Wednesday, July 29, 2009

Emeer akhirnya juara


SETELAH melalui pelbagai episod, Emeer akhirnya bergelar seorang juara.


SEMANGAT tidak mudah mengalah dan berputus harap menyertai mana-mana pertandingan mencungkil bakat di negara ini sejak beberapa tahun lalu, akhirnya membawa tuah kepada pendatang baru, Mohd. Emeer Iskandar Mohamad Bakri atau Emeer.

Remaja berusia 14 tahun itu baru-baru ini diumumkan sebagai juara Oo La La musim pertama pada konsert akhir yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor 25 Julai lalu.

Emeer berjaya menewaskan dua peserta akhir iaitu Noor Shahida Jamaluddin atau Sha dan Amira Syahida Mohd. Hussin (Amira) yang turut menampilkan persembahan hebat pada malam itu.

Kemenangan Emeer dalam program yang menonjolkan format peserta bergandingan dengan ahli keluarga dalam satu pertandingan itu menjadikan dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dan tiket percutian.

Emeer yang bergandingan dengan bapanya, Bakri Mamat sebelum ini pernah menyertai program My Star LG musim pertama, bergelar finalis World Stars Road To Hollywood 2009, Bintang Kecil dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, usaha saya selama ini yang melibatkan diri dalam bermacam-macam pertandingan nyanyian akhirnya membuahkan hasil.

"Siapa saja yang tidak teruja dan gembira apabila diumumkan sebagai juara Oo La La apabila kali pertama ia dilangsungkan kepada peminat.

"Semangat juang saya yang tinggi untuk bergelar penyanyi ditambah mendapat sokongan yang tidak berbelah-bagi daripada keluarga terutama bapa selama ini ternyata tidak sia-sia.

"Walaupun pernah masuk pelbagai pertandingan sebelum ini, kini dalam Oo La La saya mampu menjadi juara jua," katanya sambil tersenyum ketika ditemui sejurus berakhirnya konsert berkenaan.

Sambung Emeer yang bakatnya diasah sejak di bangku sekolah rendah lagi, dia mula menghadapi masalah selesema sepanjang minggu peringkat akhir Oo La La.

"Waktu itu saya memang tertekan sebab hidung yang tersumbat dan seolah-olah tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk malam akhir Oo La La walaupun sudah menemui doktor.

"Biarpun begitu, saya tetap berusaha sedaya-upaya untuk memperlihatkan persembahan yang mantap apatah lagi bapa saya tidak henti-henti memberikan motivasi agar saya tidak mudah mengalah.

"Kemenangan saya dalam rancangan ini memang tidak terjangka dan saya boleh katakan persaingan hebat-hebat belaka.

"Setiap peserta ada kelebihan masing-masing yang membuatkan saya tidak pernah menaruh sebarang harapan untuk bergelar juara.

"Tetapi tanpa diduga, pengacara pada malam itu, Sazzy Falak mengumumkan bahawa saya yang menang pertandingan ini. Memang terkejut dan tergamam apabila nama saya disebut sebagai pemenang.

"Saya anggap kemenangan ini cukup bererti kepada saya yang begitu meminati bidang nyanyian dan ingin bergelar seorang penghibur serba-boleh suatu hari nanti," jelas Emeer yang menjadikan Michael Jackson dan Jamal Abdillah sebagai idola.


HADIAH kemenangan membawa semangat baru kepada ketiga-tiga bakat baru dunia seni suara ini.


Ditanya tentang perancangannya dengan duit yang diperolehi daripada bergelar juara Oo La La, Emeer memberitahu, dia akan menyimpan wang tersebut di dalam akaun peribadinya.

"Saya akan simpan duit ini untuk tujuan masa depan. Saya hanya menggunakan duit ini dalam keadaan terdesak atau apabila perlu.

"Paling penting, duit ini disimpan untuk kegunaan saya kelak," jelasnya yang masih malu-malu berbicara dengan pihak media dan orang di sekelilingnya.

Pada peringkat akhir yang berjalan selama satu setengah jam itu membuktikan Emeer menjadi peserta pilihan apabila mendapat SMS terbanyak daripada pengundi.

Bukan itu sahaja, Emmer juga mendapat perhatian daripada juri profesional iaitu Azmeer dan Atillia semasa mendendangkan lagu Sampai Syurga yang disampaikan secara solo.

Selain itu, Emeer turut menyanyikan lagu Syair Laila Majnun dan Gadis Melayu berduet bersama bapanya dan lagu terakhir adalah Patah Hati bersama bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain, Lan.

Sha, Amira reda dengan kekalahan

Walaupun tidak bergelar juara, namun dua peserta lain, Sha dan Amira mengaku reda dengan ketentuan yang menetapkan takhta juara Oo La La berpihak kepada Emeer.

Sha yang mendendangkan lagu Nirmala, Kurik-Kundi dan Dikir Puteri secara solo, berduet bersama bapa saudaranya, Aris Ariwatan (Mantera Beradu dan Alhamdulillah) dan bergandingan dengan penyanyi terkenal, Misha Omar (Cinta) bagaimanapun berpuas hati setakat bergelar pemenang tempat kedua.

Gadis berusia 18 tahun itu yang punya hubungan kekeluargaan dengan Aris yang dipanggilnya Pak Uda itu sebelum ini meletakkan sebarang harapan tinggi untuk menjuarai program Oo La La.

"Bohonglah kalau cakap saya tidak mahu menang. Tetapi saya tidak anggap menjadi peserta paling berusia sebagai batu loncatan untuk menjadi seorang juara apatah lagi Emeer dan Amira masing-masing ada bakat tersendiri.

"Sejak awal-awal lagi saya tidak memandang rendah kebolehan mereka yang masih muda. Lantaran itu, saya hanya mahu melakukan persembahan yang baik dan berharap tidak membuat sebarang kesalahan di depan juri profesional dan peminat.

"Cuma nasib tidak berpihak kepada saya apabila Emeer menjadi individu yang mendapat undian tertinggi daripada peminat dan juri berpengalaman.

"Terus-terang, saya memang ingin bergelar seorang penyanyi. Sejak kecil saya sudah menyanyi tetapi tidaklah sampai masuk ke mana-mana program nyanyian dan bertanding dengan orang lain.

"Perasaan teruja untuk menyertai rancangan ini disebabkan Pak Uda yang menjadi mentor saya. Lantas situasi ini membuatkan saya berkeyakinan untuk muncul di Oo La La," ungkap Sha yang merupakan penuntut semester ketiga Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Bagi Amira yang berusia 14 tahun, dia cukup bersyukur apabila sampai di peringkat akhir dan mendapat tempat ketiga. Soal menang atau kalah tidak menjadi isu terpenting untuk penglibatannya dalam Oo La La.

Amira yang berkebolehan bermain alat muzik seperti biola hakikatnya mahu memperlihatkan bakat yang dimiliki kepada seluruh rakyat di Malaysia.

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor itu mewarisi bakat seni daripada ibu, Alina Saad, 42, yang merupakan pengarah muzik Kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya tetap gembira walaupun tidak bergelar juara kerana saya lihat sendiri peserta lain yang bertanding dalam malam penentu Oo La La ini bagus-bagus belaka.

"Kehebatan Emeer dan Sha memang tidak mampu dinafikan lagi. Saya berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam konsert akhir ini.

"Saya harap kemasukan dalam Oo La La ini membuka mata kepada pihak lain tentang bakat seni yang saya miliki ini.

"Harapan saya agar selepas menyertai pertandingan ini, laluan saya untuk bergelar seorang penyanyi akan menjadi lebih mudah," ungkapnya sambil tersenyum manja.

Amira mendendangkan lagu Izinku Pergi secara solo, Just Dance bergandingan dengan Ezlynn dan Lagu Jiwa Lagu Cinta berduet bersama bonda tercinta.

Selain Emeer yang menerima hadiah berjumlah RM30,000, Sha juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila dia menerima wang tunai berjumlah RM20,000 manakala Amira pula RM10,000 di samping tiket percutian untuk setiap seorang.

Pertandingan akhir Oo La La yang disiarkan secara langsung di TV9 itu turut diserikan dengan persembahan bekas juara rancangan realiti Mentor iaitu Pija, Fiq dan Black.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: