|
|
PENGARAH filem, Prof. Madya A. Razak Mohaideen telah melakukan pelbagai cara bagi menarik perhatian para penonton menyaksikan filem-filem arahannya di pawagam.
Beliau antaranya menggunakan ahli-ahli Friends Club seramai hampir sejuta orang menerusi talian telefon bimbit bagi mengajak mereka menonton filem terbarunya berjudul Skrip 7707.
Menurut A. Razak, beliau telah menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menguar-uarkan tentang kemunculan filem ke-28 arahannya itu kepada ahli-ahli kelab tersebut.
"Kami telah pun bekerjasama dengan Friends Club yang mempunyai hampir sejuta ahli bagi menarik perhatian mereka menonton Skrip 7707. Ini salah satu cara kami mempromosikan filem ini.
"Apatah lagi, sasaran kita sebelum ini ialah supaya ada di antara filem Melayu dapat ditonton oleh sejuta penonton. Harap tahun ini akan ada filem kita yang capai angka keramat itu.
"Begitu jugalah harapan kami terhadap Skrip 7707," katanya pada sidang akhbar selepas pratonton Skrip 7707 di Cineleisure, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, sasaran sejuta penonton tidak mustahil untuk dicapai daripada hampir 28 juta rakyat di negara ini berdasarkan sambutan hangat yang pernah diberikan terhadap filem Duyung.
Duyung terbitan KRU Studios yang diarahkan oleh A.Razak dan ditayangkan dua tahun lalu pernah mencatat hampir 600,000 dan ia antara rekod filem Melayu yang paling ramai ditonton di negara ini.
"Bagi saya, sasaran sejuta penonton tidak mustahil untuk filem-filem Melayu. Kalau filem blockbuster dari Barat contohnya, boleh menarik sejuta penonton kita, filem Melayu juga boleh.
"Untuk mencapai hasrat itu, semua golongan tidak kira apa juga bangsa yang ada di Malaysia haruslah menyokong filem-filem tempatan termasuklah Skrip 7707," ujarnya.
Selain menggunakan strategi itu, A. Razak juga berharap kekuatan jalan sembilan cerita-cerita seram yang dipaparkan dalam filem itu mampu menarik perhatian para penonton.
Malah, katanya, Line Clear Motion Picture selaku penerbit filem itu turut mengadakan kaji selidik di kalangan peminat filem Melayu sebelum Skrip 7707 ditayangkan kepada umum.
"Kira-kira dua setengah tahun lalu kami telah menjalankan kaji selidik di mana 55 peratus daripada responden yang ditemuramah kata filem-filem seram kita lambat beri impak.
"Sebanyak 22 peratus responden pula berpendapat filem-filem seram kita lambat menuju klimaks. Jadi kami ambil kira semua maklumat itu dan memuatkannya dalam filem ini.
"Sebab itu, dalam Skrip 7707 saya akan pastikan setiap 10 minit akan ada adegan-adegan kejutan. Ini bermakna, dalam masa 100 minit tayangannya akan ada 10 kejutan," katanya.
Sementara itu, penerbit Line Clear Motion Picture, A. Latiff Mohaideen berkata, usaha berterus akan dilakukan bagi mempromosikan lagi Skrip 7707 termasuklah di luar negara.
Beliau yang merupakan adik kepada A. Razak Mohaideen berkata, pihaknya kini sedang merancang mengadakan tayangan Skrip 7707 di Perth, Australia sebelum Ramadan ini.
"Ini juga salah satu strategi kami bagi meluaskan lagi tayangan Skrip 7707 di luar negara. Di Australia terdapat ramai rakyat Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
"Mereka merupakan penonton filem-filem Melayu di sana. Sebelum ini pun, kami pernah menayangkan filem Duyung di Melbourne, Australia dan sambutan cukup baik," jelasnya.
Hadir sama pada pratonton Skrip 7707 yang mula ditayangkan pada 16 Julai lalu ialah Jehan Miskin, Hafiz, Fouziah Gous serta krew penerbitan filem tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: