Wednesday, July 1, 2009

Fokus, identiti di FMKL 2009

FESTIVAL yang bermaksud perayaan atau pesta secara amnya mampu untuk menggambarkan tentang kemeriahan sesuatu acara yang biasanya diadakan secara besar-besaran.

Ia termasuklah juga festival yang menjadikan muzik sebagai teras pesta atau perayaan dalam acara-acara yang diadakan pada sesuatu festival itu.

Mulai hari ini hingga 5 Julai dan 10 Julai misalnya, berlangsunglah Festival Muzik Kuala Lumpur 2009 (FMKL 2009) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Istana Budaya (IB), Hard Rock Cafe dan Live Centre merupakan tiga lokasi di ibu negara tempat di mana berlangsungnya konsert-konsert yang akan dijayakan oleh para artis tempatan sempena FMKL 2009.

Sayangnya, FMKL 2009 di bawah naungan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu seakan-akan belum melihat peranan serta fokus festival itu dalam skop yang lebih luas.

FMKL 2009 dilihat tidak mempunyai hala tuju yang jelas sebagai sebuah festival yang seharusnya mempunyai identiti yang tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan festival itu hanyalah sekadar mengisi kalender dan aktiviti tahunan agensi di bawah kementerian terbabit semata-mata.

Sepatutnya, JKKN lebih peka, berfikiran jauh dan bersungguh- sungguh dalam memerah idea bagi memastikan kelainan dalam festival tersebut.

Sebagai contohnya, JKKN patut melihat idea dan inisiatif yang telah dilakukan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak yang menganjurkan Festival Muzik Hutan Hujan sejak 11 tahun lalu.

Festival itu jelas mempunyai hala tujunya dengan mengetengah serta memfokuskan kepada muzik-muzik etnik dari lebih 10 negara pesertanya pada setiap tahun.

Santubong dan Kuching menjadi hos festival itu pada setiap Julai atau Ogos di mana ia kini menjadi salah satu festival muzik yang bertaraf dunia.

Cukup jelas, matlamat dan identiti Festival Muzik Hutan Hujan menjadikan muzik-muzik etnik dan eksperimen sebagai suatu platform untuk diketengahkan hingga ke peringkat global.

Ramai juga yang mungkin tidak faham, di manakah rasionalnya FMKL 2009 yang kononnya dianggap sebagai sebuah festival jika ia hanya dijayakan oleh satu atau dua artis sahaja?

Sebagai contohnya, Konsert Generasi Baru yang merupakan salah satu aktiviti FMKL 2009 pada 5 Julai ini di Hard Rock Cafe pukul 11 malam hanya dijayakan oleh kumpulan Meet Uncle Hussain dan Koir Kebangsaan sahaja.

Di manakah perginya banyak lagi kumpulan lain yang boleh dianggap sebagai 'penyanyi atau pemuzik generasi baru' yang sepatutnya turut ditonjolkan pada konsert itu?

Agensi kerajaan itu juga boleh memandang inisiatif yang telah dilakukan oleh Menara Kuala Lumpur yang akan menganjurkan KL Indie Festival pada 3 dan 4 Julai ini di menara keempat tertinggi di dunia itu.

Festival yang masuk tahun kedua itu mensasarkan lebih 10,000 penonton terutamanya golongan remaja termasuklah para pelancong asing yang kebetulan berkunjung ke menara itu.

FMKL 2009 sepatutnya memfokuskan kepada konsep muzik-muzik tertentu, misalnya dengan menghimpunkan para penyanyi pop masa kini di atas satu pentas seperti di Panggung Sari, IB.

IB tentunya akan menjadi penuh sesak jika festival muzik penyanyi-penyanyi pop seperti Jamal Abdillah, Anuar Zain dan sebagainya diadakan di panggung bertaraf dunia itu.

Selain itu, JKKN juga bolehlah menganjurkan konsert muzik-muzik tradisional berbilang kaum seperti Melayu, Cina dan India di Pasar Seni, KL, yang tentunya boleh menarik perhatian para pelancong asing.

Walau apa juga kritikan dan pujian yang akan diterima sepanjang FMKL 2009 berlangsung kelak, ia tentunya mampu untuk mencerminkan kemeriahan sebenar festival tersebut.

Namun, tanpa hala tuju, idea, fokus dan konsep yang jelas, semua pihak terutamanya para peminat muzik akan menjadi bukti sama ada FMKL mampu diteruskan lagi pada tahun depan ataupun tidak!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: