Saturday, November 3, 2012

Wajah-wajah nadi pelancongan Melaka



USIANYA sudah mencecah 61 tahun, namun lelaki itu kelihatan gagah dan bertenaga. Pergerakannya masih tangkas dan lincah, pandangan matanya masih tajam. Pada usia itu juga dia jarang mendapat penyakit yang lazim dihidapi lelaki seusianya.
Rutin kesihatannya mudah, sejak empat dekad yang lalu, hampir setiap hari dia akan mengayuh beca di sekitar Bandar Hilir, Melaka.
“Jika dihitung, saya berkayuh tidak kurang daripada 20 hingga 30 kilometer sehari. Mungkin itu agaknya rahsia saya sentiasa tampak awet muda,” seloroh Atan Hamzah tatkala membawa penulis dan rombongan Media Familiarization anjuran Felda Holding Berhad menaiki beca mengelilingi bandar raya itu baru-baru ini.
Sambil berkayuh, lelaki yang mesra dengan panggilan Pak Atan itu rancak bercerita mengenai sejarah bandar raya yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia itu.
“Sekitar tahun 70-an dahulu, kawasan di sekitar Jalan Kota dan Jalan Gereja ini dipenuhi pejabat kerajaan sebelum ia dipindahkan ke lokasi lain. Begitu juga laluan di sekitar Jonker Walk yang terkenal sebagai ‘syurga’ perniagaan dan barangan antik sejak sekian lama.
“Pada masa yang sama, banyak bangunan lama dan bersejarah di kawasan itu telah dibaik pulih sama ada dijadikan muzium, galeri seni atau hotel kepada pelancong,” kata anak jati Kampung Umbai itu.
Tambah Pak Atan, pembangunan pesat Melaka khususnya dalam industri pelancongan sedikit sebanyak telah mengubah kehidupan golongan penarik beca sepertinya.
Ikon negeri
“Beca tidak lagi dipandang sebagai pengangkutan murahan, sebaliknya ia telah menjadi sebahagian daripada ikon pelancongan di negeri ini.
“Di mana lagi kita boleh lihat penarik beca di negara ini kecuali di Melaka dan Pulau Pinang. Sebab itu pengalaman menaikinya menjadi sangat istimewa. Lagipun, beca memudahkan pelancong melihat sisi bandar raya ini dengan lebih dekat,” bapa kepada tujuh orang anak itu.
Pak Atan merupakan antara ratusan penarik beca yang masih setia memberi perkhidmatan kepada pelancong ke negeri yang terkenal dengan sejarah, warisan budaya dan seni yang telah berakar umbi sejak 600 tahun yang lalu.
Sejak ditemui Parameswara, Melaka muncul sebagai sebuah empayar yang gemilang di bawah Kesultanan Melayu Melaka. Kedudukan strategik di titik pertemuan Timur dan Barat menjadikannya pusat perdagangan terulung di rantau ini.

PELUANG melihat suasana malam di sekitar Sungai Melaka dari atas bot pasti sukar dilupakan sampai bila-bila.


Bagaimanapun, kegemilangannya berakhir selepas diserang Portugis pada tahun 1511. Ia disusuli dengan penjajahan Belanda (1641) dan Inggeris (1824).
Hari ini, Melaka dikenali melalui peninggalan sejarah silamnya. Antara serpihan lampau itu dapat dilihat ketika mengunjungi tapak Kota A Famosa, Gereja St. Paul, Gereja Christ, bangunan Stadhuys, Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi malah ketika menyaksikan gaya hidup sepanjang menyusuri Sungai Melaka.
Melalui integrasi kaum, interaksi sosial dan seterusnya perkahwinan silang budaya dan resam, terhasil juga kepelbagaian keturunan. Pasti ramai yang menyedari kehadiran masyarakat Baba Nyonya, golongan Asia campuran Eropah dan Portugis serta komuniti Chitty.
Bagi Sazali Said, 35, dia bangga melihat transformasi yang berlaku di negeri kelahirannya itu.
“Melaka sudah jauh berubah. Dahulu tidak banyak bangunan pencakar langit, gedung beli-belah apatah lagi hotel bertaraf empat hingga lima bintang.
“Hari ini, lihatlah sendiri, semuanya tampak gah dengan pelbagai mercu tanda baharu seperti Dataran Pahlawan, Menara Taming Sari dan sebagainya.
“Itu belum dengan pelbagai tarikan lain seperti Taman Rama-Rama, Taman Buaya, Zoo Melaka, Taman Tema Air A Famosa, Melaka Cruise yang sememangnya tidak pernah surut dengan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya yang berasal dari Bukit Baru.
Subjek lukisan
Sazali berkata, peningkatan jumlah pelancong ke negeri itu turut menyuburkan kerjayanya sebagai pelukis jalanan sejak 10 tahun yang lalu.
Memilih lokasi di sekitar Gereja St. Paul sebagai medan mencari rezeki, Sazali berkata dia gemar menjadikan gambar pemandangan dan ikon-ikon pelancongan di negeri itu sebagai subjek dalam lukisan.
“Saya memilih tema sedemikian kerana mahu pelanggan menghayati keistimewaannya dalam bentuk lukisan.
“Di samping dapat berkarya, secara tidak langsung saya dapat mempromosikannya kepada pelancong yang datang,” ujarnya yang berada di situ setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Jika Sazali gigih mempromosikan pelancongan di Melaka melalui lukisan, Muhammad Kassim Muhammad Ali, 29, pula mempunyai kaedah tersendiri untuk menambat hati pelancong ke negeri itu.
Cendol segar
Kedai Cendol Jam Besar yang terletak berhampiran Bangunan Stadhuys yang diusahakan Muhammad Kassim sering menjadi tumpuan pelancong untuk membasahkan tekak sambil menikmati panorama Sungai Melaka.

PELBAGAI artifak dan sejarah dunia maritim di Melaka satu ketika dahulu boleh dilihat di Muzium Maritim.


Menawarkan aneka cendol bermula dari RM1.70 sehingga RM3 semangkuk, Muhammad Kassim berkata, ia merupakan perniagaan keluarga yang dimulakan oleh datuknya pada tahun 1952.
“Ada pelanggan-pelanggan lama kami menyatakan rasanya langsung tidak pernah berubah sejak dahulu sehingga kini. Sebenarnya kami tiada rahsia khusus, cuma mungkin rasa lemak santan dan gula melaka yang digunakan,” katanya.
Ujarnya, setiap hari gerainya dikunjungi kira-kira 100 pelanggan dan jumlahnya akan meningkat sekali ganda pada hujung minggu atau cuti persekolahan.
“Kadang-kadang memang tidak menang tangan dibuatnya, namun apa yang diutamakan ialah kepuasan pelanggan.
“Pelanggan kami tidak terhad dalam kalangan orang tempatan, malah para pelancong asing.
“Lebih membuatkan saya terharu, ada pelancong yang pernah mencubanya sanggup kembali semula ke sini selepas beberapa tahun,” katanya.
Percutian lengkap
Sementara itu, pelancong Itali, Claudie Alessandro, 25, melahirkan kekaguman terhadap Melaka yang disifatkan sebagai sebuah destinasi percutian lengkap kepada pelancong.
“Segala-galanya ada di sini - sejarah, warisan dan tradisi, gastronomi, hiburan, alam semula jadi dan sebagainya,” katanya.
Menghabiskan masa seminggu di negeri itu, Claudie berkata dia teruja melihat beberapa bangunan bersejarah dari era Portugis sehingga Inggeris yang masih kekal terpulihara sehingga kini.
“Pada masa yang sama saya juga kagum melihat kepelbagaian budaya dan masyarakat di negeri ini.
“Pertembungan elemen penjajah, Islam, Cina, India dan Melayu menghasilkan satu warisan unik yang mungkin sukar ditemui di negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: