Tuesday, May 3, 2016

The Overtunes Cari Tuah Di Malaysia



The Overtunes mempunyai misi terbaharu iaitu untuk mengembangkan sayap mereka di Malaysia.
PETALING JAYA: Kumpulan Indonesia yang dianggotai tiga adik beradik The Overtunes mempunyai misi terbaharu iaitu untuk mengembangkan sayap mereka di Malaysia.
Abang sulung yang juga merupakan vokalis, bas dan pemain dram dalam kumpulan itu, Mada Emmanuell, 22, berkata, mereka sudah bersedia untuk mengikut jejak langkah artis Indonesia lain yang berjaya menempa nama di negara ini.

"Kami ditubuhkan pada tahun 2012 dan setakat ini album dan lagu kami Sayap Pelindung mendapat tempat di Indonesia.

"Sudah sampai masanya untuk kami mencuba nasib di negara ini pula seperti artis senior lain yang sudah berjaya," ujarnya.

The Overtunes ditemui di pejabat Sony Music Malaysia, baru-baru ini.

Selain Mada, The Overtunes turut dibarisi Reuben Nathaniel, 20, dan Mikha Angelo, 19.

Sementara itu, mereka turut menyifatkan gabungan minat genre muzik yang berbeza membuatkan trio adik beradik ini memiliki kekuatan tersendiri dalam menampilkan muzik akustik pop yang dibawakan.

Katanya, perkara itu juga membuatkan lagu yang dihasilkan memberi impak kelainan berbanding muzik-muzik yang sedia ada dalam arus perdana di Indonesia.

"Setiap daripada kami sukakan muzik seperti rock, jazz dan dance. Selain itu kami bertiga turut memiliki kelebihan lain iaitu bermain alat muzik piano dan dram.

"Dan menerusi pengetahuan muzik itu, kami gabungkan ia kepada sebuah muzik akustik pop dalam setiap lagu yang dihasilkan.

"Bagaimanapun, kami tidak mengehadkan konsep akustik pada gitar semata-mata. Alatan muzik lain turut digunakan ketika sesi rakaman," katanya.

Sementara itu, sebagai band sesama adik-beradik pastinya mempunyai kesulitan tersendiri.

Mikha mengakui ada ketika mereka juga bertengkar dalam mencari idea terbaik.

“Itu rasanya sudah lumrah apabila kalau yang berkumpulan pasti ada perbalahan berlaku. Apalagi kami yang memang adik-beradik lagilah perkara itu biasa berlaku.

“Bagaimanapun, semua pertengkaran itu adalah semata-mata demi hasil akhir yang memuaskan.

Ada baiknya juga kerana masing-masing boleh belajar sesama diri-sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: