Wednesday, July 1, 2009

Hani kecewa tapi...


KISAH cinta pelakon dan pengacara jelita, Yasmin Hani Ismail Richardson, 30, dengan kekasih hati, seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai Don Nazar atau Don bukan rahsia lagi.

Malah, gambar 'kemesraan' pasangan sensasi ini heboh diperkatakan orang apabila disebarkan secara meluas di Internet.

Tidak cukup dengan itu, Hani pernah memberitahu pihak media sebelum ini, mereka sibuk kumpul duit sebagai persiapan untuk mendirikan rumah tangga.

Namun, sebagai manusia biasa, kata Hani, dia hanya mampu merancang kerana kuasa Tuhan mengatasi segalanya.

Katanya, cinta yang bersemi selama dua tahun setengah itu terpaksa diakhiri atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Saya sudah kembali solo sejak dua bulan lalu. Saya berasa kecewa teramat sangat dengan apa yang berlaku, tetapi ia hanya sekejap saja.

"Buat apa saya nak buat diri saya merana dan menangis hingga mata bengkak. Jika mata bengkak nanti, bagaimana saya nak bekerja dan terbabit dengan mana-mana penggambaran?

"Justeru, daripada terus bersedih lebih baik saya teruskan kehidupan dan bekerja seperti biasa. Saya yakin setiap kejadian yang berlaku itu ada hikmahnya," katanya.

Apapun, kata Hani, dia dan Don masih berkawan baik sampai sekarang kerana antara mereka sudah kenal hati budi masing-masing.

Akui Hani, ada 'sesuatu' yang berlaku hingga dia terpaksa memutuskan hubungan, tetapi tidak mahu bercerita keburukan orang lain kerana sedar dirinya bukan baik sangat atau sempurna.



Mengenai perancangan untuk berumah tangga pada masa depan, kata Hani, dia memang sudah lama bersedia untuk berkahwin dan sentiasa berfikir ke arah itu.



"Tapi saya bukanlah terdesak untuk berkahwin. Jika ada jodoh, saya kahwinlah, tetapi jika tiada jodoh tidak mengapa. Saya berdoa semoga mendapat jodoh yang baik nanti.

"Sebenarnya, saya bukanlah pemilih sangat dalam soal jodoh. Cukuplah lelaki itu seorang yang berdikari, boleh menanggung diri sendiri, berwawasan, ada unsur humor serta menghormati orang lain," katanya.

Katanya, keluarga terutama ibunya memang risau apabila dia lambat berkahwin, tetapi bapanya pula sebaliknya tidak kisah dia kahwin lambat.

Menurutnya, bapanya lebih bersikap terbuka dalam soal jodoh mungkin kerana dia berdarah Inggeris.

"Saya pula lebih suka bersikap realistik dalam soal jodoh ini. Saya tidak mahu kahwin sebab orang lain dan lepas itu bercerai kerana tidak bahagia," katanya.

Jika bertemu jodoh nanti, Hani menginginkan majlis perkahwinan ringkas dan simbolik.

Katanya, dia pernah meluahkan impian perkahwinannya itu sebelum ini.

"Jika hendak berkahwin, Hani tidak akan buat secara besar-besaran. Saya tidak mahu selepas berkahwin, saya 'pokai' kerana terpaksa membayar pinjaman bank pula," katanya.

Hani turut berkongsi mengenai majlis ulang tahunnya yang ke-30 pada 11 Jun lalu.

Katanya, majlis bertemakan Hani Give Back itu dianjurkan pelakon dan pengacara Sazzy Falak dan empat lagi rakan baik mereka, Aishah Sinclair, Farhan, Winnie dan Zuien.

"Majlis hari jadi saya itu berlangsung di Somo, Mont Kiara. Bagi saya, majlis ini cukup bermakna kerana ia program amal membabitkan rumah anak yatim Nur Salam.

"Selain membawa hadiah, seramai 40 tetamu juga membawa buku untuk disalurkan ke rumah anak yatim yang beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan hiburan oleh Atilia dan Ezlynn. Selebriti lain yang hadir ialah Datuk Yasmin Yusof, Joe Flizzow dan ramai lagi," katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya seninya, pengacara yang menempa nama menerusi program Muzik@Ria dan Ria Sentral ini berkata, buat masa ini, rezekinya lebih murah dalam bidang lakonan.

Katanya, dia baru selesai penggambaran telefilem Cinta Organik untuk RTM.

Selain itu, dua filem lakonannya, Gentayangan arahan Zulkiflee M Osman dan Dua Hati Satu Jiwa arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen dijangka menjengah pawagam pada hujung tahun ini.

"Saya akui rezeki lebih murah dalam bidang lakonan berbanding pengacaraan. Tapi saya memang meminati kedua-dua cabang seni ini.

"Sebenarnya, saya banyak dapat tawaran berlakon drama, tapi mungkin orang tak perasan ia sudah disiarkan di TV. Ramai pihak yang fikir saya mengikat 'kontrak mati' dengan Astro hingga tidak berani menawarkan saya berlakon mahupun mengacara program terbitan mereka sebelum ini.

"Hakikatnya, saya tidak terikat dengan Astro dan kerjaya seni saya diuruskan Aquila Emas Sdn Bhd. Saya juga dapat tawaran buat program Anak Wayang dan Pilih Kasih, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan, akhirnya kedua-dua program itu saya terlepas.

"Terbaru, saya dapat tawaran sebagai hos untuk program raya sebanyak dua episod, Geng Raya untuk TV3. Apa yang menarik saya akan berlakon sebagai suami isteri dalam program ala Amazing Race pula," katanya.

Bagaimanapun, kata Hani, dia mengakui masih merindui program Muzik@Ria yang dikendalikannya sejak 1999 hingga 2007.

Hani terkejut apabila program Muzik@Ria sudah berakhir.

"Terus terang, peminat masih memanggil saya Watcha iaitu tagline saya dalam Muzik@Ria itu sampai sekarang. Ramai peminat memberikan maklum balas supaya saya kembali bersama Muzik@Ria. Maklumlah, saya sudah 10 tahun bersama Muzik@Ria dan Ria Sentral yang dikendalikan dengan Sazzy pula baru setahun (2008)," katanya.



Profil

Nama sebenar: Yasmin Hani Ismail Richardson

Tarikh lahir: 11 Jun 1979

Tempat lahir: Kuala Lumpur

Status: Bujang

Kerjaya: Pengacara dan pelakon

Program TV: Dua Dunia, Disney Clubs, Muzik@Ria, Ria Sentral

Drama: Dilema, Astana Idaman, Chili Jus Pedas, Skuad Elit, 3+1, Campus Rock, Neon, Cinta Tak Bertepi, Ampang Medikal

Filem: Bilut (2005), Cicak-Man (2006), Duyung (2007), Gentayangan, Dua Hati Satu Jiwa (2008) dan Suaka (2009)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: