Wednesday, July 29, 2009

Sarimah sudah puas menangis!

"Sebenarnya sebelum melangkah keluar dari rumah, saya telah menangis sepuas-puasnya dan apabila berada di tempat kerja, saya akan melemparkan senyuman seolah-olah tiada apa yang berlaku" – SARIMAH




TIGA tahun tempoh yang terlalu singkat, namun dalam tempoh itulah juga pengacara Sarimah Ibrahim sempat berkasih-sayang dan bahagia bergelar isteri kepada lelaki mualaf, Amir Andrew Abdullah.

Apabila rumah tangga yang dibina selepas bercinta hampir sembilan tahun berkecai Disember tahun lalu, tiada apa yang boleh dikatakan wanita berdarah Melayu-Ireland itu selain menangis kesedihan.

Namun, Sarimah yang sentiasa nampak ceria di depan kaca televisyen bijak menyembunyikan kisah cerainya itu kerana dia menyimpan segala dukanya seorang diri.

"Semasa bercerai, jadual kerja saya sangat sibuk dan ketika itu saya sibuk dengan Diari Akademi Fantasia, jadi saya dapat lupakan kesedihan dan memberi tumpuan kepada kerja.

"Sebenarnya sebelum melangkah keluar dari rumah, saya telah menangis sepuas-puasnya dan apabila berada di tempat kerja, saya akan melemparkan senyuman seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya tak mahu orang melihat saya bersedih," ujarnya.


MENYIBUKKAN diri dengan kerja mampu membuatkan dia melupakan segala duka.


Seperti mana wanita yang lain, penceraian juga amat perit buatnya dan meskipun kini sudah genap enam bulan hidup sendirian, jujur dia mengakui masih tidak dapat menyesuaikan diri.

Katanya, bukan mudah untuknya menerima hakikat yang kini dia bukan lagi isteri orang. Malah, jika bersendirian di rumah, jiwanya mudah sahaja runtun mengenangkan bekas suami dan kehidupan sendiri yang bakal dilewati.

"Saya dan bekas suami masih lagi berkawan, jadi bila duduk sendirian pastinya teringat balik kepada memori yang dulu. Bila tersedar itu realiti saya akan sedih, tetapi saya bersyukur kerana apabila kerja banyak saya dengan mudah lupakan semua perkara yang sedih. Saya juga terkejut, apabila saya bertukar status tiba-tiba sahaja rezeki datang mencurah-curah, tidak menang tangan saya dibuatnya," ungkapnya lagi.

Meskipun tidak mempunyai sebarang hubungan lagi, Sarimah mengakui tiada sebarang perasaan dendam ataupun benci terhadap bekas suaminya.


SENYUMAN dilemparkan bagi menyembunyikan kedukaan.


Bagaimanapun dia mengakui status perceraian membuatkan dia sedikit kekok untuk berkawan dengan bekas suami memandangkan kini segalanya berbeza.

"Tidak ada perasaan benci atau dendam. Tapi saya akui, memang agak kekok juga sebab kami bukan lagi suami isteri, ada batasannya. Bagi saya, cara yang terbaik untuk terus berkawan dengannya ialah cuba menjarakkan diri daripada dia.

"Saya juga sentiasa berharap dia akan jumpa wanita yang sesuai dan jodoh mereka akan panjang," luahnya jujur.

Dalam pada itu, Sarimah akui, kehadiran Ramadan tidak lama lagi pasti sedikit sukar buat dirinya kerana perlu menyambutnya tanpa ketiadaan seorang lelaki bernama suami di sisi.

"Saya masih dalam proses untuk menyesuaikan diri sebenarnya. Bila dah terbiasa duduk bersama, pasti terasa lain. Mungkin bulan puasa nanti, saya akan sentiasa berbuka puasa bersama keluarga dan kawan-kawan. Keluarga juga sudah tinggal dengan saya sekarang," katanya.

Tangkap Muat

Bercakap soal status janda, wanita berusia 31 tahun ini tidak menganggap ia sebagai satu bebanan cuma kini, dia masih belum bersedia untuk menerima lelaki baru dalam hidupnya.

"Semua rakan-rakan dan keluarga cukup memahami keadaan saya. Lagipun, saya bukannya terlalu membesar-besarkan tentang hal perceraian ini. Bagi saya tidak semua orang bernasib baik dalam hubungan rumah tangga, ada orang jodohnya panjang dan ada pula yang tidak.

"Sudah menjadi adat, bila sudah kembali solo, ramai juga yang sering bertanya sama ada saya sudah ada 'orang baru' atau tidak. Saya rasa, saya kena bercinta dengan diri sendiri dulu, baru boleh bercinta dengan orang lain.

"Buat masa ini, lebih baik fokus pada kerja saja kerana kalau nak bercinta pun tidak sesuai sebab saya ni sibuk sangat," bicaranya sambil tertawa.

Selain sibuk di depan kaca televisyen, nampaknya kini, Sarimah mula berjinak-jinak pula dengan kerja-kerja belakang tabir.

Buat pertama kalinya, dia bukan sahaja menjadi pengacara bahkan turut menjadi pembantu penerbit dalam program terbaru terbitan Astro yang berjudul Tangkap Muat.


SARIMAH mengakui kehidupan sendirian memang mencabar.


Program yang akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi itu benar-benar menguji kemampuannya melakukan dua kerja sekali gus.

"Sebelum ini, saya buat skrip sahaja, tidak terlibat dengan kerja yang lain. Tetapi kali ini dalam Tangkap Muat programnya sedikit berbeza, ia sebuah program yang akan mengubah penampilan seseorang, senang cakap 'make-over'. Saya turut terlibat dari segi konsep dan skrip program ini.

"Apa yang menariknya, program ini setiap peserta akan diubah pakaian atau pun rambut. Semua perubahan itu akan dilakukan oleh dua orang perunding iaitu Zulfazli dan pereka fesyen, Rizalman.

"Dalam program sebanyak 13 episod ini, peserta-peserta juga bukan hanya terhad kepada wanita, tetapi lelaki juga," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: