|
|
TIADA apa yang menggembirakan Datuk Siti Nurhaliza melainkan melihat respons positif penonton sepanjang tiga malam beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) sempena Konsert Eksklusif Satu.
Beliau bersyukur kerana matlamatnya untuk berhibur sambil beramal serta mengutip dana untuk Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan bersama suaminya juga mendapat reaksi kejayaan.
"Alhamdulillah, apa yang dirancang semuanya berjalan dengan lancar dari segala aspek termasuk kesihatan saya.
"Saya gembira kerana semua yang hadir terhibur sepanjang tiga malam saya membuat persembahan dan memberikan sokongan untuk konsert ini.
"Apa yang turut menggembirakan ialah a dana yang dikumpulkan menerusi penjualan tiket serta sumbangan syarikat korporat dan orang perseorangan dapat diagihkan kepada empat badan kebajikan seperti matlamat kami sebelum ini," ujar Siti.
Empat badan kebajikan yang mendapat sumbangan daripada Yayasan Nurjiwa adalah Rumah Orang-Orang Tua Charis, V Care For You Home, Persatuan Kebajikan Annai Illiam Selangor dan Kuala lumpur serta Rumah Bakawali, Yayasan Seni Prihatin Malaysia.
Seperti mana yang dikhabarkan Siti sebelum ini, pemilihan rumah-rumah kebajikan itu juga menepati konsep 1Malaysia di mana ia mewakili kaum Melayu, Cina dan India.
Siti juga menjelaskan, tanggungjawab diberikan kepada pelakon dan pengarah, Erma Fatima dalam pemilihan empat rumah kebajikan tersebut.
Sebelum itu, Maxis Communications Berhad selaku penaja utama konsert tersebut telah menyumbangkan sebanyak RM120,000 kepada Yayasan Nurjiwa dan sumbangan itu diserahkan kepada Siti selaku pengasas badan amal itu selepas malam gala pada 26 Jun lalu.
Dalam perbualan dengan wartawan, Siti turut ditanya rahsia staminanya bertahan selama dua jam tanpa semput sewaktu membuat persembahan.
Jelasnya, dia mengamalkan semula pantang larang yang dipegangnya sejak zaman anak dara iaitu tidak meminum minuman berais.
Maklumlah kata Siti, selepas berkahwin dan tidak banyak persembahan yang diterimanya dan dia telah melanggar pantang itu dengan menikmati air berais dan ais krim.
"Sebaik sahaja pengumuman konsert, saya terus berhenti minum minuman berais dan memperbanyakkan senaman di gimnasium serta berjoging bersama suami.
"Suami juga ada bertanya bagaimana saya mampu mengekalkan stamina itu dan saya menjawab, buka mulut, suara pun keluarlah," katanya dengan disambut hilai tawa pihak media.
Malah, kehebatan Siti di atas pentas turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah yang turut mengagumi kemampuannya untuk beraksi dua jam tanpa henti.
Kata Siti, segmen lagu-lagu tradisional merupakan pilihan kedua-dua tokoh negara yang disanjung tinggi oleh Siti itu.
Bukan itu sahaja, kehadiran Kris Dayanti dan Rossa juga membuat Siti terharu dan gembira kerana mereka sanggup datang menonton konsertnya walaupun sibuk dengan komitmen masing-masing.
Siti turut ditanya adakah dengan kejayaan Konsert Eksklusif Satu akan memungkinkan bahawa akan adanya konsert jelajah di beberapa buah negara Asean?
Tersenyum manis, Siti memberitahu, semuanya mampu dilakukan seandainya mendapat penajaan dan bajet yang mencukupi.
"Tetapi, kita kena tengok juga pentasnya kerana mungkin di sesetengah negara tidak mempunyai fasiliti seperti mana Istana Budaya. Insya-Allah, kalau dimurahkan rezeki dan ada yang sanggup menaja, bolehlah kita lakukan," ujarnya yang menggayakan persalinan rekaan Michael Ong, Amir Luqman dan Rizman Ruzaini sepanjang konsert tiga malam itu.
Sementara itu, Siti juga menjelaskan bahawa pihaknya masih lagi berbincang sebelum membuat keputusan untuk menerbitkan konsert tersebut dalam bentuk CD, VCD dan DVD.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: