Thursday, November 22, 2012

Variasi spesies hidupan akuarium

Lebih 100 tangki ikan yang merangkumi pelbagai spesies berbeza dipamerkan sempena Ekspo Akuarium Antarabangsa Taiwan yang berlangsung pada 9 hingga 12 November lalu.

IKAN pendarfluor antara spesies ikan yang paling menarik perhatian ramai.


MENYAKSIKAN kawanan angelfish (Pterophyllum) yang bebas berenang di dalam sebuah akuarium mampu membangkitkan ketenangan dalam diri. Ikan berwarna merah jambu yang mampu mengeluarkan cahaya daripada badannya itu turut dikenali sebagai ikan pendarflour.
Ia merupakan hasil penyelidikan bersama antara Akademi Penyelidikan Kebangsaan Taiwan, Academia Sinica, National Taiwan Ocean University dan Jy Lin, sebuah syarikat swasta bioteknologi.
Apa yang pasti, angelfish merupakan sebahagian daripada hidupan yang dipamerkan sempena Ekspo Akuarium Antarabangsa Taiwan yang berlangsung pada 9 hingga 12 November lalu.
Ekspo selama empat hari yang diadakan di Dewan Pameran Nangang, Pusat Dagangan Dunia Taiwan itu merupakan acara tahunan yang berjaya menggamit kehadiran ribuan pengunjung sama ada pelawat tempatan mahu pun pelancong asing.
Kepelbagaian spesies ikan dan terumbu karang boleh dilihat pada pameran tersebut.
Di samping itu, terdapat juga hidupan lain yang dipamerkan termasuklah kuda laut, obor-obor, ikan emas, udang dan banyak lagi. Kesemua hidupan tersebut didatangkan khas dari seluruh dunia melalui 43 pempamer yang mengambil bahagian.
Kawasan pameran itu dibahagikan mengikut tema seperti bahagian ikan pendarflour, ikan hiasan, reka bentuk kreatif dan sebagainya.
Dalam pada itu, sepasang ikan pari mutiara bernilai AS$17,628 (RM54,149) turut menarik perhatian pengunjung. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Akuarium Republik China, Chou Hsu-ming, Taiwan membiak 5,000 baka ikan pari air tawar sebulan iaitu paling tinggi di dunia," kata beliau sambil menambah bahawa spesies pari dengan tompok keemasan itu popular dalam kalangan pengumpul ikan kerana digunakan untuk meramal nombor loteri.
Timbalan Ketua Majlis Agrikultur Taiwan, Hu Sing-hwa berkata, acara yang mula dianjurkan sejak tahun 2009 itu dibuka percuma kepada orang awam. Setiap kali pameran itu berlangsung, ia berjaya mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung.
"Pasaran global untuk ikan akuarium dan produk periferal adalah sangat lumayan dan ia dianggarkan bernilai AS$6 bilion (RM18.4 bilion)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: