MENARIK... syurga labu menggunakan buah oren, labu, lobak dan aprikot.
Seni ‘Willy Wonka’ menghasilkan beberapa imej mengagumkan dengan menggunakan gula-gula, buah, sayur, daging segar dan banyak lagi, untuk sebuah buku baru.
Jurugambar pemandangan makanan, Carl Warner, 47, dalam proses menerbitkan buku berjudul ‘Dunia Makanan’ yang turut termasuk lebuh hias Paris yang diperbuat daripada keju, rumah halwa dan hutan mentimun.
Warner yang mengusahakan hasil seninya di sebuah studio di London berkata, karya barunya itu bertujuan menggalakkan amalan pemakanan sihat di kalangan kanak-kanak, meskipun beberapa karyanya membabitkan pilihan yang tidak sesuai.
“Saya menggunakan hasil kerja saya sebagai medium untuk menggalakkan kanak-kanak berfikir mengenai apa yang mereka makan. Mereka akan melihat longgokan keropok dan sos tomato, sekali gus terbuka selera.
“Namun, tunjukkan pula kepada mereka longgokan asparagus dan ia akan memualkan mereka. Mereka tidak gemarkan warna hijau sayur-sayuran.
Dia yang membandingkan kerjanya dengan ciptaan Willy Wonka dalam filem Charlie and the Chocolate Factory, memulakan setiap karya dengan melukis ideanya di atas kertas.
Warner kemudian merakam gambar hasil karyanya lapis demi lapis, dari latar depan hingga ke latar belakang sebelum menyusunnya menjadi satu imej untuk pasca produksi.
Dia yang dilahirkan di Liverpool berkata, hasil kerjanya menghidupkan semula imaginasi zaman kanak-kanak di kalangan orang dewasa.
Namun, menurutnya, ia juga menyebabkan beberapa dakwaan tidak enak yang menuduhnya membazirkan makanan ketika ramai kanak-kanak kebuluran.
“Ia antara mesej yang saya terima menerusi e-mel. Namun bagi saya, ada orang yang tidak mahu memahami apa yang mereka lihat dan apa sebenarnya maksud saya,” kata Warner.
Menurutnya, banyak hospital, pakar makanan dan badan kebajikan menggunakan imejnya untuk membantu orang ramai secara positif.
“Saya tidak menganggapnya sebagai pembaziran makanan hanya kerana hasil kerja saya tidak dimakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: