Jika sebelum ini pengarah, Mamat Khalid, tampil dengan idea ‘gilanya’ dalam menghasilkan filem-filem bercorak komedi seperti Zombie Kampung Pisang, Lang Buana, Man Laksa, Rock, dan Kala malam Bulan Mengambang, kali ini beliau siap sedia untuk tampil dengan karya yang lebih serius, Estet. Boleh dianggap sebagai filem negara, Estet membawa kisah tentang perpaduan dan keakraban antara kaum di Malaysia, terutamanya masyarakat India, yang cukup sinonim dengan kehidupan di Estet. Selain memaparkan cara hidup mereka di sana, Estet turut mengajak penonton menghayati mesej yang tersirat.
“Saya tak perlu beri syarahan dalam filem ini, tapi apa yang saya paparkan itu nanti akan dirasai sendiri penonton. Bila menonton Estet, mereka secara tidak langsung, akan dapat rasakan semangat nasionalisme dan kearaban sesama kaum yang ditonjolkan sepanjang penceritaan filem ini. Pada saya rakyat Malaysia sebenarnya sudah lama hidup berpaduan, cuma kita tidak sedar yang kita sebenarnya sudah akrab.
“Sebelum kerajaan melancarkan kempen 1 Malaysia lagi, filem ini sudah dihasilkan. Dengan menggunakan dana dari Finas sebanyak RM1.5 juta, yang mana ia merupakan duit rakyat, jadi saya rasa rakyat berhak dapat filem negara. Saya dah pun cuba sebaik mungkin untuk menghasilkan filem ini dan setakat ini saya berpuas hati dengan pembikinannya. Estet merupakan gabungan dari kelima-lima filem saya sebelum ini. Apa sahaja kelemahan dalam kesemua filem itu telah saya cuba perbaiki dalam Estet dan saya harap penonton juga akan berpuas hati bila menontonnya nanti. Kepuasan penonton dan penerimaan mereka terhadap filem ini nanti akan menjadi kejayaan besar bagi saya,” kata Mamat yang ditemui ketika penggambaran klip video lagu tema dalam filem tersebut, Ayuh Kawan, di Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM), Sungai Buloh baru baru ini.
Bercerita tentang klip video nyanyian Awie dan penyanyi Tamil, Siva itu, kata Mamat, lagu itu juga mempunyai mesej seperti mana yang terkandung dalam penceritaan Estet. Dinyanyikan dalam dua versi iaitu bahasa Melayu dan Tamil, Ayuh Kawan mengajak penonton tak kira bangsa dan kaum bekerjasama untuk menuju kejayaan.
“Lagu ini dicipta oleh R. Laurance, manakala liriknya dicipta Iqbal Putra. Saya anggap lagu ini berkonsepkan Pop Kollywood kerana ia mempunyai rentak Tamil. Kalau dalam Estet, kita dapat lihat Farid kamil dan Shashi Taran yang menyanyikan lagu ini, tapi untuk video klipnya kita tampilkan penyanyi sebenar lagu ini, Awie dan Shiva. Persembahan mereka amat bagus sekali dan saya harap ia dapat menyemarakkan lagi filem Estet ini,” katanya yang buat kali pertamanya mengarah dan menerbitkan filem Estet itu menerusi syarikatnya, Naga VXS Sdn. Bhd.
Guna CGI untuk elemen Tamil
Menerusi syarikatnya itu juga, Mamat turut mengeluarkan wang sendiri berjumlah RM400,000 yang menjadikan kos keseluruhan filem Estet ialah sebanyak RM1.9 juta. Filem yang sedang menjalani proses suntingan akhir ini kemungkinan besar akan berada di pawagam pada penghujung tahun ini. Akui filem kelapan arahannya itu mengambil masa yang lama untuk disiapkan, Mamat memberitahu, beliau begitu teliti terhadap penghasilan filemnya kali ini kerana ia bukan sahaja ‘buah tangan’ pertama hasil syarikatnya tetapi juga untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Oleh kerana Estet mempunyai pengaruh Tamil, jadi banyak babak-babak dalam filem ini memerlukan teknik CGI, misalnya adegan tembak-menembak dan juga perlawanan bola sepak yang situasinya pasti akan mencuit hati. Kalau ada yang pernah menonton filem Tamil, anda mesti dapat bayangkan betapa kuat heronya, hinggakan dapat menepis tembakan yang bertubi-tubi dan elemen seperti itulah antaranya turut dimuatkan dalam Estet ini. Dan pada saya, inilah cabaran besar untuk saya. Bayangkan untuk membuat CGI selama 33 minit sahaja kita mengambil masa selama 6 bulan untuk menyiapkannya,” kata Mamat yang menjadikan filem lakonan aktor Tamil popular, Kamal Hassan, sebagai rujukan.
Sungguhpun Estet mempunyai banyak elemen serta pengaruh filem Tamil, namun bagi Pengarah Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-21 dan Anugerah Skrin 2008 ini, Estet tetap filem Malaysia.
“Sudah lama saya ingin menghasilkan filem Malaysia dan sehingga ke hari ini saya masih mencari-cari apa itu filem Malaysia? Saya percaya 10 tahun nanti pun kita masih mencari-cari. Apa pun saya percaya Estet adalah filem Malaysia. Walaupun ada pengaruh Tamil, tetapi ia lebih kepada filem Malaysia kerana ia memaparkan kehidupan dan realiti masyarakat majmuk di Malaysia, khasnya penduduk Estet.
“Untuk menonjolkan kehidupan dan suasana di ‘Estet’ itu juga banyak yang perlu kami lakukan, termasuklah dalam pencarian peralatan dan props, misalnya mesin terap getah yang kini sukar untuk ditemui,” katanya yang menggunakan perkampungan Estet di Padang Renggas, Perak, sebagai lokasi penggambaran.
Menyentuh mengenai persiapannya untuk memastikan kejayaan filem itu, Mamat memberitahu, sejak awal lagi dia sudah merangka pelbagai strategi agar Estet dapat diterima baik di kalangan penonton Malaysia nanti. Selain penghasilan video klip, gabungan pelakon Melayu dan Tamil yang hebat dalam filem ini dipercayai dapat menarik minat kedua-dua bangsa itu untuk ke pawagam.
“Estet melibatkan ramai artis yang hebat, terutamanya ‘local Indian’. Malah kita juga berbesar hati apabila, Datuk David Arumugam, sudi melibatkan diri,” kata Mamat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: