Saturday, November 29, 2014

12 Lagu Diumumkan Layak Final Ke AJL 29


Barisan artis yang berjaya melayakkan diri ke pertandingan akhir Juara Lagu ke-29.
SHAH ALAM: Dua belas buah lagu terbaik layak ke Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) selepas berentap di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 29 yang disiarkan secara langsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, Jumaat.
Lagu-lagu yang layak ke AJL29 yang akan diadakan pada 18 Januari hadapan terdiri daripada Gilalah (Stacy), Gadis Jolobu (Datuk Hattan & Waris), Malaikai (Hazama), Romancinta (Mojo), Apa Khabar (Joe Flizzow) dan Lelaki (Yuna).
Manakala Matahari (Hafiz Suip), Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah), Rentak Laguku (Bunkface & Amy Search), Sesal Separuh Nyawa (Alyah), Percayalah (Indah Ruhaila), dan Masih Aku Cinta (Shila Amzah) turut dipilih untuk berentap pada peringkat akhir.

Separuh Akhir Muzik Muzik 29 minggu ketiga ini turut menyaksikan persembahan daripada Datuk AC Mizal & Mawi (Al Haq), Ronnie & Marsha (Cinta Makrifat), Bunkface & Amy Search ( Rentak Laguku), Alyah (Sesal Separuh Jiwa), Yuna (Lelaki) dan Hafiz Hamidun (Jodoh Berdua).
Selain Akim & The Majistret (Mewangi), Forteen (Tak Pernah Berjumpa) dan Joe Flizzow & Sona One (Apa Khabar).

Separuh Akhir Muzik Muzik 29 minggu ketiga turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Haiza dan EVA.

Program ini telah bersiaran selama tiga minggu berturut-turut yang bermula 14 November dan menyaksikan persaingan 30 buah lagu terbaik sepanjang tahun 2014.

Kesemua lagu Separuh Akhir Muzik Muzik 29 dinilai oleh barisan juri professional iaitu Edrie Hashim, Damien Mikhail, Helen Yap, LY, Ad Samad, Dato' Mokhzani Ismail dan Azmeer bertindak selaku ketua juri.

"Saya, Erra Tidak Berbincang Mengenai Amar Baharin" - Izreen Azminda


Erra Fazira, Izreen Azminda dan Soo Wincci bakal menerajui teater Takhta 3 Ratu.
PETALING JAYA: Pelakon Izreen Azminda memberitahu dia tidak pernah membincangkan dengan Erra Fazira tentang lelaki yang sering dikaitkan dengan mereka iaitu Amar Baharin ketika sesi latihan teaterTakhta 3 Ratu.
Izreen berkata, kedua-dua mereka bersikap profesional tanpa mencampurkan urusan kerja dan peribadi ketika menjalani sesi latihan teater itu.

"Saya tahu Erra Fazira pernah dikaitkan dengan Amar Baharin dulu tetapi kami tidak pernah langsung bercakap tentang Amar ketika sesi latihan teater yang dilakukan bersama.

"Saya tidak ada masalah berlakon dengan Erra kerana dia sangat profesional dan tidak pernah campur urusan kerja dan peribadi," ujarnya kepada mStar Online.

Izren berkata demikian ketika ditanya tentang hubungannya dengan Erra Fazira ketika sesi latihan teater Takhta 3 Ratu memandangkan sebelum ini pelakon jelita tersebut turut dikatakan mempunyai hubungan dengan Amar Baharin.
Izreen anggap Amar Baharin sebagai kawan rapatnya buat masa ini.
Jelas Izreen, dia juga tidak pernah bertanya kepada lelaki itu sebelum menerima tawaran berlakon di samping Erra Fazira.

"Saya seorang yang sukar untuk bertanya tentang sesuatu yang saya rasa ingin lakukan termasuklah soal berlakon dengan Erra Fazira.

"Saya pergi sahaja kerana pada saya itu adalah peluang terbaik untuk kerjaya lakonan saya," ujarnya.

Bagaimanapun, Izreen berkata setakat ini, Amar belum berkesempatan datang melihat sesi latihan teater tersebut.

Sementara itu, bercerita tentang wataknya sebagai puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai, Izreen berkata ia adalah sesuatu yang sangat menguji tahap lakonannya.

Dia juga terpaksa melakukan empat perkara sukar iaitu bercakap dalam bahasa Indonesia, menari, bersilat dan bermain pedang dalam memainkan watak tersebut.

"Dalam tempoh sebulan latihan ini, saya terpaksa fokus kerana watak saya paling sukar terutama untuk bercakap bahasa Indonesia.

"Saya juga perlu berlatih menari, bersilat dan bermain pedang yang mana tidak pernah saya lakukan sebelum ini," katanya.

Antara pelakon lain yang turut menjayakan teater tersebut ialah Awie, Soo Wincci, Beto Kushairy, Azri Iskandar dan Datuk Rahim Razali.

Takhta 3 Ratu mengisahkan tentang puteri Majapahit iaitu Galuh Chenderai (Izreen) yang berkahwin dengan Sultan Mansur (Azri Iskandar)  terluka hati apabila suaminya itu mengambil keputusan mengahwini Puteri Hang Li Po (Soo Wincci) bagi mengukuhkan pertalian persahabatan antara Melaka dan China.

Dalam persengketaan antara Galuh Chenderai dan Li Po, kedua-dua mereka terkejut apabila Sultan Mansur mahu menikahi Lela Wangsa (Erra), iaitu puteri kepada Maharaja Dewa Sura, pemerintah Inderapura yang cuba hendak menyerang Melaka.

Takhta 3 Ratu bakal dipentaskan bermula 13 hingga 22 Disember 2014 di Istana Budaya.

Kumpulan Kpop, Lovely Pretty Girls Dilantik Duta Produk Di Malaysia


Lovely Pretty Girls dianggotai oleh Lahee, Jiwon, Riwon, Songha, dan Jieun.
PETALING JAYA: Kumpulan Lovely Pretty Girls yang berasal dari Korea Selatan dipilih menjadi duta kepada produk kosmetik Talent Cosmetic yang dilancarkan di Hard Rock Cafe, dekat sini, Jumaat.

Pengarah Eksekutif Talent Cosmetic, Datuk Ruddin Salim berkata, penyanyi berkumpulan wanita itu dipilih berikutan produk tersebut adalah berasal dari Korea.

"Pemilihan kumpulan Kpop ini adalah bersesuaian dengan produk Talent Cosmetic yang diperbuat di negara itu.

"Lagi pula demam Kpop yang melanda negara ini membuatkan pemilihan mereka dirasakan sangat bersesuaian dan tepat," ujarnya kepada mStar Online pada majlis pelancaran produk berkenaan.

Jelasnya, Lovely Pretty Girls akan berada di Malaysia selama beberapa bagi mengikuti sesi rangka promosi dan pelancaran cawangan pertama produk tersebut di Melaka pada Sabtu (hari ini).

Sementara itu, Ruddin berkata, pihaknya dalam perancangan mencari artis tempatan sebagai duta kepada beberapa produk kosmetik rangkaian itu.

"Kami sedang mencari artis tempatan yang sesuai untuk beberapa produk dan artis Indonesia bagi jualan di negara itu," ujarnya.

Sementara itu, Lovely Pretty Girls yang dianggotai lima wanita jelita ini mengakui teruja dengan pemilihan mereka sebagai duta produk.

Mereka yang dianggotai oleh Lahee, Jiwon, Riwon, Songha, dan Jieun ini memberitahu sudah menggunakan kosmetik tersebut sejak sebulan lalu dan ia akan berada di pasaran negara ini pada Sabtu.

Tiada Sasaran Jaclyn Victor, Suami Dapat Anak


Jaclyn tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menimang cahaya mata dan menyerahkan perkara itu kepada rezeki.
PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendapatkan cahaya mata bersama suaminya, Shawn Rivera ekoran mereka tinggal berjauhan buat masa ini.

Jaclyn, 35, berkata, dia tidak mahu berasa tertekan memikirkan soal berkenaan kerana dia terbuka tentang soal itu selain menyerahkan rezeki kepada Tuhan.

"Kami tidak merancang atau meletakkan sasaran tertentu untuk menimang cahaya mata kerana perkara ini terpulang kepada rezeki.

"Tetapi kami suami-isteri sememangnya mahukan kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga kami," ujarnya kepada mStar Online.

Jaclyn berkahwin dengan Shawn, 40, yang juga anggota kumpulan R&B Az Yet pada 19 Julai lalu di The First Unitarian Church of Philadelphia, Amerika Syarikat yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Bagaimanapun penyanyi lagu Gemilang itu hanya mendedahkan perkahwinannya kepada umum dalam satu sidang media yang diadakan Istana Budaya pada 12 Ogos lalu.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana dia mengekalkan hubungan dengan suaminya yang kini berada Amerika, Jaclyn berkata, komunikasi adalah kunci utama dalam hubungan mereka.
Jaclyn dan Shawn berkahwin pada 17 Julai lalu di Amerika Syarikat.
Malah kata Jaclyn, selama ini mereka berhubung menerusi telefon hampir setiap hari dan cara itu masih digunakan selepas mereka berkahwin.

"Komunikasi adalah elemen paling penting dalam sesuatu hubungan dan kami sentiasa berbual di telefon untuk berkongsi pelbagai perkara biarpun kami sibuk dengan tugas masing-masing.

"Saya juga bertuah kerana suami memahami kerjaya saya memandangkan dia juga seorang penyanyi dan kami sangat menyokong di antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Krismas pertama pada 25 Disember depan sejak bergelar isteri, Jaclyn memberitahu Shawn akan pulang ke Malaysia bagi menyambut perayaan itu bersama-sama keluarganya di sini.

Bagaimanapun kata Jaclyn, dia tidak mempunyai sebarang perancangan tertentu pada hari tersebut sebaliknya akan menggunakan masa berkualiti untuk bersama suaminya.

Dalam perkembangan lain, bekas juara Malaysian Idol musim pertama itu baharu sahaja melancarkan album sulung berbahasa Inggerisnya berjudul Unleashed dibawah label KRU Music.

Friday, November 28, 2014

Pembaca mStar Online Temui Mikrofon Hafiz Suip


Hafiz bersama Junaidi dan isterinya, Juliana Jamal serta anak-anak mereka ketika pertemuan di Sentul pada malam Khamis. Foto Ihsan Instagram Hafiz Suip.
PETALING JAYA: Kegelisahan penyanyi Hafiz Suip ekoran kehilangan mikrofon kesayangannya pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) yang berlangsung pada 7 November lalu akhirnya terlerai selepas peralatan itu ditemui oleh seorang pembacamStar Online.

Individu tersebut, Junaidi Kargo, 39, ketika dihubungi berkata, dia menemui mikrofon tersebut berhampiran tempat letak kereta Hotel Seri Pacific yang terletak bersebelahan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di mana acara itu berlangsung ketika dalam perjalanan pulang selepas menyaksikan anugerah itu.

"Ketika menemui mikrofon tersebut saya tidak tahu ia milik Hafiz biarpun pada kotaknya ada tertera namanya tetapi langsung tidak menyangka ia milik seorang penyanyi.

"Apabila membaca laporan mStar Online yang mengatakan Hafiz kehilangan mikrofon selepas ASK baharulah saya tahu ia milik penyanyi tersebut," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Komen yang ditinggalkan oleh Adila pada ruangan komen di mStar Online.
Hafiz dalam laporan mStar Online bertarikh 24 November lalu berkongsi rasa sedih akibat kehilangan alatan tersebut yang dibelinya sejak setahun lalu kerana ia mempunyai nilai tinggi.

Bagaimanapun Hafiz mengakui kehilangan tersebut bukan disebabkan kecurian sebaliknya atas kecuaian dirinya sendiri yang meletakkan kotak mikrofon tersebut di bumbung keretanya.

Ekoran kejadian tersebut, Hafiz turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada hari berikutnya.

Difahamkan mikrofon itu bernilai puluhan ribu ringgit.

Selain Hafiz, beberapa artis tempatan lain turut mempunyai mikrofon sendiri seperti Datuk Siti Nurhaliza dan juga Misha Omar.

Dalam pada itu, Junaidi berkata, selepas membaca laporan kehilangan tersebut di mStar Online, dia meminta bantuan adik iparnya yang dikenali sebagai Adila untuk mendapatkan nombor telefon pihak pengurusan Hafiz bagi membolehkan dia memulangkan semula peralatan berkenaan.
Hafiz lega mikrofon kesayangannya ditemui semula.

Adila dalam ruangan komen berita itu di mStar Online  memaklumkan mikrofon tersebut berada dalam simpanannya serta meninggalkan nombor telefon Junaidi dengan harapan pihak Hafiz menghubungi mereka.

"Asalnya isteri saya yang baca artikel berkenaan dan mula menyedari bahawa mikforon yang kami jumpa itu miliknya dan meminta bantuan adiknya untuk menghebahkan perkara itu di laman sosial supaya peralatan berkenaan dapat dipulangkan.

"Alhamdulillah selepas beberapa hari pihak Hafiz menghubungi saya dan pada malam Khamis (semalam) dia datang sendiri ke rumah saya di Sentul untuk mengambil alatan tersebut," katanya.

Sementara itu, Junaidi berkata, Hafiz kelihatan cukup gembira apabila menerima mikrofon tersebut dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Dia juga berbesar hati dapat membantu Hafiz dan yakin mikrofon berkenaan mempunyai makna besar dalam karier penyanyi itu.

"Syukur mikrofon berkenaan dapat dipulangkan kepada tuannya dan paling tidak sangka Hafiz datang ke rumah kami malah menghabiskan masa lebih sejam untuk beramah mesra dengan kami sekeluarga.

Adila memaklumkan dalam laman Twitter miliknya Hafiz sudah mengambil mikrofon berkenaan.
"Hafiz seorang yang sangat merendah diri dan cukup mesra. Anak-anak saya paling teruja dapat bertemu dengannya," ujar Junaidi.

Dalam perkembangan sama, Hafiz menerusi laman Instagram miliknya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Junaidi sekeluarga atas keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan kerana bersungguh-sungguh untuk memulangkan mikrofon tersebut.

"Alhamdulillah... terima kasih saya ucapkan kepada abang Junaidi kerana telah menemui mikrofon kesayangan saya dan kepada seluruh ahli keluarganya kerana menyambut kedatangan saya dengan hati yang terbuka.

"Insya-Allah, mikrofon tersebut akan digunakan pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung tidak lama lagi," ujarnya.

Aishah Ilias Putus Cinta Kerana Berlakon 'Cinta Ibadah'


Aishah semakin dikenali sejak membintangi drama bersiri Cinta Ibadah.
KUALA LUMPUR: Pelakon Aishah Ilias mendedahkan perkenalannya dengan seorang pemuda terputus gara-gara kesibukannya dalam penggambaran drama bersiri Cinta Ibadah yang memerlukan dia berada di lokasi hampir setiap hari sejak Mac lalu.

Aishah, 27, berkata, dia mengenali individu berkenaan sebelum terlibat dalam drama 130 episod itu namun hubungan mereka tidak menjadi gara-gara pemuda tersebut tidak memahami kerjayanya sebagai pelakon.

"Dia orang biasa dan tidak faham jadual dan tugas saya sebagai pelakon, tambahan pula saya terlibat dalam drama bersiri itu sebanyak 130 episod.

"Jadual saya memang padat sehingga dapat berehat dua hari sahaja dalam sebulan dan selebihnya berada di set seawal pukul 7 pagi dan berakhir 12 tengah malam," katanya kepada mStar Online.

Aishah ditemui pada majlis selesai penggambaran Cinta Ibadah di Flora Terrace di sini pada malam Rabu lalu.

Selain Aishah drama yang sedang ditayangkan di Astro Maya HD itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Fattah Amin, Sherry Ibrahim dan Raja Ilya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, dia tidak menyalahkan lelaki itu mengambil keputusan menjauhkan diri daripadanya kerana ia adalah pilihan terbaik buat mereka berdua.

Tambah Aishah, dia sendiri tidak yakin dapat mengekalkan hubungan berkenaan sekiranya mereka bercinta kerana tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian.

"Hampir setahun terlibat dalam Cinta Ibadah saya memang tiada kehidupan peribadi dan kerja adalah teman paling rapat. Lelaki yang ingin berkenalan dengan saya pun lari. Nasib baik kami belum bercinta... Hahaha.

"Saya sendiri sebenarnya tidak sedar sebelum ini tentang komitmen yang perlu saya patuhi apabila bersetuju berlakon dalam drama ini. Ia bukan main-main dan perlu memberikan tumpuan seratus peratus," ujarnya.

Sementara itu, Aishah berkata, biarpun berasa penat berlakon dalam Cinta Ibadah tetapi dia mengakui ia antara pengalaman hebat sepanjang bergelar artis.

Dia juga berjaya mengasah bakat lakonannya dengan lebih baik iaitu teknik yang betul selain dapat mempelajari selok-belok kerja produksi.

"Macam-macam yang saya lalui sepanjang menjalani penggambaran drama bersiri ini termasuklah perkara baik dan buruk tentang industri lakonan.

"Bagaimanapun saya ambil perkara itu sebagai satu ilmu yang dapat membantu saya pada masa hadapan," ujarnya.

Tambah Aishah, sejak drama itu ditayangkan dia mendapat pelbagai tawaran daripada syarikat produksi namun terpaksa menolak kerana terikat dengan jadual drama itu.

Dalam perkembangan lain, Aishah berkata, buat masa ini dia ingin berehat seketika daripada dunia lakonan dan merancang bercuti bersama keluarganya sebelum kembali aktif.

"Hampir setahun saya jarang bersama keluarga dan ini adalah masanya saya ganti balik dengan membawa mereka bercuti sebelum kembali berlakon.

"Ibu saya ingin melawat negeri Melaka dan saya akan bawa dia ke sana nanti," ujarnya.

Bapa Mia Sara Bengang Anak Dituduh Hipokrit


Mia Sara dikatakan bersikap hipokrit.
PETALING JAYA: Bapa kepada pelakon Mia Sara iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berasa terkejut apabila anaknya itu terkait dengan gosip kononnya bersikap hipokrit.

Ridhuan berkata, dia berasa pelik dengan segelintir pihak yang sanggup bercakap buruk dan menyebarkan gosip mengenai Mia yang baru berusia sembilan tahun, seperti pelakon-pelakon dewasa lain.

"Sebenarnya saya tidak mempunyai masalah atau terkilan dengan gosip yang timbul kerana ia semestinya tidak benar. Rasa kelakar pula, dengan budak kecil yang masih tidak faham apa-apa pun orang nak jadikan bahan gosip.

"Tidak mengapa, orang bercakap, kita yang dapat pahala. Saya akan tuntut di akhirat nanti," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Sebuah akhbar mingguan pada 23 November lalu menerusi ruangan pojok melaporkan Mia bersikap hipokrit apabila membuat kenyataan kononnya mengagumi kejayaan pelakon cilik, Balqis yang menang Pelakon Wanita Terbaik di majlis Anugerah Skrin 2014 pada 7 November lalu.
Ridhuan akan memastikan Mia tidak akan menyusahkan pihak lain dalam kerja-kerja penggambaran.  
Sedangkan Mia dilaporkan tidak menegur atau bercakap dengan Balqis ketika mereka bekerjasama dalam produksi yang sama sebelum ini.

Sementara itu, Ridhuan berkata, dia sememangnya mendidik Mia untuk tidak terlalu banyak bercakap ketika menjalani penggambaran kerana risau tingkah laku anaknya itu mengundang rasa kurang senang terhadap pihak lain.

Malah, bagi memudahkan perjalanan penggambaran, dia turut menyediakan semua kelengkapan termasuklah set barangan solek, beg dan baju  sendiri selain ada orang menjaganya sepanjang berada di lokasi penggambaran.

"Apabila saya sediakan segala kelengkapan untuk Mia, itu pun dah ada orang bercakap kononnya nampak 'poyo'. Walhal saya mahu memudahkan lagi perjalanan produksi dan tidak mahu kerana anak saya, orang lain pula bermasalah.

"Pada masa sama saya turut memberitahu Mia untuk tidak banyak bercakap di set dan hanya fokus pada kerja. Dan yang paling penting jangan menyampuk apabila orang sedang bercakap.

"Sebagai seorang bapa yang tidak selalu menemani Mia di set, sudah pasti saya akan berasa risau, kerana anak kecil itu sedang belajar setiap perkara yang ada di persekitarannya," Muhammad Ridhuan.

Fouziah Gous Tidak Tertekan Belum Timang Anak


Fouziah dan suaminya, Zhafran
KUALA LUMPUR: Pelakon Fouziah Gous tidak berasa tertekan untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat selepas setahun mendirikan rumah tangga bersama Zhafran Yusof, 31.

Fouziah, 31, berkata, kedua-dua mereka masih lagi berada dalam suasana berbulan madu dan melalui proses belajar mengenali hati budi masing-masing.

"Saya tidak pernah rasa tertekan untuk dapat cahaya mata kerana saya rasa usia perkahwinan kami masih baru dan kami dalam keadaan berbulan madu.

"Kami jenis bercinta selepas kahwin, jadi buat masa ini masih lagi belajar tentang diri masing-masing dan tentang anak kami hanya berserah kepada takdir," ujarnya kepadamStar Online.
Fouziah berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukkan fesyen rekaan butik Bianco Mimosa yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Khamis.

Pertunjukkan fesyen itu menampilkan baju rekaan milik butik berkenaan dan jualan lelong sempena Perhimpunan Agung Umno 2014.

Fouziah benar-benar bahagia bersama Zhafran

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pemilik butik Datuk Ida Suraya, Izreen Azminda, Amar Baharin dan Kaka Azraff.

Dalam pada itu, Fouziah berkata, dia masih lagi dalam proses mengenali lebih mendalam dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keluarga dan rakan-rakan suaminya.

"Saya masih dalam proses kenal keluarga, saudara mara dia, malah rakan-rakan dia pun ada yang saya belum kenal.

"Pendek kata dalam masa setahun ini adalah proses saya belajar sedikit demi sedikit tentang dia. Alhamdulillah semua perkara yang baru yang saya belajar tentang dia membuatkan saya lebih teruja melalui kehidupan berumah tangga ini," ujarnya.

Sementara itu, menurut Fouziah sejak berumah tangga, mereka banyak menghabiskan masa bersama kerana terlibat dengan perniagaan burung walid yang diusahakan.

"Boleh dikatakan hampir setiap masa kami bersama dan saling menemani. Misalnya waktu pagi saya ikut dia pergi kerja dan petang dia pula teman saya uruskan kerja.

Dalam pada itu bercerita tentang kerjaya lakonannya, Fouziah berkata, dia bakal kembali semula berlakon dalam satu telefilem terbitan Astro tidak lama lagi.

Katanya, kemunculan tersebut selepas enam bulan berehat daripada terlibat dengan sebarang aktiviti seni bagi menumpukan perhatian terhadap keluarga.

"Insya-Allah saya akan kembali dalam bidang lakonan dengan sebuah drama terbitan Astro tidak lama lagi.

"Saya akui sekarang memang saya memilih watak yang bagus dan berbaloi untuk dilakonkan sahaja berbanding dahulu kerana keutamaan saya ialah pada keluarga," ujarnya.

Fouziah dan Zhafran berkahwin pada 22 September 2013 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Tajuk 'Gila Baby' Dipilih Kerana Mampu Pikat Penonton


Barisan pelakon yang terlibat dalam filem Gila Baby. 
PETALING JAYA: Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB), Tengku Iesta Tengku Alauddin, menjelaskan tajuk filem Gila Baby dipilih mengikut kesesuaian jalan cerita dan difikirkan mampu menarik penonton datang ke panggung.

Tengku Iesta berkata, ia juga merupakan tajuk awal yang dibuat pengarah filem Khabir Bhatia sejak filem itu belum memulakan penggambaran lagi.

"Ketika kami terima filem ini memang working title yang digunakan ialah Gila Baby dan saya rasa ia sangat sesuai dan menarik hingga terus menjadi tajuk sebenar.

"Mula-mula nampak macam agak pelik tetapi bila tengok filem ini secara keseluruhannya ia sangat kena dengan jalan cerita tersebut," ujarnya kepada mStar Online.

Tengku Iesta berkata demikian ketika ditemui pada malam gala Gila Baby yang diadakan di Cathay Curve, di sini, malam Rabu.

Sementara itu, Tengku Iesta berkata, filem ini merupakan kerjasama kelima pihaknya bersama Filmscape selepas Sembunyi, Cinta, Sepi dan Nur Kasih.

Dalam pada itu menurut pengarahnya, Khabir, konsep filem 'road movie' ini memberi suatu kelainan berbanding filem-filem sebelum ini.
Khabir Bhatia

Khabir menjelaskan, Gila Baby menggunakan plot yang tidak khusus dan mudah difahami penonton.

"Cerita ini memberi pengajaran kepada semua orang agar berusaha mengubah nasib mereka. Filem ini menjanjikan jalan cerita yang lebih ringkas dan padat," ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai pemilihan pelakon, Khabir memberitahu ia dibuat berdasarkan kesesuaian watak.

Katanya, pemilihan pelakon  Sharnaaz sebagai watak penting juga kerana dia mempunyai sifat humor yang dilihat ketika terlibat dengan beberapa projek di bawahnya arahannya sebelum ini.

Filem aksi komedi ini mengisahkan Bob, lakonan Beto Khusairy yang memerlukan sejumlah wang bagi membiayai pembedahan ayahnya yang sakit.

Bob terpaksa mengambil jalan mudah dengan membantu Roy (Sharnaaz Ahmad) melakukan jenayah mencuri kereta.

Namun, percubaan pertama Bob untuk aktiviti jenayah dihalang dengan penemuan seorang bayi di tempat duduk belakang kereta yang ingin dicurinya itu.

Filem ini turut menampilkan Beto Khusyairy, Nadiya Nissa, Lan Pet, Pet, Fimie Don dan Chelsia Ng. Ia bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 4 Disember ini.

Awal Ashaari Kesal Stesen TV Utamakan Pelawak Jadi Pengacara


Awal minta agar stesen televisyen berlaku adil pilih pengacara.
PETALING JAYA: Awal Ashaari kesal apabila stesen televisyen di negara ini dilihat lebih cenderung memilih pelawak sebagai pengacara dengan menjadikan individu sepertinya sebagai pilihan kedua.

Awal, 33, berkata, stesen televisyen seharusnya faham peranan pelawak dan pengacara serius sepertinya sebelum menawarkan peluang mengendalikan sesebuah program.

"Pihak stesen televisyen sepatutnya bersikap adil dan tahu membezakan pengacara daripada golongan pelawak dan pengacara untuk rancangan serius.

"Saya lihat sekarang ini pihak stesen televisyen sering memilih mereka di kalangan pelawak sebagai pilihan pertama dan pengacara serius seperti saya dipilih pada saat-saat akhir.

"Perkara ini pernah terjadi kepada saya apabila saya ditawarkan mengacara sesebuah progrom apabila pelawak yang dipilih buat hal,” ujarnya kepada mStar Online.

Awal berkata demikian ketika diminta mengulas kemunculan pengacara-pengacara baharu daripada golongan pelawak yang sering mendapat peluang mengacarakan acara-acara besar dan berprestij di stesen televisyen.

Secara tidak langsung kata Awal, perkara tersebut bakal membunuh industri pengacaraan khususnya pengacara-pengacara serius yang mencari makan dalam bidang penyiaran.

Awal juga mengakui skop kerjayanya semakin mengecil apabila terpaksa bersaing dengan pelawak-pelawak baharu yang diangkat menjadi pengacara.

"Kalau semua pelawak menjadi pengacara semua program, ia boleh membunuh industri pengacaraan kepada pengacara acara serius seperti saya ini.

"Selain itu, program-program terbitan televisyen juga banyak menjurus kepada program komedi berbanding ilmiah," katanya.

Dalam pada itu, Awal berkata, kebanyakan pelawak mempunyai pakej tertentu membuatkan mereka lebih mendapat pilihan dalam mengendalikan sebuah majlis.

Katanya, perkara tersebut juga membuatkan dia sering ditanya sama ada mempunyai pakej yang sama seperti yang diberi oleh pelawak.

"Pelawak biasanya akan bagi pakej termasuk melakukan lawak sejam jika mengambil mereka untuk mengendalikan sesebuah majlis. Ada penganjur yang bertanya saya, sama ada boleh buat lawak sejam atau tidak?

"Itu membuatkan golongan itu sering menjadi pilihan utama sebagai pengacara majlis," keluhnya.

UPSR: Murid Islam Cemerlang Subjek Bahasa Tamil


KEBANGGAAN KELUARGA: Pravi (kiri) menunjukkan slip peperiksaannya.
KULIM: Murid tahun enam, Pravi Muhammad Anggi Muhammad Firdaus bertutur dalam Bahasa Malaysia terutamanya di rumah dan tidak yakin boleh lulus ujian kertas Bahasa Tamil.

Oleh sebab itu, murid dari SJK (T) Wellesley di Lunas, Kedah yang memperoleh keputusan 7A dalam UPSR itu tidak percaya apabila melihat slip peperiksaannya.
Pravi berkata, dia tidak menduga memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu kerana dia sering berusaha keras mempelajari Bahasa Tamil di sekolahnya.
"Basaha Tamil adalah subjek saya yang paling lemah dan saya tidak yakin sama ada boleh mencatat keputusan cemerlang bagi kertas Bahasa Tamil dalam peperiksaan itu.
"Tambahan pula, kertas itu semasa peperiksaan lalu amat sukar," kata Pravi ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Permai, Lunas pada Khamis.

Pravi berkata dia memasuki sekolah tersebut sejak tahun satu dan tidak pernah bertutur dalam Bahasa Tamil.

"Saya tidak boleh bercakap atau menulis dalam Bahasa Tamil. Saya berusaha selama dua tahun tetapi ibu saya banyak memberikan galakan dan motivasi," katanya.

Pravi berkata, dia dan bapanya yang juga seorang mualaf bertutur dalam Bahasa Tamil sekali-sekala.
Ibunya, Sri Rahayu Sinaga Kamalluddin Sinaga, 37, berkata dia sentiasa mahukan anak-anaknya untuk menguasai semua bahasa di Malaysia.
"Oleh sebab itu saya menghantar Pravi ke sekolah Tamil, manakala anak lelaki sulung saya pergi ke sekolah kebangsaan dan anak bongsu saya bersekolah di sekolah Cina," katanya.

Guru besar, N. Majiappen berkata Pravi antara 15 pelajar yang memperoleh keputusan 7A di sekolah itu.

"Pravi seorang murid yang bijak tetapi memang benar dia terpaksa berusaha keras bagi subjek Bahasa Tamil. Dia antara salah seorang pelajar harapan kita untuk memperoleh keputusan 7A dan dia tidak mengecewakan kami," katanya.

'Johnny Depp' Kahwini Pokok Kali Kedua


LIMA: Seorang aktor Peru memilih sebatang pokok sebagai isterinya dan ia bukan sekadar lakonan apabila ikatan itu disaksikan jemputan dalam majlis perkahwinan yang aneh, lapor media pada Rabu.
Malah perkahwinan Richard Torres yang rupanya mirip pelakon terkenal Johnny Depp dengan pokok itu bukanlah yang pertama kali kerana tumbuhan itu pernah menjadi pasangannya untuk kali pertama tahun lalu.
Perkahwinan Torres dengan pokok itu dilangsungkan di Taman Negara Bogota, Ahad lalu.
Bagaimanapun, di sebalik majlis itu, perkahwinan berkenaan diadakan sebagai cara menanamkan kesedaran terhadap kepentingan isu alam sekitar kepada orang ramai.
Kata Torres, dia berharap perkahwinannya dengan pokok dapat membawa mesej jelas kepada semua pihak bahawa alam sekitar perlu sentiasa dijaga.
“Semoga lebih ramai orang memberi perhatian kepada masalah alam sekitar di dunia yang disebabkan oleh perbuatan manusia,” katanya.
Dia juga menggesa pemberontak dalam Pasukan Bersenjata Revolusi Colombia menukar aktiviti mereka daripada berperang kepada menanam pokok.
Perkahwinan pertama Torres dengan pokok dilangsungkan di Buenos Aires.

UTHM Perluas Aplikasi Teknologi Hijau Ekoran Pengiktirafan Antarabangsa


Penyelidik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), (dari kiri) Prof Madya Norzila Othman dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar, Prof Madya Zawati Harun dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Dr Soon Chin Fhong dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik menunjukan hasil penyelidikan mereka yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa semasa ditemubual secara eksklusif oleh Bernama.
KUALA LUMPUR: Penghasilan produk penyelidikan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang merangkul enam pingat emas melalui tiga produk penyelidikan, dalam pertandingan British Invention Show (BIS) 2014, di London baru-baru ini merupakan langkah permulaannya untuk memperluas aplikasi teknologi hijau dalam industri tempatan.
Ketua Penyelidik Pusat Pembuatan dan Bahan Termaju, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof Madya Dr Zawati Harun berkata fokus utama penyelidikan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa ini adalah penghasilan produk yang boleh dikomersialkan kepada pemain industri tempatan bagi menjaga ekosistem dan kelestarian alam sekitar.
"Malaysia kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dan memiliki taburan hujan yang tinggi, namun kita masih berhadapan dengan masalah pencemaran alam termasuk sumber air yang tidak bersih...hal ini terjadi kerana kita mengabaikan kelebihan bahan semula jadi dan lebih banyak menggunakan bahan kimia dan toksik," katanya pada Khamis.
Tiga produk penyelidikan itu adalah produk penapisan anti bakteria (Antibac Membran) daripada pokok-pokok herba, produk penjerap logam berat daripada sisik ikan tilapia hitam dan produk sintesis kristal cecair daripada tumbuh-tumbuhan untuk menghasilkan sel dalam bentuk 3D.
Dr Zawati berkata sekiranya pemain industri menyedari akan kelebihan bahan semula jadi, pasti kos pengeluaran dan pemprosesan dapat dijimatkan dan seterusnya produk yang dihasilkan akan lebih berkualiti.
Penghasilan produk Antibac Membran oleh pasukan penyelidik yang diketuai sendiri oleh Dr Zawati, merupakan gabungan antara bahan polimer dan herba semula jadi seperti sekam padi, bunga cengkih dan Habatussauda, boleh digunakan untuk pemprosesan penapisan air.
Antibac Membran dapat menghalang proses pertumbuhan bakteria dan mengatasi masalah keracunan yang disebabkan oleh penggunaan alat penapis air yang mengandungi bahan toksik.
Sementara itu produk penjerap logam berat daripada sisik ikan tilapia hitam yang dihasilkan pasukan yang diketuai oleh Ketua Pusat Penyelidikan Pencemar Mikro, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM, Prof Madya Dr Norzila Othman pula merupakan alternatif yang digunakan pada loji perawatan air bagi menghasilkan sumber air yang lebih berkualiti.
Sisik ikan tilapia hitam berpotensi untuk dijadikan bahan penjerap logam berat dalam sistem berair kerana sistem perawatannya tidak menggunakan bahan kimia dan berkos rendah, katanya.
Produk sintesis kristal cecair yang menggunakan tumbuhan seperti lobak merah pula untuk menghasilkan sel dalam bentuk 3D yang diketuai Penyelidik Utama Makmal Biopenderia dan Kejuruteraan Bio, Dr. Soon Chin Fhong, yang boleh dijadikan sebagai bahan uji kaji untuk makmal perubatan.
Penggunaan lobak merah dapat menjana penghasilan kultur sel 3D yang boleh menyerupai tisu manusia tersebut, dan dapat mengurangkan aktiviti pengeksploitasian terhadap haiwan dan menjimatkan kos memandangkan kos mengekalkan rumah haiwan bagi tujuan uji kaji, amat tinggi.
Sehubungan itu, Dr Zawati berkata kerjasama dari semua pemain industri tempatan dan kerajaan amat diperlukan bagi membolehkan ketiga-tiga bahan ciptaan ini diperkembang supaya aplikasi teknologi hijau akan menjadi keutamaan masyarakat pada masa akan datang.
"Beginilah cara kami (penyelidik) untuk memberi kualiti hidup yang baik kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara, iaitu dengan mencipta teknologi mesra alam.
"Jika semua pihak memainkan peranan, pastinya kadar kesedaran masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau ini akan meningkat, sekaligus dapat mendidik mereka dalam memelihara dan memulihara alam sekitar," katanya. 

Diana Amir teruja bakal bergelar ibu


  • Diana AmirDiana Amir

SELEPAS hampir setahun dihujani dengan soalan mengenai zuriat, pasangan sama cantik sama padan, Diana Amir dan suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman teruja apabila mereka bakal menimang cahaya mata sulung pada akhir Februari depan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur di atas rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT kepada kami.

"Saya disahkan mengandung setelah pulang dari Paris kerana menjalani penggambaran travelog Kembara Ilmu.

"Kini saya sedang hamil enam bulan dan setelah melakukan imbasan kandungan pada  minggu lepas, doktor mengesahkan kami bakal dikurniakan anak perempuan," katanya pada Zass.

Kata teraju utama filem Pe3 ini, kehamilannya itu sekali gus melenyapkan segala persoalan yang berbangkit.

"Saya akui ramai yang bertanya mengenai soal zuriat. Terus terang saya katakan, saya tidak rimas dengan soalan-soalan ‘panas’ seperti itu.

"Saya percaya dalam tempoh awal perkahwinan kami, ALLAH SWT memberi lebih peluang kepada kami untuk meluangkan masa bersama apatah lagi kami adalah jenis yang suka berjalan-jalan," katanya yang sudah melancong ke pelbagai negara seperti Maldives dan Indonesia.

Menceritakan mengenai usia kandungannya yang sudah memasuki trimester kedua, pelakon berusia 28 tahun ini memberitahu, alahannya kini sudah mulai berkurangan.
"Pada peringkat awal kandungan, saya mengalami alahan yang teruk. Sampaikan hendak makan pun tidak boleh.

"Ketika usia kandungan saya berusia tiga bulan, saya menjalani penggambaran drama bersiri, Cinta Ilahi. Ketika saya bekerja, saya tidak mengalami sebarang alahan tetapi jika saya bercuti, saya pasti akan mengalami alahan yang teruk.

"Daripada situ, saya baharu menyedari yang badan saya perlu sentiasa bergerak dan tidak boleh duduk diam. Baharulah saya akan rasa sihat. Tetapi, alahan saya kini sudah semakin hilang," katanya.

Ketika ditanya adakah dia akan terus berlakon walaupun sedang sarat mengandung kelak, pemilik nama penuh Nurdiyana Amir Hashim ini memberitahu:

"Keadaan badan akan berubah kelak, pastinya saya akan memilih watak yang bersesuaian. Pasti saja watak itu nanti tidak memerlukan saya terlalu aktif.

"Oleh sebab itu, saya kini lebih selesa untuk memberi pelbagai ceramah motivasi di universiti atau sekolah," katanya.


Bakal tinggalkan MIG

Beralih kepada  soal kerjayanya pula, Diana memberitahu, dia bakal mengikut jejak aktres Yana Samsudin apabila mengambil keputusan untuk meninggalkan Metrowealth Pictures (MIG) selepas lima tahun di bawah naungan syarikat berkenaan.

"Februari depan tamatlah kontrak saya bersama MIG.

"Saya tidak berhasrat untuk menyambung kontrak lagi kerana kini saya pun lebih banyak bergerak secara solo.

"Sebelum ini, MIG banyak menguruskan soal yang berkaitan duta atau filem," katanya.

Bagaimanapun, kata bintang Aku Masih Dara ini, dia masih belum berbincang lagi dengan Mejar David Teo mengenai hasratnya itu.

Dalam perkembangan lain, Diana bakal muncul dalam drama bersiri Cinta Ilahi untuk siaran TV3 bersama aktor, Johan As’ari selain membintangi filem terbitan MIG, Raya Aidil dan Fitri untuk tayangan raya tahun hadapan.

"Saya juga akan terlibat dalam rancangan realiti, Adik-Adikku di RTM untuk slot mengajar bahasa Inggeris.

"Mengenai bidang pengacaraan pula, saya kini sedang direhatkan untuk satu musim dalam program SIS kerana faktor mengandung," katanya.

Pada masa sama, Diana juga akan muncul sebagai penampilan khas bersama suaminya dalam rancangan berbentuk travelog Kembara Ilmu yang mula bersiaran pada 27 November ini, jam 9 malam di TV Al Hijrah untuk dua episod.

Didi Astillah lebih matang

  • Didi AstillahDidi Astillah

JIKA diselak perjalanan karier seninya, gadis kecil molek ini bukanlah bakat baharu yang perlu diperkenalkan lagi.

Memulakan karier dalam bidang nyanyian sejak berusia tiga tahun, bekas peserta program realiti Idola Kecil dan Kamilah Bintang ini sebenarnya sudah pun memiliki pengikut yang tersendiri.

Tampil dengan imej yang lebih matang, bintang kelahiran Sandakan, Sabah ini sudah bersedia melangkah lebih jauh dengan terhasilnya album terbaharu Didi Astillah.

“Semua lagu yang diselitkan dalam album ini mula direkodkan pada pertengahan tahun lalu. Tapi saya terpaksa berehat sebentar untuk beri fokus pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Tahun ini barulah saya kembali aktif dalam karier seni dan Alhamdulillah, selepas lebih kurang setahun, album ini akhirnya dapat disempurnakan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album solonya di Warner Music Malaysia, Menara TSR, Mutiara Damansara, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai album itu, Didi memberitahu dia memilih genre pop dance bersesuaian dengan penampilan remajanya.

“Jika sebelum ini saya dikenali dengan nyanyian kanak-kanak, tapi dalam album kali ini semuanya berbeza mengikut usia saya sekarang.

“Mungkin ini juga satu kelebihan yang saya ada untuk menghiburkan peminat muzik sebaya saya,” ujarnya.


Guna sosial media

Memiliki jumlah pengikut lebih seratus ribu di laman Instagram adalah kelebihan buat Didi mempromosikan album terbaharunya.

“Setakat ini, respons yang saya terima daripada peminat menggalakkan dan paling terharu apabila ramai juga yang sudah buat cover lagu saya.

“Memang Instagram banyak bantu saya dekatkan diri dengan peminat,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Didi turut berkongsi rasa bertuah kerana berpeluang bekerjasama dengan komposer hebat, L.Y dan Posan yang bertanggungjawab dalam penghasilan albumnya.

Album Didi Astillah memuatkan enam buah lagu iaitu Pujaan Hatiku, La lala, Aku Jatuh Cinta, Fikirkan Kamu, BFFku, Stop Mencintaiku dan I Love You So.

Artfest 2014 medan eskpresi pencinta seni


  • Artfest 2014 medan eskpresi pencinta seni

KARNIVAL seni (Artfest) 2014 anjuran Kelab Pengurusan Seni Anomalist Production dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini mendapat sambutan hebat daripada mahasiswa tempatan.

Pengarah projek Artfest 2014, Rul Iman Nur Rahidzab berkata, karnival seni yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memperkenalkan pelbagai cabang seni kepada mahasiswa terlibat.

"Dunia seni semakin berkembang maju, kerana itu mahasiswa yang menuntut dalam jurusan ini perlu diketengahkan dengan aspek seni yang lebih berskala besar.

"Saya yakin menerusi projek ini, bukan sahaja ilmu dan pengetahuan sebaliknya mereka dapat melihat sendiri perubahan dunia seni tempatan," katanya.

Tambahnya, walaupun hanya mempunyai masa sebulan untuk menyusun segala aktiviti, tetapi dia berbangga kerana komitmen semua pihak ia berjalan dengan lancar dan jayanya.

"Karnival kali ini juga lebih meriah. Walaupun terdapat kekangan masa tetapi ia bukan alasan untuk kami memastikan ia berjaya.

"Malah karnival ini juga telah menjadi satu medan bagi semua yang terlibat untuk berkumpul dan mengekspresikan rasa cinta mereka terhadap seni," katanya.

Jelasnya, dia percaya Artfest 2014 berbaloi kepada penganjur dan pengunjung.

"Untuk menjayakan sebuah acara besar kita perlu berkorban daripada pelbagai sudut dan ini terbukti apabila saya serta tenaga kerja Anomalist Production yang lain terpaksa berhadapan cabaran membahagikan masa sebagai pelajar dan tenaga kerja Artfest 2014," katanya.

Sementara itu, presiden Kelab Pengurusan Seni Anomalist Production, Muhamad Adli Aiman Ahmad berkata, seni itu luas, bukan untuk keuntungan dan bukan juga untuk populariti semata-mata.

"Seni untuk semua orang dan dalam karnival ini kami tidak hadkan seni kepada persembahan sahaja. Oleh itu tidak wajar jika ia disempitkan skopnya," katanya yang terkenal dengan karya teater Anak Muda dan Saksi Terakhir ini.

Sedikit mengenai karnival seni ini,  ia melibatkan persembahan teater, tarian, kumpulan muzik, bacaan puisi, sembang santai isu seni, sesi melakar atau ‘doodle’, bengkel ‘mime’ atau teknik lakonan komedi senyap serta bengkel teknik menyunting gambar menggunakan aplikasi telefon pintar yang dikenali sebagai ‘mobilegraphy’.

Artfest 2014 turut mendapat penglibatan produksi terkenal seperti Revolution Stage dan Playground Productions.

Manisnya Cinta Di Cappadocia

  • Anis AyuniAnis Ayuni

NOVELIS terkenal, Anis Ayuni mendedahkan dia berpuas hati dengan karya filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, arahan Bernard Chauly.

Filem yang diadaptasi dari novel tulisannya, Manisnya Cinta akan ditayangkan pada 11 Disember ini.

Bagaimanapun novelis berusia 51 tahun ini mengingatkan pembaca novel untuk tidak meletak harapan bahawa semua babak di dalam novel diadaptasi ke filem.

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan karya filem ini dan saya juga memahami kesuntukan masa membataskan semua babak untuk dimasukkan ke dalam filem ini.

"Dari segi jalan cerita, filem ini dekat dengan novel dan ada banyak babak di dalam novel dimasukkan ke dalam filem ini. Cuma satu sahaja babak penting, di mana Ifti Liyana mendarat dengan kapal terbang yang diterbangkan oleh Nazmi, tidak ada di dalam filem ini.

"Saya percaya ramai yang mahukan dan ingat babak itu, tapi saya harap pembaca faham dan menerima hakikat bahawa adaptasi filem daripada novel tidak akan sama 100 peratus," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem ‘Manisnya Cinta di Capadocia', baru-baru ini.

Anis berkata, dia berharap mereka yang belum membaca novel Manisnya Cinta akan membaca novel tersebut selepas menonton filem ini.

Sementara itu, lakon layar filem ini, Rafidah Abdullah, berkata, dia bersama Bernad dan Anis ada duduk berbincang mengenai perjalanan cerita ini dan Anis sendiri banyak membantu memberi panduan babak-babak penting di dalam novel yang perlu diadaptasi ke filem.

"Bagi saya cabaran paling sukar untuk menghasilkan skrip adalah untuk menterjemahkan watak Ifti kerana dia suka bermonolog dengan dirinya sendiri.

"Sebab itu saya menambah beberapa babak untuk menunjukkan apa yang ada difikirkan Ifti,” ujar Rafidah.

‘Manisnya Cinta di Cappadocia’ berkisar tentang seorang gadis bernama Ifti Liyana yang enggan menjadikan pangkat, rupa dan harta sebagai ukuran dalam mencari jodoh. Walaupun lelaki tersebut hanya seorang pemandu bas, Ifti tidak terlalu memilih asalkan lelaki tersebut memiliki hati yang mulia.

Menjadikan Turki dan Kuala Lumpur sebagai latar belakang, filem ini dijayakan oleh Shaheizy Sam, Fazura, Lisa Surihani, Faizal Hussein dan ramai lagi.


Bernard cari sendiri lokasi

Dalam pada itu, berkongsi mengenai filem keempat arahannya ini, Bernard berkata, dia mengambil inisiatif sendiri untuk meninjau lokasi penggambaran tanpa bantuan pemandu pelancong.

“Saya memberanikan diri untuk menyewa sebuah kereta dan memandu lebih 2,500 kilometer dalam masa seminggu. Bermula dari Cappadocia ke Anatolia sehingga ke Pamukkale dan kemudian berakhir di Ephesus dan Izmir berdekatan lautan Aegean.

"Saya sengaja mencari lokasi yang bukan menjadi perhatian pelancong agar memperoleh sinematografi terbaik untuk karya ini," katanya.

Filem terbitan bersama Astro Shaw, Redfilms dan Global Stations itu mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Ifti Liyana (Fazura) yang tidak pernah mengharapkan kasih sayang daripada seorang lelaki.

Pertemuan Ifti dengan Nazmi (Shaheizy Sam) telah membuatkan hatinya terbuka semula untuk berkasih apatah lagi Nazmi turut yakin, Ifti adalah wanita yang dicari-carinya selama ini untuk dijadikan isteri.

Namun bila kasih mula membara, bahangnya mulai terasa. Ifti Liyana nekad meninggalkan Nazmi tanpa penjelasan. Apakah kesudahan cinta Ifti Liyana dan Nazmi?

Tonton ke ATA 2014

  • Tonton

PORTAL video tempatan Tonton (www.tonton.com.my), berjaya menguasai pencalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014 (ATA 2014) bagi kategori Program / Siri Fiksyen Digital & Bukan-Fiksyen Terbaik.

Ia merupakan kategori yang pertama kali diperkenalkan mulai tahun ini untuk mengiktiraf perkembangan trend penghasilan original kandungan digital.

Menariknya, Tonton berjaya menggondol empat daripada enam pencalonan dalam kategori ini menerusi siri drama web Autumn Di Hatiku, Autumn Di Hatiku 2, Dan Calonnya Adalah... serta Stand Up iaitu sebuah persembahan komedi web.

Ketua  Penjenamaan Tonton & Platform Digital TV, Media Prima Digital, Shahida Azad Jamaluddin berkata, pihaknya berbesar hati kerana empat Siri Original Tonton telah di senarai pendek sebagai finalis di ATA tahun ini.

"Kejayaan ini sangat bermakna buat kami yang telah berusaha keras memacu penghasilan kandungan digital untuk tontonan umum selain kualiti produksi yang terbaik.

"Dengan mengetahui wujudnya keperluan untuk penonton di dunia global menikmati bukan sahaja kandungan TV, kami akan terus menawarkan lebih banyak kandungan digital di tahun 2015 kelak," katanya.

Jelasnya, Tonton berjaya mencatatkan lebih 4 juta pengguna berdaftar sehingga kini.

"Pengguna di seluruh dunia boleh menonton kesemua siri web yang dicalonkan termasuk siri web baharu Hanya Satu di www.tonton.com.my.," katanya portal itu telah menjangkau usia empat tahun, tahun ini.

Sedikit mengenai ATA 2014, lebih 239 pencalonan, menerusi 38 kategori yang melibatkan 13 buah negara bersaing untuk merebut kemenangan di ATA ke-19.

Pemenang bakal diumumkan pada Malam Anugerah Gala bertempat di Marina Bay Sands, Singapura pada 11 Disember 2014.

Farah Diana: Kontroversi bukan penamat karier


  • Farah DianaFarah Diana

ENTAH di mana silapnya, tahun lalu, nama penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar, menjadi perbualan hangat atas kontroversi demi kontroversi yang melanda.

Selain berdepan isu tidak memulangkan semula busana yang dipakainya ketika mengacara, bintang kelahiran program realiti popular, Akademi Fantasia musim kedua (AF2) ini juga dituduh dalam kes kehilangan wang di set penggambaran sebuah program.

Tidak cukup dengan itu, pelantun lagu Antara Dua ini juga khabarnya diisytiharkan sebagai muflis oleh Jabatan Insolvensi Negara.

Mengakui sedikit terkesan dengan kontroversi yang terpalit, isteri kepada Johan Johari ini bagaimanapun enggan lagi menoleh ke belakang mengenang kisah silam.

“Biarkanlah semuanya berlalu. Sejak saya keluar dari AF2, saya tidak pernah ambil pusing dengan apa yang orang kata mengenai saya.

“Apa yang penting, orang di sekeliling saya terutamanya suami dan keluarga tahu akan kejadian sebenar yang berlaku kepada saya.

“Itu sudah cukup memadai buat saya,” katanya ketika ditemui Zass, kelmarin.

Kata Farah lagi, dia menganggap cerita-cerita panas itu sebagai satu dugaan dari ALLAH SWT sepanjang bergelar anak seni.

“Masa mula-mula terjadi, saya sangat kecewa dan bersedih tetapi selepas meminta pandangan dan nasihat daripada ustazah, saya berasa tenang.

“Saya anggap ia sebagai sebahagian daripada dugaan kecil yang ALLAH SWT bagi kepada saya.

“Jangan terkejut, rezeki saya juga semakin murah dan ini sedikit sebanyak menaikkan semangat saya semula,” katanya. 


Kembali aktif menyanyi

Tidak hanya terpalit dengan kisah kontroversi, penyanyi berusia 29 tahun ini juga pernah merancang untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Tambahan pula, Farah terlibat sama dalam menyanyikan semula lagu runut untuk filem Cindarella 2013 lakonan Fizo Omar dan Nelydia Senrose, Sehati Sejiwa. 

Biarpun rindu untuk merakamkan lagu baharu, hasratnya itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan sementara waktu memandangkan anaknya, Elsa Johan masih lagi menyusu badan.

“Anak saya kini sudah menjangkau usia dua tahun, tapi dia masih belum putus susu lagi. Sebab itulah, saya tidak boleh bergerak aktif lagi.

“Kekangan masa juga menyebabkan saya lebih gemar mengambil majlis-majlis korporat.

“Tunggulah dalam tempoh tiga hingga empat bulan lagi. Saya pun rindu hendak masuk studio,” katanya yang menjaga sendiri anaknya itu.

Begitu pun, kata pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu, dia sudah ada beberapa perancangan jika hendak kembali aktif. 

“Saya merancang untuk menyanyikan semula beberapa lagu lama sama ada dari Malaysia atau Indonesia.

“Masalahnya, saya tidak tahu bagaimana proses untuk menyanyikan semula lagu-lagu tersebut terutamanya daripada segi hak cipta.

“Banyak lagi yang perlu saya lihat sebelum dapat merealisasikannya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Farah kini sibuk mengacarakan program Soal Wanita di TV Al Hijrah selain bakal menjadi pengacara untuk beberapa program lain.

Shila Amzah terima anugerah Ikon Wanita Muda 2014

  • Shila  AmzahShila Amzah

PENYANYI wanita popular tanah air, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, hari ini dianugerahi 'Ikon Wanita Muda 2014' bersempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Shila, 24, diwakili bapanya, Datuk Amir Amzah Salleh (ND Lala) untuk menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Penyanyi itu, yang kini berada di Beijing, China, untuk rakaman rancangan muzikal di negara berkenaan, melahirkan kebanggaan dan penghargaannya atas penganugerahan itu menerusi video pendek yang dipaparkan kepada perwakilan di dalam dewan persidangan.

"Saya rasa terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Puteri Umno. Saya berterima kasih kepada Ketua Puteri Umno kerana mengiktiraf bakat seni saya.

"Harapan saya kepada belia wanita muda di luar sana supaya sentiasa menyokong usaha Puteri Umno dan selamat bersidang kepada anggota-anggota Puteri Umno," katanya.

ND Lala, penyanyi popular pada era 90-an, berkata menjadi kewajipan bagi semua ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya. 

"Kami bukan mendidik anak untuk mendapatkan sebarang anugerah, malah anugerah yang diterima itu merupakan bonus bagi anak-anak supaya menaikkan semangat mereka untuk berusaha lebih baik daripada sekarang," katanya kepada Bernama.

Selain Shila, Anugerah Ikon Wanita Muda 2014 juga diberi kepada atlet wanita berbasikal negara, Fatehah Mustapa yang meraih pingat perak dalam acara Keirin dalam Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, pada Oktober lalu.

Fatehah berkata anugerah itu menjadikan beliau tekad untuk membuktikan kepada Umno dan seluruh rakyat Malaysia bahawa wanita juga boleh berjaya setaraf dengan lelaki.

"Saya akan bekerja keras untuk melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang," katanya yang akan menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Piala DuniaUCI siri kedua di London, Ahad ini.

Dua lagi penerima anugerah itu ialah Pendebat Terbaik dalam Kejohanan Debat Asia Bersatu di Singapura, Maizurah Mokhsein dan usahawan perniagaan dalam
talian Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof.

Singapura haram shisha berkuat kuasa esok


  • Sekadar gambar hiasan. - Foto InternetSekadar gambar hiasan. 

SINGAPURA - Singapura mengharamkan pengedaran dan penjualan shisha berkuat kuasa esok, demikian diumumkan oleh Kementerian Kesihatan hari ini.

Pengharaman tersebut adalah mengikut Peraturan Larangan Produk Tembakau di bawah Seksyen 15 Akta Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan).

Bagaimanapun, sebagai langkah peralihan, lesen pengimport tembakau dan peruncit yang mengimport dan menjual tembakau shisha akan diberi kebenaran meneruskan import dan jualan tembakau shisha sehingga 31 Julai, 2016.

Kementerian itu berkata, ia bagi memberi masa yang secukup untuk mereka menghabiskan stok serta menstrukturkan semula perniagaan, sekali gus meninggalkan perniagaan shisha.

Sesiapa yang melanggar larangan itu, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksium S$10,000 (RM25,763) atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali dan atas kesalahan susulan, denda maksimum adalah $S20,000 (RM51,561) atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bantu mak nyah kembali dalami ajaran Islam


  • Wan Muhamad Hafizzul (kiri) mengajar mak nyah membaca al Quran pada kelas agama yang diadakanWan Muhamad Hafizzul (kiri) mengajar mak nyah membaca al Quran pada kelas agama yang diadakan

KUANTAN - Pendekatan berhemah yang digunakan dalam mendekati golongan mak nyah akhirnya berjaya menarik golongan itu kembali mendalami ajaran Islam secara sukarela.

Guru agama, Wan Muhamad Hafizzul Wan Ismail, 21, berkata, situasi itu bermula selepas dia melakukan tesis mengenai kehidupan mak nyah di bandar ini ketika berada di tahun akhir pengajian.

Menurutnya, bertitik tolak dari situ, hubungannya dengan golongan tersebut semakin rapat malah sering menjadi rujukan mereka berhubung hal-hal agama.

“Tiada istilah paksaan malah saya perlu bersabar untuk melihat perubahan diri mereka. Saya tidak boleh mendesak mereka untuk berubah dalam sekelip mata.

“Sejak mengajar mereka di kelas agama secara percuma sejak empat tahun lalu, banyak perubahan yang boleh dilihat,” katanya.

Wan Muhammad Hafizzul berkata, setiap kali kelas agama diadakan, hatinya sering tersentuh melihat kesungguhan golongan itu untuk mendalami ilmu agama.

“Pemakaian bukanlah penghalang untuk golongan ini berkumpul setiap malam Jumaat bagi belajar fardu ain dan membaca al-Quran," katanya.

Katanya, setiap minggu, terdapat kira-kira10 hingga 30 mak nyah menghadiri kelas itu yang diadakan di Taman Perumahan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Bukit Setongkol, di sini.

Bekas pelajar Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) itu berkata, golongan itu tidak malu dan merasa tersisih untuk belajar walaupun ada dalam kalangan mereka tidak pernah kenal al-Quran walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam.

“Semua mak nyah yang mengikuti kelas agama bernaung di bawah Persatuan Insaf Pahang (PIP) termasuk ada juga daripada mereka adalah golongan profesional.

“Selain kelas fardu ain dan membaca al-Quran, saya dan rakan mengadakan program motivasi dan lawatan dalam usaha mendekatkan mereka dengan  masyarakat,” katanya.

Dia yang memiliki Diploma Dakwah dan Pengurusan berkata, dia terpaksa mengambil keputusan membatalkan cita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Indonesia bagi meneruskan kelas agama untuk golongan mak nyah itu.

Rakannya, Che Mohamad Ariff Luqman Che Ghani, 22,  pula berkata, dia dan rakan  bertemu golongan mak nyah yang terbabit dengan kegiatan pelacuran di bandar ini.
“Kami tidak menghadapi sebarang masalah setiap kali berkunjung ke ‘lorong gelap’ itu. Mereka berikan kerjasama dan menerima nasihat diberikan.
“Saya dan rakan-rakan akan terus mengadakan program untuk golongan mak nyah. Kita berharap pendekatan agama yang digunakan dapat membuka hati mereka untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Anak penoreh getah cemerlang UPSR

  • Muhammad Aslam Naqiuddin menerima pelukan daripada Mustafah sebaik melihat keputusan 5A diperolehnya.Muhammad Aslam Naqiuddin menerima pelukan daripada Mustafah sebaik melihat keputusan 5A diperolehnya.

HULU TERENGGANU - Kata-kata keramat ‘kejayaan milik mereka yang berusaha’ menjadi motivasi bagi seorang anak penoreh getah untuk belajar bersungguh-sungguh dan kelmarin, kecemerlangan menjadi miliknya setelah berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR.

Menurut murid SK Bukit Tadok ini, Muhammad Aslam Naqiuddin Mustafah, 12, kejayaan diperolehnya itu diibaratkan sebagai satu langkah untuk terus berusaha mencapai cita-citanya bergelar juruterbang sekali gus mengubah kehidupannya sekeluarga.

“Sewaktu percubaan saya cuma dapat 3A 2B, namun sokongan keluarga terutamanya ibu bapa serta tunjuk ajar berterusan daripada guru akhirnya membolehkan saya menerima keputusan 5A sekali gus membuktikan anak penoreh getah seperti saya juga boleh berjaya.

“Saya percaya, kejayaan mampu menjadi milik sesiapa sahaja asalkan kita sentiasa berusaha serta tidak mudah putus asa,” katanya.

Muhammad Aslam Naqiuddin berkata, sebagai anak bongsu dari enam beradik, keputusan ini juga sebagai hadiah kepada ibu bapanya.

“Salah seorang abang saya iaitu Muhammad Asraf Fariduddin, 14, yang kini belajar di Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu juga mendapat 5A dalam keputusan UPSR.

“Ibu kami, Kamariah Ismail, 62, selalu menasihati kami belajar baik-baik,” katanya.

Sementara itu, ayahnya, Mustafah Idris, 62, turut melahirkan rasa syukur dan gembira dengan kejayaan anak bongsunya itu dan mengharapkan kecemerlangan anak-anaknya dalam pelajaran dapat mengubah kehidupan mereka sekeluarga pada masa hadapan.

Bagi seorang lagi anak penoreh getah dari SK Dusun, Nur Aina Abdullah, 12, yang juga memperoleh 5A, keputusan itu sebagai membalas segala jasa serta pengorbanan bapanya, Abdullah Ali, 52, yang bersusah payah mencari rezeki.

“Saya bercita-cita jadi doktor dan keputusan UPSR ini akan terus memberikan saya semangat untuk belajar bersungguh-sungguh di sekolah menengah nanti. Saya ingin buktikan kemiskinan bukan penghalang untuk kita berjaya.

“Ibu saya, Zalikha Sulong, 51, selalu berikan nasihat agar belajar baik-baik selain doanya yang sentiasa mengiringi saya. Guru-guru juga tidak jemu mendidik saya dan tanpa mereka sudah tentu keputusan sebegini tidak dapat saya perolehi,” katanya.