SENDIRIAN...sekurang-kurang dua lubang kubur asas perlu digali setiap hari.
Berteman dua batang cangkul bersaiz panjang dan pendek serta penggali, bapa kepada tiga cahaya mata ini gigih menggali lubang kubur asas berbekalkan kudrat terbatas dimilikinya.
Berpengalaman 23 tahun sebagai penggali kubur, bagi Md Yusop Ismail, tugasan diamanah kepadanya tidak sukar, cuma cabaran teruji apabila kegagahan fizikalnya tidak sehebat zaman muda.
Pertemuan diatur di Tanah Perkuburan Islam Kuala Lumpur (KL) - Karak, Gombak, Selangor membuka peluang kepada penulis mencungkil lebih mendalam mengenai kerjaya penggali kubur dan berkongsi ilmu berharga dimiliki lelaki berusia 62 tahun ini.
Tiada kerusi empuk disediakan mahupun pendingin hawa, sebaliknya perbualan tidak formal antara penulis dan Md Yusop tampak lebih selesa dengan bertenggek di kepuk marmar pusara berdekatan, redup dipayungi pokok besar di tanah perkuburan seluas 39.6 hektar.
Senyuman dilontarkan anak jati Gombak ini menggambarkan kesudiannya bertemu penulis biarpun permulaan dia beranggapan diri terlalu kerdil untuk berkongsi pengalaman dimilikinya.
“Tiada apa yang menarik boleh saya kongsikan, pekerjaan ini bukannya glamor, kecuali menyaksikan kematian dan tak ramai memberi perhatian mengenainya.
“Sebenarnya, saya hanya menggali kubur secara sambilan atas ajakan kawan yang juga penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah jika bercuti ketika itu. Bagi menampung keluarga pula, saya bekerja di sebuah kilang.
“Andai segelintir orang sebaya saya ketika itu lebih selesa duduk di kedai kopi sambil bersembang, berbeza dengan saya yang memilih kawasan sepi ini sebagai lokasi bersantai. Tambahan pula, ramai kawan saya bergelar penggali kubur.
“Tidak terlintas di fikiran untuk berkecimpung dalam pekerjaan ini. Siapa sangka, bermula secara sambilan, kemudian minat datang secara serius dalam urusan menggali kubur di Kampung Puah sejak 1989,” katanya sambil menyeka peluh di dahi.
Tiga tahun menimba pengalaman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah, Md Yusop kemudian memohon jawatan penggali kubur di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan rezeki memihak kepadanya apabila ditawarkan pekerjaan secara kontrak dengan elaun RM385.
Ditanya sama ada pendapatan itu mencukupi untuk menampung kehidupan lima beranak selama 15 tahun, dengan nada merendah diri lelaki ini berkata, rezeki kurniaan Allah SWT pasti mencukupi jika amanah dilaksanakan dengan ikhlas.
Tanpa melakukan pekerjaan sambilan lain, Md Yusop mengakui bersyukur apabila memiliki isteri yang memahami dan sanggup berkongsi kesusahan sebelum elaunnya dinaikkan kepada RM1,300 pada 2008.
Bercerita mengenai rutin hariannya, usai menunaikan tanggungjawab sebagai hamba diakhiri dengan membaca surah lazim, termasuk tiga Qul juga ayat Kursi menjadi amalannya, lelaki ini tiba di tanah perkuburan tepat jam 8 pagi dan pulang selepas sembilan jam.
Lengkap ‘beruniform’ iaitu baju T, berseluar panjang, but paras lutut dan bersarapan, Md Yusop menunggang motosikal menuju tanah perkuburan.
Mengusung peralatan wajib menuju ke lokasi ditetapkan, dia memulakan proses menggali sekurang-kurangnya dua lubang kubur asas setiap hari.
“Lubang asas ini bermaksud lubang pusara berukuran panjang enam kaki (1.8 meter) sedalam tiga kaki (0.9 meter), tidak termasuk lubang kacapuri sedalam dua kaki (0.6 meter).
“Di sini, kita tidak menggunakan liang lahad kerana kedudukan kubur saling berdekatan. Penggunaan kacapuri lebih efektif kerana lahad berada di tengah-tengah lubang kubur.
“Kacapuri hanya digali apabila kita dimaklumkan pihak Jawi atau kariah masjid jika berlaku kematian. Penggalian lubang asas dengan lebih awal akan mempercepatkan urusan pengebumian jenazah,” katanya yang kembali bertugas secara sambilan selepas tamat kontrak bersama Jawi pada 2010.
Menurut Md Yusop, dia memerlukan lebih dua jam untuk menggali sesebuah lubang dan tempoh masa akan bertambah bergantung kepada jenis tanah dan faktor cuaca.
Bagi keadaan tanah berbatu, lelaki tua ini terpaksa memecah dan mengeluarkan batu terlebih dulu. Cabaran paling sukar jika ada batu besar dalam lubang kacapuri dan memerlukan kerjasama teman penggali lain.
Berbeza dengan proses penggalian selepas hujan apabila penggali kubur berdepan risiko tanah runtuh akibat kelembapan. Malah, mereka terpaksa berjerih menimba air hujan yang bertakung dalam lubang asas.
Andai profesion lain ditawarkan waktu untuk bercuti, berlainan kisahnya dengan penggali kubur yang perlu sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan berlaku kematian beramai-ramai.
Sedikit terpengaruh dengan siri drama Tanah Kubur lakonan hebat Nasir Bilal Khan, penulis mengharapkan pengalaman misteri dialami Md Yusop, sebaliknya dia hanya menggelengkan kepala, sama ada enggan membesarkan kisah yang tidak pasti mahupun tidak ‘bertuah’ menyaksikan perkara sedemikian.
“Selama ‘berpejabat’ di tanah perkuburan, saya tidak pernah mengalami gangguan seperti ditayangkan menerusi televisyen dan tiada hantu di sini. Kemungkinan, orang ramai terlalu terbawa-bawa perasaan apabila melihat kubur.
“Saya tidak mempunyai pantang larang ketika menggali kubur mahupun menziarah tanah perkuburan. Paling penting, jaga adab ketika di tanah perkuburan,” katanya.
Bekerja dengan jenazah melahirkan keinsafan dan mendidik jiwa Md Yusop supaya lebih tenang. Setiap hari menyaksikan kematian mengingatkan dirinya mengenai tanggungjawab dan persediaan menghadapi kematian.
Memandangkan usianya kian lanjut dan kemampuan kelihatan terbatas, Md Yusop beranggapan kerja dilakukannya sebagai saham akhirat, selain dijadikan satu senaman demi menjaga kesihatan diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: