Wednesday, May 4, 2016

Shrek The Musical di IB




Shrek The Musical di IB

MENDENGAR nama Shrek pasti terbayang karakter hijau yang berbadan besar dan mempunyai wajah agak hodoh menerusi filem animasi terbitan DreamWorks Animation.
Tidak bersandarkan rupa, bagaimanapun, makhluk Ogre itu sebenarnya mempunyai hati yang sangat baik.
Menariknya, filem animasi tersebut diangkat ke pentas teater dan akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 2 hingga 5 Jun ini.
Teater muzikal terbitan Broadway Entertainment Group FZ LLC dan NETworks Presentations, LLC itu mendapat kerjasama Tremendous Entertainment Group (TEG) serta Base Entertainment Asia.
Berkongsi mengenai pementasan teater muzikal itu, Pengerusi TEG, Datuk Jared Lim berkata, setiap orang mempunyai fantasi kisah dongeng mereka tersendiri.
"Shrek dipilih kerana ia sebuah karya hebat dan menjadi tumpuan kanak-kanak serta golongan dewasa seluruh dunia," kata beliau mengenai filem yang pernah memenangi Anugerah Oscar itu.
Tambah Jared, matlamatnya untuk membawa seisi keluarga khususnya di negara ini menonton persembahan bertaraf dunia.
"Ini merupakan pertama kali ia dipentaskan di Malaysia. Saya yakin peminat Shrek akan teruja mendapat tahu mengenai pementasan ini.
"Lagi pun, terdapat pelbagai karakter lain seperti Puteri Fiona yang sering memikat dan menawan hati peminat karya ini," kata beliau.
Beliau juga sangat teruja dapat membawakan pementasan teater muzikal itu kepada penonton di sini.
"Ia sebahagian daripada misi kami membawakan persembahan-persembahan berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
"Jadi, saya akan memastikan peminat Shrek berpuas hati dengan pementasan ini nanti selain ia menjadi kayu pengukur kepada produksi muzikal Broadway di negara ini.
"Harapan saya, mereka akan terhibur melihat Shrek dan rakan-rakannya secara live," katanya pada sidang media Shrek The Musical baru-baru ini.
Jared juga memberitahu, Shrek menjadi kegemaran anaknya dan itu antara faktor beliau mahu mementaskan karya tersebut.
"Saya masih ingat ketika anak saya masih kecil, dia sangat meminati Shrek. Apabila watak Shrek itu keluar pentas, dia menangis. Saya terangkan bahawa pementasan itu belum habis dan dia kembali tersenyum. Malah, dia juga sama-sama bertepuk tangan apabila tiba babak nyanyian dan tarian.
"Kerana itu, saya mahu pementasan ini nanti dimeriahkan dengan penonton kanak-kanak yang memahami karya ini," katanya.
Hadir sama pada sesi sidang media itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Produksi IB, Putri Shahda Azza Megat Burhainuddin.
Cabaran kostum, karakter
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Base Entertaiment Asia, Chantal Prud'homme berkata, bukan mudah melakukan pementasan tersebut.
"Cabaran terbesar adalah kostum dan pemahaman pelakon terhadap karakter mereka.
"Setiap kostum menggambarkan siapa watak yang dibawakan. Malah, ia perlu sama dengan apa yang ditonton di layar perak," katanya.
Mengenai pemilihan pelakon pula, katanya, mereka tidak menghadapi masalah besar, kerana setiap pelakon merupakan pelakon Broadway yang berbakat dan berpengalaman.
"Mereka tidak popular di televisyen tetapi terkenal di pentas-pentas teater dan kemampuan mereka menjayakan watak diberikan tidak boleh dipertikai," katanya.
Pementasan mendapat sentuhan pengarah Stephen Sposito tersebut dibintangi Kyle Timson (Shrek), Lindsay Estelle Dunn (Puteri Fiona), Jared Howelton (Keldai), Christian Marriner (Lord Farquaad) Dan Olivia Fanders (Fiona waktu kecil).
Realisasi watak tomboi
Puteri Fiona tidaklah seperti puteri lain yang lemah lembut dan tertib dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Kerana itu, Lindsay Estelle Dunn mengakui ia merupakan cabaran tersebut baginya merealisasikan watak Puteri Fiona.
"Mungkin menjadi puteri yang lemah lembut mudah tetapi tidak untuk Fiona.
"Saya perlu kelihatan lebih lasak dan bersifat kasar. Bagaimana pun, pada satu-satu masa, jiwa lembut saya perlu diperlihatkan," katanya.
Tambahnya, dia teruja menjadi Puteri Fiona kerana dia sendiri meminati filem animasi itu.
"Apabila mendapat peluang ini sudah tentu saya sangat gembira. Tidak mungkin saya menolaknya kerana ia satu peluang hebat bagi saya.
"Kerana itu, saya berharap dapat memberikan yang terbaik ketika pementasan ini khususnya kepada penonton dan peminat Shrek di Malaysia," katanya.
Di tanya antara watak Puteri Fiona dan Puteri Fiona versi Ogre, yang mana menjadi pilihannya, kata Lindsay, dia lebih menyukai Puteri Fiona versi Ogre.
"Ini kerana ia lebih mencabar. Walau pun hanya dua kali muncul sebagai Ogre, tetapi amat sukar bagi saya.
"Hanya dalam masa beberapa saat, saya perlu bertukar sebagai Ogre. Bayangkan, daripada puteri yang cantik saya bertukar kepada makhluk hodoh," katanya.
Dua jam bersolek
Bagi pemain watak Shrek, Kyle Timson, menjadi Shrek adalah sesuatu yang paling mencabar sepanjang menjadi pelakon Broadway.
Katanya, untuk melengkapkan karakter Shrek itu, dia perlu disolekkan dan ia mengambil masa yang sangat panjang.
"Untuk solekkan Shrek sahaja, saya terpaksa menahan selama dua jam. Di tambah lagi dengan kostum berat yang menampakkan saya gemuk dan besar.
"Tetapi, ia pengalaman berharga bagi saya dan saya seronok menjadi Shrek," katanya.
Selain itu, Kyle menjelaskan, babak-babak beremosi dan cinta perlu direalisasikan dengan baik.
"Saya bukan putera tampan yang mampu mencairkan hati wanita di luar sana.
"Sebaliknya wajah hodoh saya hanya menakutkan orang, kerana itu karakter tersebut perlu dilaksanakan dengan tepat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: