|
|
UMPAMA bulan jatuh ke riba. Itulah yang boleh dikatakan mengenai pingat Seri Pengiran Diraja Sulu (SPDS) yang diterima penyanyi era 80-an, Salwa Abdul Rahman sempena ulang tahun keputeraan Sultan Sulu dan Borneo Utara, Sultan Rodinood Kiram II. |
Selain Salwa, lima lagi artis tanah air yang menerima pingat dengan gelaran Datuk Seri Pengiran itu ialah penyanyi 60-an, Jeffrydin dan L Ramli, pelakon Mat Sentul, Azizul Khamis serta Sheqal. Justeru, makin ramailah artis tempatan bergelar 'Datuk'.
Apapun, menyorot ruangan Soseh-Soseh (SS) Harian Metro, kelmarin Salwa terkilan dengan apa yang ditulis. Katanya, dia tidak pernah meminta, apatah lagi berharap untuk menerima pingat itu, tetapi apabila orang sudah memberi, takkan mahu menolak pula.
"Dalam soal ini, saya menganggap penganugerahan pingat daripada Sultan Sulu itu sebagai satu penghargaan. Ini kerana, saya mahupun artis lain yang menerimanya selalu mengadakan persembahan untuk baginda. Jadi, ini penghargaan buat kami.
"Namun, jauh sekali untuk saya memintanya. Saya pun sebenarnya tidak menyangka nama sendiri disenaraikan sebagai sebahagian penerima pingat. Apapun, ingin dijelaskan saya sudah tahu mengenai penerimaan pingat itu sejak dua bulan lalu.
"Justeru, benda ini sebenarnya sudah lama dan saya tidak pernah menguar-uarkannya kepada sesiapa termasuk rakan yang mengenali saya. Selama ini, saya diamkan saja dan mereka (rakan) pun tahu selepas berita itu tersiar di akhbar Berita Harian," katanya.
Isteri kesayangan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Subadron Abdul Aziz ini berkata, dia tetap bangga menerima anugerah itu kerana sekurang-kurangnya dapat menaikkan nama negara kepada kerajaan luar.
"Sebenarnya, sebaik mengetahui perkara ini (penerimaan pingat) saya pernah berbincang dengan suami. Kata Subadron, apa salahnya menerima kerana orang sudah memberi kerana itu sebagai penghargaan untuk saya dalam karier.
"Bagaimanapun, saya mengharapkan supaya perkara ini tidak diperbesarkan lagi. Saya sebenarnya malu apabila ia menjadi isu kerana tidak pernah memintanya (pingat). Namun, saya berterima kasih kepada Sultan Sulu dan juga kenalan yang ucapkan tahniah," katanya.
Menurut ahli jawatankuasa (AJK) Biro Penyanyi Persatuan Karyawan ini, dengan penjelasan diberikan dia berharap segala persoalan sudah selesai. Malah, kata Salwa dia lebih senang jika cerita ditulis mengenainya lebih menjurus kepada karier nyanyian.
"Tidak dinafikan, walaupun sibuk dengan aktiviti persatuan, tetapi minat saya pada nyanyian tidak pernah pudar. Sekalipun sedar sekarang ini ramai artis baru muncul, saya masih setia menyimpan impian untuk menghasilkan album baru.
"Saya berharap tahun ini album yang diidamkan itu dapat disiapkan dan menemui peminat. Biarpun hanya memuatkan lima lagu, tetapi saya puas. Sekurang-kurangnya, apa yang saya impikan selama ini dapat direalisasikan," katanya.
Katanya, pembikinan album baru itu masih dalam proses kerana setakat ini sudah mendapatkan tiga lagu. Itu pun lagu ciptaan adik iparnya yang juga anggota kumpulan Sweetchild, Suzahari Abdul Aziz.
"Sekarang saya masih mencari dua lagu diperlukan. Kalau boleh untuk dua lagu ini saya mahu bekerjasama dengan komposer terkenal tanah air. Bukan apa, biarlah dengan mereka yang berpengalaman luas itu saya boleh dapat lagu terbaik.
"Saya betul-betul inginkan lagu yang kuat supaya ia boleh 'meletup' di pasaran. Oleh itu, dalam menghasilkan album ini, saya melakukannya sepenuh hati untuk kepuasan diri. Justeru, saya harus bekerja keras dan memastikan hasil diperoleh berkualiti," katanya.
Salwa berkata, dia akan berusaha gigih demi album barunya itu. Ini kerana sudah terlalu lama dia 'menyepi diri' daripada merakamkan album sendiri. Kalau adapun, tahun lalu dia merakamkan satu lagu Kerana Kamu untuk album kompilasi Anugerah.
Sultan yang menganugerahkan itu bukanlah sultan Sulu Tapi Sultan Pangutaran..jadi gelarannya bukan datu tapi Arung(perempuan) Otoh(lelaki)
ReplyDeletesila ke
http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/hrhkiram.htm
http://www.freewebs.com/faichan14/w7.jpg
http://www.freewebs.com/julabbi_cairo12/Tarsilah%20Brunie%20II%20family%20tree.jpg