Amrul Nizar menunjukkan tiga suar digunakan semalam.
“KITA guna tiga kapal terbang kecil bagi membenihkan awan dan saya rasa terpanggil untuk bantu rakyat negeri ini memandangkan tempoh cuaca kemarau sudah lama,” demikian luah anak jati Kelantan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AF Jets Sdn Bhd, Amrul Nizar Anuar, 42.
Usaha percubaan dan kajian pembenihan awan berkenaan yang dimulakan semalam menggunakan kapal terbang jenis Cessna Grand Caravan di sekitar bandar Kota Bharu, menampakkan potensi pembuatan awan akan berhasil.
Operasi pembenihan dijangka berlangsung 10 hari
Awal pagi semalam, bersama tujuh kakitangan AF Jets, pihaknya melakukan percubaan menggunakan kaedah ‘weather mod’ bagi membenihkan awan dan pada hujung minggu hadapan, operasi pembenihan dijangkakan berlangsung selama 10 hari.
Memperuntukkan kira-kira RM300,000 kos bagi belanja membenihkan awan, AF Jets secara sukarela bekerjasam dengan kerajaan negeri melakukan kerja berkenaan secara percuma bagi membantu rakyat Kelantan.
“Sebatang suar untuk usaha ini berharga kira-kira RM600 dan selepas ini, beribu-ribu batang suar dari Amerika Syarikat (AS) akan sampai untuk memudahkan kerja membenihkan awan.
“Sebelah sayap kapal terbang boleh memuatkan 24 suar, manakala sebelah lagi 24 suar digunakan dalam tempoh tiga hingga empat jam semasa proses berkenaan dijalankan di seluruh daerah di Kelantan,” katanya.
Guna 100kg garam tanpa air
Amrul Nizar berkata, kelebihan pembenihan awan yang dijalankan mengikut kajian AF Jets ialah ia menggunakan konsep ubah suai dan membenihkan awan menggunakan rembesan 100 kilogram (kg) garam tidak dicampur air (dry seeding) bagi sebatang suar.
“Kita akan terbang pada awal pagi untuk melakukan proses pembenihan awan kerana waktu pagi, atmosfera akan diubahsuai supaya awan mudah terbentuk,” kata anak kepada tentera ini.
Menguatkan usahanya itu, Amrul Nizar berkata, semasa operasi pembenihan awan di Kelantan, terdapat empat kakitangan bertugas sehari, termasuk seorang juruterbang.
“Kita tidak kejar awan, sebaliknya kita ‘buat’ awan dan tukarkan kepada hujan. Daripada tiada hujan, kita ikhtiar sebaik-baiknya,” katanya.
Perlu mula dari sekarang
“Untuk usaha pembenihan awan ini, kita boleh menggunakan kapal terbang kecil, malah saiz kecil lebih baik berbanding besar memandangkan kawasan yang dicari adalah luas.
“Kami akui, tompokan hujan kurang tetapi kita perlu mulakan dari sekarang. Jika tidak, cuaca di negeri ini akan berterusan panas,” katanya selepas mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).
Ditanya bagaimana tercetus hasrat itu, dia mengakui, sebagai anak jati Kelantan biarpun dibesarkan di Kuala Lumpur, dia akui terkesan dengan keadaan cuaca panas yang melanda negeri itu dan timbul hasrat untuk membantu, dengan harapan bumi Serambi Makkah ini dibasahi hujan.
“Saya berbincang dengan ahli keluarga, ibu pun selalu bertanya bila nak bantu anak-beranak yang ada di Kelantan yang menghadapi kesukaran terutama ketiadaan air. Jadi memandangkan kerja kita membenihkan awan, saya sahut hasrat hati ibu.
“Kasihan ibu saudara panas dan ahli keluarga di Kelantan, saya dikhabarkan juga, padi pun tidak boleh tanam waktu ini sebab takut berisiko. Jika tak boleh tanam padi, harga beras pun naik, jadi untuk elak keadaan tambah kritikal, saya ambil inisiatif ini dengan ikhtiar membenihkan awan,” katanya.
Doa, solat hajat dan ikhtiar benihkan awan
Menurut cucu dalam Persatuan Tok Wali Che Mud, Pasir Hor ini, usaha itu dilihat berpotensi selain doa sebagai ikhtiar paling baik.
“Di dunia, ikhtiar paling baik untuk satu-satu perkara, yang turunkan hujan adalah ALLAH SWT. Bagusnya di Kelantan ini, ada solat hajat, ada ikhtiar dan usaha ini dikira sudah 100 peratus kita buat.
“Bukan saya tidak mahu buat di negeri lain, cuma negeri lain sudah ada arahan dari pihak majlis dan untuk tunggu Kelantan masuk dalam senarai pembenihan awan, rasanya ia memakan masa agak lama, jadi AF Jets tampil untuk kajian dan tanggung jawab sosial korporat (CSR) ini.
“Saya bukanlah bomoh hujan, tetapi kami tekad berikhtiar memandangkan kami ada kepakaran dalam bidang ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: