|
|
SETAHUN menanti, kini album sulung juara One In A Million musim kedua (OIAM 2), Norayu Damit atau Ayu berjudul Inspirasi akhirnya sudah pun berada di pasaran.
Memuatkan sembilan buah lagu, ia menampilkan gabungan komposer baru dan lama dalam menyalurkan sesuatu yang segar terhadap album berkenaan.
Mereka terdiri daripada Aubrey Suwito, Azlan Abu Hassan, Shazee, Eka Shreen, Ajai, Audi Mok, Ashroff Shariff, Anton Morgan, Lady Dee, Tesh RS, Azalea, Nur Fatima, Slen dan Ireani Yaacob.
Bagi Ayu, penantiannya selama setahun dirasakan cukup berbaloi kerana Inspirasi muncul dengan hasil yang sangat menggembirakannya.
Sembilan buah lagu yang terkandung dalam Inspirasi adalah Inspirasi Abadi, Ku Peluk Dunia, Hanya Di Mercu, Cinta Dan Hidup, Menjadi Ayu, Ku Miliki Abadi, Hanya Kita, Alam Asmara dan Janji Kita.
“Awalnya, ada 13 buah lagu yang dirakam tetapi sembilan yang terpilih untuk dimuatkan dalam Inspirasi.
“Ayu rasa puas dengan apa yang dilakukan oleh Monkey Bone dan The8unit. Inspirasi banyak berkaitan dengan kehidupan Ayu,’’ ujar Ayu ketika ditemui pada majlis pelancaran Inspirasi di ibu negara, baru-baru ini.
Katanya, album itu mempunyai sembilan buah track yang mewakili sembilan pihak yang cukup dihormatinya sepanjang bergelar anak seni.
Mereka ialah ibu bapanya, Pengarah Monkey Bone, Ahmad Izham Omar, Monkey Bone, The8unit, kalangan komposer, penulis lirik, media, rakan-rakan serta kelab peminat Ayu.
“Proses rakaman Inspirasi bukanlah semudah yang Ayu sangkakan. Banyak perkara perlu diambil secara serius.
“Ciri-ciri lagu pun perlu tepat dengan diri Ayu. Namun Ayu gembira kerana diberikan ruang untuk menyalurkan idea.
“Apabila album sudah siap, Ayu sendiri pergi menyaksikan proses pembikinan album di kilang. Memang Ayu menangis dan gembira sangat,’’ kata Ayu.
Ditanya pengalaman-pengalaman pahit manis semasa rakaman Inspirasi, Ayu berkata, kenangan yang sukar dilupakannya adalah berkaitan dengan proses rakaman lagu berjudul Cinta Dan Hidup.
“Ayu terpaksa merekodnya sebanyak empat kali. Lagu berjudul Ku Miliki Abadi juga agak susah untuk dirakamkan.
“Ini kerana abang Azlan (Azlan Abu Hassan) amat mementingkan vokal dan kualiti. Ayu suka tukar-tukar melodi tapi abang Azlan mahukan Ayu ikut bulat-bulat demo yang diberikan.
“Alhamdulillah, biarpun susah, lagu itu siap dirakamkan dalam tempoh sehari sahaja. Tidak susah bekerja dengan abang Azlan,’’ jelas Ayu yang kini semakin feminin dalam aspek berpakaian hasil transformasi yang dilakukan oleh Monkey Bone serta The8unit.
Gosip dan kelas komunikasi
Sementara itu, seperti yang telah dijangka Ayu, persoalan mengenai gosip-gosip negatif terhadap dirinya akan diajukan oleh pihak media.
Isu negatif itu antara lain membabitkan perihal Ayu yang dikatakan selalu ke kelab malam dan mabuk serta bercakap kurang sopan.
Menjawab mengenai hal berkenaan, Ayu berkata: “Ayu memang ada pergi ke kelab malam tetapi Ayu tidaklah melakukan sesuatu yang memalukan hidup. Ayu ada ibu dan ayah dan hati serta perasaan mereka juga perlu Ayu jaga.
“Tentang cakap kasar pula, itu Ayu akui namun itu akan berlaku jika Ayu bersama kawan-kawan rapat sahaja.’’
Ditanya apakah dunia hiburan berlaku kejam terhadap dirinya, Ayu menjelaskan, ada ketika kekejaman berlaku dan ada ketika pula ia tidak berpendapat sedemikian rupa.
Sungguhpun begitu, Ayu tidak patah semangat demi memastikan kariernya bertambah maju.
Mengenai kelas komunikasi bersama Fatimah Abu Bakar yang dihadirinya, ujar Ayu, ia telah banyak mengajarnya untuk teliti dalam berkomunikasi termasuk berhadapan dengan media.
“Bukan sahaja komunikasi, Cikgu Fati (Fatimah Abu Bakar) turut mengajar Ayu bahasa Inggeris dan kemahiran lakonan,’’ katanya.
Ayu dan jejaka ‘S’?
Dalam pada itu, rancak berbicara soal album, gosip dan perkembangan karier, Ayu sempat diajukan pertanyaan tentang kisah cintanya.
Ayu mengakui dia kini sedang mengenali hati budi seorang jejaka berusia 20-an yang digelar jejaka `S’.
Namun, kata Ayu, perjalanan baginya dan lelaki pujaan hatinya itu untuk serius dalam perhubungan atau berumah tangga masih lagi jauh.
“Kami baru sahaja berkenalan. Biarlah masa yang menentukan,’’ tambahnya sambil tersenyum.
rumah dia mo kn roboh ni
ReplyDeletehttp://blog.thesutras.org