pada semua peminatnya.
Secara peribadi, saya melihat Jackson mempunyai perasaan cinta yang kuat dalam diri. Seperti saya katakan, ke mana saja Jackson pergi, beliau sering bertanya mengenai peminat. Apapun, saya berasa terhutang budi dengan kerajaan Malaysia yang membenarkan Jackson mengadakan persembahan sulungnya di sini.
S: Apakah rahsia Jackson yang mungkin tidak diketahui peminat?
J: Pada saya, Jackson adalah individu yang bijak, proaktif dan inovatif. Beliau sukar untuk tidur malam kerana asyik memikirkan pelbagai perkara antaranya ciptaan lagu dan projek taman permainannya di sini. Mungkin tidak ramai yang tahu, beliau sendiri melukis konsep persembahan.
Pernah lukisan yang dibuang ke dalam tong sampah, saya kutip dan bingkaikan sebagai karya istimewa Jackson. Dalam pada itu, Jackson sering berasa sangat penat selepas persembahan kerana beliau memberikan komitmen 110 peratus. Tidak dinafikan, Jackson hidup dalam tekanan kerana antara faktor orang sekelilingnya yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan. Pada konsertnya ketika itu, Jackson kehilangan AS$500 juta.
Dalam diri Jackson, beliau sering kesunyian dan sering bertanya mengenai ibunya. Pernah ketika mengadakan persembahan di sini, Jackson bertanyakan pada saya sama ada ibunya turut hadir. Selepas konsert itu, hubungan Jackson dan saya sekeluarga menjadi lebih rapat.
Jackson juga sering hubungi saya dan bertanyakan keadaan anak saya, Farhana (kini berusia 18 tahun). Mereka rapat sejak Jackson berada di sini dan Farhana sering ikut ke mana saja penghibur antarabangsa itu pergi.
S: Bagaimana dengan pandangan Tan Sri mengenai pelbagai berita yang dilaporkan media antarabangsa?
J: Ada laporan berita yang saya anggap karut dan sekadar tuduhan. Bagaimanapun, saya akan hubungi Jermaine tidak lama lagi untuk bertanya perkara sebenar mengenai Jackson. Buat masa ini, biarlah Jermaine bersama anggota keluarganya yang lain berehat dan menenangkan fikiran dulu.
Saya sendiri kecewa kerana sepatutnya saya pergi menyaksikan persembahan konsert barunya di London yang dijadualkan 13 Julai nanti. Sebelum ini, saya berhasrat untuk beli koleksi peribadinya yang dilelong di Los Angeles, tetapi acara itu kemudian dibatalkan.
S: Apakah koleksi Jackson yang masih disimpan di sini?
J: Ada beberapa koleksi peribadi seperti baju, cermin mata dan lukisan tangan Jackson yang masih saya simpan dengan baik. Menariknya, ada sekeping lukisan karya Imuda yang ditandatangani Jackson yang menulis Saya Cinta Malaysia. Perkataan itu juga diucapkan Jackson ketika beliau mengadakan persembahan di sini.
Kesemua koleksi peribadi ini ada dipamerkan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur. Sebagai penghormatan, bilik 1818 yang pernah Jackson menginap di sini, diberi nama Michael Jackson Suite.
S: Ada pesanan Tan Sri kepada peminat Jackson?
J: Sebagai peminat, kita kehilangan penghibur luar biasa. Jackson tiada tandingan dengan penyanyi lain kecuali Elvis Presley. Seperti ramai peminat meminatinya, Jackson juga begitu sayang pada peminatnya. Jackson sering merakam kenangan peribadi termasuk bersama peminat menerusi kamera video dan ia ditonton kembali selepas pulang ke rumah. Pada Jackson, kenangan itu menghiburkan dirinya.
Apa yang saya harapkan, peminat tidak terlalu percaya perkara negatif mengenai Jackson. Saya yang kenal rapat dengannya percaya Jackson adalah individu yang berbudi bahasa dan menghormati orang lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: