Saturday, November 3, 2012

Eksplorasi dunia maritim


BAHAN pameran menunjukkan aktiviti perdagangan yang dijalan di Melaka.


KITA mungkin mengenali Christopher Columbus, Vasco da Gama atau Ferdinand De Magellan, tokoh-tokoh pelayaran terkenal dari Barat dan pelbagai kisah kejayaan mereka.
Namun, tidak ramai yang mengetahui tamadun Melayu juga turut melahirkan tokoh pelayaran ulung iaitu Panglima Awang Hitam yang juga dikenali Henry The Black atau Enrique di Malacca.
Mengikut sejarah, Panglima Awang dikatakan berjaya mengelilingi dunia pada abad ke-15 ketika mengikuti ekspedisi Magellan dalam meneroka laluan perdagangan rempah ke Asia Tenggara ketika itu.
Kisah kejayaan Panglima Awang itu boleh diketahui lanjut tatkala berkunjung ke Muzium Samudera di Melaka.
Terletak di Jalan Quayside, Bandar Hilir, muzium itu tampak unik kerana dibina di atas replika kapal terkenal Portugis, Flor de La Mar yang dikatakan karam di perairan Sungai Melaka satu ketika dahulu.
Pembinaan muzium itu bermula pada tahun 1990 sebelum ia dibuka kepada orang ramai selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Berukuran 34 meter tinggi, 36 meter panjang dan lapan meter lebar, muzium setinggi tiga tingkat itu memaparkan sejarah maritim Melaka bermula dari era Kesultanan Melayu Melaka, Portugis, Belanda dan Inggeris.
Di tingkat atas, pengunjung akan dibawa melihat sejarah perdagangan Melaka pada era kegemilangannya.
Ia digambarkan melalui replika patung pedagang dari Arab, China dan India yang menjual aneka tekstil, rempah dan sutera.
Di samping itu, terdapat pelbagai ilustrasi yang membuktikan kemajuan pelabuhan Melaka yang terkenal dengan aktiviti perdagangan.
Kedudukan Selat Melaka yang strategik menghubungkan bahagian Timur dan Barat menjadi tumpuan pedagang dari seluruh dunia.
Turut menjadi tumpuan adalah perkembangan agama Islam di Melaka dan kisah mengenai Hang Tuah serta lima saudaranya.
Di tingkat bawah pula, pengunjung akan dibawa melihat sejarah maritim ketika era penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris.
Di situ juga pengunjung berpeluang melihat pelbagai artifak seperti senjata, pakaian perang, peta lama, mata wang lama, tembikar dan ilustrasi mengenainya. Di ruang itu juga persoalan mengenai siapakah Panglima Awang bakal terjawab.
Di samping itu, turut dipamerkan pelbagai replika kapal perang dan kapal perdagangan dari setiap era.
Biarpun hanya replika, namun teknologi yang digunakan untuk menghasilkannya membuatkan sesiapa sahaja berasa kagum.
Apa yang pasti kunjungan ke Muzium Samudera membolehkan pengunjung mengenali sejarah Melaka dengan lebih mendalam. Jika masih belum berpuas hati, teruskan penerokaan ke Muzium Samudera Fasa 2, Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terletak bersebelahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: