Wednesday, July 29, 2009

* Dengarnya...: Tak rugi tengok Merchants of Bollywood



Tarian dan nyanyian yang mengasyikkan dalam persembahan Merchants of Bollywood.

BEBERAPA hari lalu, sebelum tirai Merchants of Bollywood di Istana Budaya dilabuhkan, Cik Normah sempat jugalah ke sana untuk menontonnya. Wah, sungguh berwarna-warni dan menghiburkan sekali persembahan muzikal yang dibawakan oleh Asia Promote dan LD Sports Sdn Bhd itu.

Pada persembahan sebelah petang itu, ramai jugalah penonton yang datang berhibur dengan persembahan penuh tarian klasik dan moden itu. Mak oi! pada penghujung persembahan, penonton pun bangun sama menari bersama-sama pelakonnya yang cantik dan tampan.

Cik Normah memang suka lagu-lagu dan tarian Hindustan, tetapi sebab berasa agak malu, Cik Normah cuma berdiri sambil bertepuk tangan. Nak gelek sekali, rasa canggung pula. Nanti kena jeling dengan penonton sebelah. Jadi, baiklah Cik Normah berlagak sopan dan tertib saja.

Cik Normah dengar, sepanjang 13 hari pementasan diadakan, kerusi dewan utama di Istana Budaya dipenuhi kira-kira 70 peratus penonton yang ingin berseronok bersama persembahan itu.

Bagi Cik Normah, sambutan itu sudah dianggap baik. Maklumlah, dalam keadaan ekonomi yang dikatakan tidak berapa bagus, mungkin sesetengah orang lebih suka menyimpannya atau berbelanja untuk perkara yang dianggap mereka lebih berfaedah. Namun bagi Cik Normah, menonton Merchants of Bollywood petang itu memang melegakan minda yang agak berserabut sejak akhir-akhir ini.

Cik Normah juga difahamkan, penganjur terpaksa berharap pada jualan tiket untuk mendapatkan balik modal dikeluarkan. Iyalah, ketika ini, tidak ramai syarikat korporat yang bersedia menjadi penaja berikutan kekangan bajet setelah ekonomi agak suram.

Tidak mematahkan semangat mereka, Asia Promote membawakan juga Merchants of Bollywood ke Kuala Lumpur, demi memberikan hiburan berbeza untuk penggemar muzikal di sebelah sini, walaupun menggunakan duit sendiri.

Harapan Cik Normah, agar selepas ini ekonomi kita tidaklah kelam sangat, supaya tajaan untuk acara hiburan, terutama produk tempatan, akan menjadi lebih meriah.

Dengan cara itu, lebih banyak acara hiburan bermutu dapat dipentaskan. Cik Normah bimbang juga, kalau asyik suram saja, lama-lama, satu benda pun tak dapat nak diadakan... Kempunan peminat seni hiburan nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: