Sunday, November 11, 2012

Jelajah sambil beramal

BESAR...antara motosikal berkuasa tinggi yang menyertai konvoi Jelajah Serikandi.
BESAR...antara motosikal berkuasa tinggi yang menyertai konvoi Jelajah Serikandi.
AKTIVITI konvoi bermotosikal lazimnya dikuasai lelaki, namun hari ini golongan wanita juga tidak mahu mengalah apabila mempamerkan kemahiran mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.
Ini yang tergambar menerusi program Jelajah Srikandi 7 Perhentian membabitkan jarak perjalanan 340 kilometer selama dua hari di Negeri Sembilan.
  
  • Foto BERSEDIA...seorang peserta bergambar bersama motosikal KTM Duke 200 miliknya sebelum memulakan konvoi.
  • Foto
  • Foto
  • Foto
“Kami mahu membuktikan wanita boleh melakukan apa saja aktiviti yang sebelum ini dipelopori lelaki. Lebih penting, kami mahu masyarakat tahu yang kami berhemah di jalan raya,” kata ketua peserta konvoi, Rozaidah Shahbudin, 48, ketika ditemui di majlis pelepasan konvoi di perkarangan pusat beli-belah Kiara Square, Bahau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk VS Mogan.

Pelbagai jenama motosikal seperti Honda, Kawasaki, Yamaha, Can-Am Spyder RT, Vespa dan Modenas berkuasa daripada 100cc hingga 1,500cc digunakan oleh 70 peserta konvoi yang diadakan sempena Karnival Local Agenda 21 anjuran Majlis Daerah Jempol, membabitkan tujuh perhentian bersempena tujuh daerah di Negeri Sembilan.

Rozaidah berkata, konvoi disertai 80 peserta wanita yang mewakili pelbagai kelab motosikal.

“Konvoi ini tidak dimonopoli sesebuah kelab, sebaliknya terbuka kepada wanita yang berminat selain memiliki lesen memandu sah.

“Peserta yang memiliki motosikal kapcai juga boleh turut serta kerana ia tidak terhad kepada motosikal berkuasa tinggi.

“Ini kali kedua konvoi Jelajah Srikandi diadakan dan Negeri Sembilan menjadi negeri pertama menganjurkan konvoi membabitkan peserta wanita,” katanya.

Beliau yang menunggang Can-Am Spyder RT 1000cc berharga RM150,000 berkata, menerusi konvoi itu, banyak tempat menarik di Negeri Sembilan di sepanjang laluan dapat dipromosikan, apatah lagi sebahagian peserta datang dari luar negeri ini.

Katanya, bagi beliawanis yang kali pertama berkonvoi, mereka diuji dengan ketahanan mental dan fizikal, terutama dalam menghadapi keadaan cuaca yang sentiasa berubah.

“Selain mendapat sokongan Wima (Persatuan Motosikal Antarabangsa) Malaysia dan kumpulan Beliawanis Negeri Sembilan, konvoi ini disertai ahli kelab Biker Babes yang majoritinya dari Lembah Klang.

“Peserta juga melakukan lawatan ramah mesra di Rumah Seri Kenangan, Seremban, selain melawat Muzium Angkatan Tentera Darat, Port Dickson dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tampin,” katanya.

Peserta berasal dari Puchong, Selangor, Noratikah Roslan, 22, berkata minat untuk menunggang motosikal menyebabkan dia berusaha mendapatkan lesen memandu selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007.

“Saya tidak terikat dengan kelab pemotoran, jadi mudah untuk menyertai aktiviti konvoi jika diberi peluang dan ada masa.

“Selain itu, ibu bapa tidak pernah menghalang minat, malah memberi saya peluang menentukan apa yang terbaik dalam hidup,” katanya yang mesra disapa Fiera.

Bagi Nor Chaya Johan, 31, kesibukan tugas sebagai penolong akaun di sebuah syarikat di Kuala Lumpur tidak menghalang dia menyertai konvoi Jelajah Srikandi.

“Saya juga bertuah kerana suami, Adly Safar Mustaffa, 38, memberi keizinan, apatah lagi kami mempunyai minat sama.

“Sokongan semua pihak, terutama suami dan anak, memberi semangat untuk terus aktif dalam aktiviti permotoran pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Maznah Muhamad, 41, berkata lima tahun kebelakangan ini, minatnya terhadap dunia pemotoran makin menebal selain berhasrat memiliki motosikal sendiri.

“Kesibukan tugas selama ini menyebabkan saya terpaksa hadkan aktiviti, namun apabila berjumpa rakan ‘sekepala’, minat itu kembali subur dan semakin berkobar-kobar,” katanya yang menjadi pembonceng kepada Rozaidah.

Kata Pengarah Urusan Mat Salai Sdn Bhd ini, selain bertemu rakan yang berkongsi minat sama, dia mengambil kesempatan mempromosi syarikat diusahakannya.

Selain sebagai peserta, Maznah menerusi syarikatnya terbabit dalam kerja amal menyediakan makanan bagi penghuni Rumah Seri Kenangan, Seremban dan peserta konvoi.

Bagi Siti Norlia A Rahman, 43, dari Johor Bahru yang menunggang motosikal KTM Duke 200, minat menunggang bermula sejak 1990 dan sokongan ahli keluarga membolehkan dia terus aktif berkonvoi.

“Anak sulung saya berusia 22 tahun seperti berminat untuk menyertai konvoi, malah mula bertanya bila hendak memberi motor ini (KTM Duke 200) kepadanya,” katanya yang turut memiliki dua motosikal jenama BMW dan Kawasaki.

Penyelaras Program Jelajah Srikandi Tujuh Perhentian, Shamsul Kamarudin berkata, program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Persatuan Asrama Belia Malaysia, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Konvoi ini turut membabitkan 10 kereta Proton Perdana daripada Kelab Perdana Malaysia serta kawalan trafik oleh 14 anggota trafik, termasuk enam anggota wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, diketuai Inspektor Faizrizarina Mohamad Fauzi,” katanya.

Konvoi hari pertama dilepaskan jam 8.30 pagi di perkarangan Kiara Square dan bergerak ke perhentian pertama di Jeram Toi, Jelebu sebelum ke Seremban, Nilai dan Port Dickson. Pada hari kedua pula diadakan lawatan ke Muzium Angkatan Tentera Darat, Port Dickson dan Puspen Tampin sebelum kembali ke Jempol.



PROFIL 1:

NAMA: Noratikah Roslan
UMUR: 22 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
KERJAYA: Pegawai Pemasaran


PROFIL 2:

NAMA: Maznah Muhamad
UMUR: 41 tahun
ASAL: Banting, Selangor
KERJAYA: Pengarah Urusan Mat Salai Sdn Bhd


PROFIL 3:

NAMA: Nor Chaya Johan
UMUR: 31 tahun
ASAL: Kuala Terengganu
KERJAYA: Penolong Akaun


PROFIL 4:

NAMA: Siti Norlia A Rahman
UMUR: 43 tahun
ASAL: Johor Bahru
KERJAYA: Pegawai Perhubungan Awam

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: