Wednesday, July 29, 2009

Dekorasi rumah sentuhan Azhar, Syaiful


FAIZAl (tengah) bertindak sebagai pengacara Deko Idaman yang menampilkan Syaiful dan Azhar sebagai pencetus idea untuk mengubahsuai kediaman.


MULA bersiaran 26 Julai lalu, program terbaru di TV3, Deko Idaman, menampilkan dua jejaka popular dalam menzahirkan idea kreatif mereka untuk menata rias sudut ruang kediaman.

Meskipun dikenali sebagai pelakon dan pereka fesyen, pengalaman membuatkan Azhar Sulaiman serta Syaiful Bahrim mampu untuk berganding menjayakan Deko Idaman.

Sementelah, Azhar sendiri merupakan seorang arkitek dan telah biasa dalam kerja-kerja kreatif, manakala Syaiful pula diakui merupakan pereka fesyen terkenal tanah air.

Pengalaman inilah yang menjadi sandaran Azhar serta Syaiful dalam menyatukan idea menghasilkan sesuatu yang menepati citarasa dan personaliti si pemilik rumah.

Deko Idaman dihoskan oleh Faizal Ismail dan mengetengahkan 12 peserta bertuah yang akan menyaksikan rumah mereka diubah suai oleh Azhar dan Syaiful dengan penglibatan beberapa penaja bersama.

Daripada 12 peserta, 10 yang terlibat dalam pengubahsuaian rumah adalah mereka yang berada di sekitar Lembah Klang manakala selebihnya berada di Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Menerusi Deko Idaman, penonton bukan sahaja dapat melihat gelagat Azhar dan Syaiful malah memperoleh maklumat bagaimana proses pengubahsuaian dijalankan bermula dari awal sehingga kepada hasilnya.

Paling utama, selaku penaja, Nippon Paint Malaysia akan membantu penonton untuk mencari inspirasi bagi menyerlahkan ruang dalaman dengan pemilihan cat bersesuaian.

Diajak berbicara mengenai Deko Idaman, Azhar yang satu ketika popular dengan filem Abang '92 berkata, menerusi rancangan tersebut, ia bukan sahaja mahu menunjukkan kemahirannya dalam menghias rumah semata-mata.

Tetapi, katanya, Deko Idaman merupakan sebuah program bercorak pendidikan terhadap penonton untuk berfikiran kreatif dalam mewujudkan suasana selesa di kediaman masing-masing.

"Selain arkitek, saya pernah bekerja sebagai pereka set sebelum ini. Kedua-dua pengalaman itu saya gunakan untuk menghias rumah dalam Deko Idaman.

"Walaupun punyai idea sendiri, inspirasi untuk dekorasi rumah juga datang daripada kehendak dan karakter pemilik rumah.

"Saya dan Syaiful akan menghasilkan sesuatu yang segar dan praktikal untuk dimanfaatkan dalam jangkamasa lama,'' ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Deko Idaman di Seri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Menurut Azhar, keterlibatan dia di dalam Deko Idaman adalah impiannya sejak dahulu lagi lantaran minat terhadap bidang dekorasi.

Kurang tawaran berlakon

Ketika ditanya mengenai apakah penglibatan itu berpunca daripada tawaran berlakon yang diterima semakin berkurangan, Azhar berkata: "Memang benar semakin kurang tawaran. Sekarang pun saya banyak ditawarkan sebagai pelakon tambahan sahaja.

"Saya tidak kisah kerana ketika mula berlakon pun, saya masih belajar dan mampu untuk 'memasarkan' diri."

Gabungan fesyen dan dekorasi

Sementara itu, bagi Syaiful pula, pengalamannya sebagai pereka fesyen mampu untuk diguna pakai dan disatukan dalam menghasilkan idea kreatif menghias rumah.

Katanya, menjadi antara penyumbang idea dalam Deko Idaman, dia sendiri mahu penonton melihat bagaimana sesebuah sudut ruang rumah itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangkitkan suasana menarik.

"Kita bukan hendak menukar perabot sahaja tetapi mahu memberi input berkenaan kekemasan dan penggunaan ruang.

"Dalam Deko Idaman, kita akan ke rumah bertuah dan melihat selera pemilik rumah tersebut,'' jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: