Thursday, November 22, 2012

Ujian platform jamin kesegaran susu lembu



TUGAS harian Bacha Lal Baboothiram sejak tiga dekad lalu ialah bangun awal pagi untuk memerah susu lembu pada pukul 7.30 pagi. Tepat pukul 10 pagi, dia bergerak membawa susu yang dibungkus untuk dihantar di setiap rumah para pelanggannya.
Lelaki yang berusia 57 tahun itu sanggup menghantar sendiri walaupun dia kini sudah memiliki pekerja.
Kebanyakan individu yang membeli susu segarnya terdiri daripada pengguna tetap, malah Bacha Lal mempunyai seorang pelanggan setia, seorang doktor.
Pelanggannya itu telah menjadi pengguna setia selama empat dekad lalu iaitu sejak zaman bapa Bacha Lal mengusahakan penternakan lembu.
Bacha Lal yang berasal dari Melaka itu merupakan generasi ketiga gembala lembu tenusu sejak datuknya sampai di Tanah Melayu.
Kini, anaknya, Rajnath Dinessh Lal, 24, juga menunjukkan minat yang sama menyambung pekerjaan yang menjadi warisan keluarga itu secara turun-temurun.

SUSU dikumpul dalam dua buah tangki ini pada suhu malar iaitu kira-kira 4 darjah Celsius.


Jual ladang
Berkecimpung dalam bidang tenusu, Bacha Lal melalui banyak pengalaman termasuklah pernah menjual ladang penternakannya sekitar tahun 90-an.
“Ketika itu harga susu begitu rendah serendah 50 sen seliter manakala masalah penyakit melibatkan lembu tidak terkawal,” katanya ketika ditemui di Jalan Air Molek, Melaka baru-baru ini.
Ladang ternaknya di Hutan Pecah, Melaka dijual kerana masalah harga susu yang terlalu murah sehingga pernah mencecah harga 50 sen seliter.
Bukan itu sahaja, bapa kepada lima anak itu turut merasai perbezaan hasil tenusu apabila cara ternakan secara lepas ditukar kepada fidlot iaitu kaedah mengurung lembu.
Makanan yang kurang menjadikan hasil susu lembu menurun dan Bacha Lal terpaksa mencari rumput di serata Melaka.
Ladang tenusu fidlot Bacha Lal dan keluarganya kurang 300 ekor untuk ternakan dan induk.
Selain susu dijual secara penghantaran dari rumah ke rumah, Bacha Lal juga menghantar hasil perahan ke Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT) yang terletak di Alor Gajah, Melaka.
PPIT Alor Gajah merupakan pusat kecil pengumpulan susu tetapi sering menerima susu dalam kuantiti yang banyak iaitu sekitar 1,550 liter berbanding pusatnya di Jasin kira-kira 750 liter.
Dibuka pada dua waktu yang berbeza iaitu dari pukul 7 pagi sehingga 10.40 pagi dan 6 petang sehingga 8.45 malam. Pusat itu menerima susu daripada penternak lembu kawasan sekitar lebih kurang 18 orang.
Apabila susu sampai di PPIT, tong-tong susu dibawa turun dengan pantas bagi menjalani ujian ringkas dan cepat bagi memastikan susu tidak terbiar sekali gus mengelakkan berlaku pencemaran daripada persekitaran.

SUSU yang melepasi ujian platform boleh diterima dan dikumpul dalam tangkidi PPIT, Air Molek.


Perkara pertama yang akan dilakukan oleh Suliman Puasa, operator susu di PPIT Air Molek, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ialah mengocak susu yang tersebut bagi memastikan kandungannya sekata.
Empat ujian ringkas yang dikenali sebagai Ujian Platform terbahagi pada dua bahagian iaitu pancaindera dan meja (desk test).
Ujian secara fizikal
Ujian pancaindera memerlukan Suliman memeriksa susu secara fizikal pada rasa, bau dan warna sumber protein itu.
“Seterusnya, sampel diambil untuk dilakukan beberapa ujian yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar iaitu ujian alkohol, suhu, graviti spesifik (sg) dan pepejal tanpa lemak (snf),” kata Suliman lagi.
Kandungan cecair alkohol yang digunakan ialah sebanyak 80 peratus. Bagi ujian pula, nisbah yang digunakan ialah satu bahagian susu bersama satu bahagian alkohol.
Ujian alkohol adalah untuk mengesan kandungan asid dan rasa masam susu. Susu yang berasid selalunya berketul-ketul.
Analisis suhu pula hanya menggunakan termometer, kelihatan sangat ringkas tetapi penting kerana ia bagi memastikan susu tidak dimasak bagi mengelirukan kualitinya. Suhu susu ialah sekitar 35 darjah celsius.
Bagi ujian sg pula, sampel susu dimasukkan ke dalam bekas keluli tahan karat dan mempunyai alat yang menentukan ketumpatan susu. Secara kasar, ujian tersebut mampu mengesan kandungan air yang berkemungkinan ditambah dalam susu sebelum dijual.

BEKAS penyimpanan susu juga perlu bersih dan kedap udara supaya pencemaran dapat dikurangkan.


Sentiasa segar
Ujian platform yang terakhir ialah ujian snf yang memerlukan sejenis alat dipanggil meter refleksi. Ia dapat membaca dan menentukan gred susu dengan pantas. Gred minimum yang boleh diterima ialah pada bacaan 8.5.
Susu yang diterima akan melalui tapisan bagi menapis benda asing melalui sebuah tangki kemasukan khas yang mempunyai penapis pada bahagian atas.
Kemudian, susu disalurkan ke dua buah tangki penyejukan yang besar. Dalam tangki penyejukan ada alat yang mengerakkan susu supaya suhu sentiasa stabil.
“Tangki penyejukan mempunyai bacaan suhu yang tetap iaitu pada takat 4 darjah Celsius. Suhu yang sejuk boleh memastikan susu sentiasa segar dan tidak rosak,” kata Pengurus PPIT Air Molek, Muhammad Adam, 52, sambil menambah bacaan suhu tersebut penting bagi memastikan tiada pembiakan bakteria.
Setiap kali susu baharu dimasukkan ke dalam tangki, bacaan suhu pada bacaan tangki penyejukan akan meningkat. Namun, suhu akan kembali ke bacaan sepatutnya dalam beberapa minit sahaja.
Susu yang terkumpul akan dibawa ke kilang pemprosesan setiap hari Isnin dan Khamis. Biarpun ujian kelihatan ringkas dan boleh diragui, Suliman berpendapat sebaliknya.
Ujarnya, ujian platform di PPIT merupakan antara kaedah terbaik kerana ia bersifat menyeluruh dan beberapa ujian dilakukan bagi mendapatkan keputusan yang sama.
Lawatan Suliman ke Vietnam membuka matanya kerana negara tersebut hanya menjalankan satu ujian iaitu analisis alkohol ketika penghantaran susu dilakukan.
Sekali dalam seminggu, sampel susu yang dihantar akan diambil bagi menjalankan ujian yang lebih intensif.
Ujian platform tidak dapat memberikan keputusan kandungan dalam susu seperti bakteria dalam bentuk yang lebih tepat.
Antara ujiannya ialah Kiraan Jumlah Plat (TPC) yang dilakukan di makmal induk JPV. Ia akan menghasilkan data secara tepat kuantiti mikroorganisma atau bakteria.
“Ia dilakukan secara berkala bagi memastikan susu berada pada tahap yang memuaskan selain ia juga menentukan harga susu oleh pihak koperasi,” kata Muhammad.
Susu merupakan bahan yang sangat sensitif kepada udara dan persekitaran. Ia mampu membiakkan bakteria dan kuman dalam tempoh yang sangat cepat.
Menurut Suliman, bekerja dalam industri penternakan seseorang itu mesti berada dalam keadaan bersih. Suliman sendiri jika berada di PPIT akan memastikan dirinya dalam keadaan bersih dan kerap cuci tangan.
PPIT yang dibuka pada waktu pagi dan petang adalah kerana ia merupakan waktu yang memiliki suhu terendah. Waktu tengah hari pula mempunyai suhu yang paling tinggi dalam tempoh 24 jam.
Suhu yang tinggi mampu membiakkan kuman dengan cepat berbanding waktu lain manakala lembu pula pada masa sama perlu diberikan makan dan berehat.
“Pengurusan ladang yang baik juga dapat memastikan mutu susu yang bagus dan sedikit kandungan bakteria,” kata Suliman yang bekerja di situ sejak enam tahun lalu.
Sebagai contoh, lembu perlu dimandikan dulu sebelum diperah dan sebagainya. JPV menyediakan perkhidmatan penerimaan, penyimpanan dan penghantaran susu manakala setahun sekali, pihak tersebut turut melakukan lawatan ke ladang-ladang lembu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: