CERIA...sebahagian penumpang menari bersama kru kapal ketika menyertai parti yang diadakan.
Menjadi kelaziman juga, kunjungan ke negara itu banyak menggunakan pengangkutan darat dan udara.
Bagaimanapun, kali ini penulis berkesempatan belayar selama empat hari tiga malam bersama kapal persiaran Superstar Libra hasil undangan Star Cruises.
Pengembaraan pelayaran penulis bersama jurugambar, Mohd Kamil Rahim bermula apabila kami dan dua lagi rakan media berkumpul di Jeti Swettenham, Pulau Pinang bersama wakil agensi pelancongan, jam 1 petang, baru-baru ini.
Kami kemudian diberikan kad tertera nama penumpang yang menjadi pas untuk ke kabin, restoran, keluar masuk kapal ketika berlabuh dan juga umpama kad kredit untuk berbelanja sepanjang pelayaran.
Selepas itu, rombongan kami dibawa masuk ke perut kapal jam 2 petang dan selepas pemeriksaan Jabatan Imigresen, semua penumpang disambut dua gadis Eropah yang berpakaian ala penari kabaret.
Kemudian kami dibawa ke Restoran Ocean Palace di dek empat untuk taklimat ringkas mengenai ‘percutian’ kami oleh Pengurus Jualan Star Cruises Travel Service (M) Sdn Bhd, Lacey Sim sambil menikmati minuman dan juadah pelbagai jenis kuih serta roti.
Kapal mula belayar jam 5 petang dan pada masa sama semua penumpang diraikan dalam majlis sambutan ‘selamat datang’ dengan menu barbeku dan pelbagai sajian enak di dek sembilan.
Penumpang turut dihiburkan dengan persembahan ilusi, Charles Back yang dibawa khas dari Las Vegas, Amerika Syarikat serta ‘live band’, H2O.
Pelayaran tiba di perairan Krabi jam 10 pagi dan penumpang yang mahu bersiar-siar atau ada tempahan pakej pelancongan di pusat pelancongan itu diangkut dengan feri laju seperti di Langkawi.
Feri membawa rombongan ke Jeti Ao Pra Nang kemudian dibawa ke Krabi King Cobra Show yang mengambil masa 15 minit dari jeti.
Di situ, kita dapat melihat aksi pemuda Thailand ‘bermain’ bersama ular berbisa yang panjangnya mencecah hampir dua meter.
Setengah jam meluangkan masa di situ, rombongan dibawa pula ke Ladang Ikan Arapaima Gergasi di Jalan Pantai Klong Muang.
Menariknya, kolam ternakan ikan air tawar itu diusahakan seorang wanita warga Eropah yang mengahwini lelaki tempatan.
Nina Barnett mengusahakan kolam itu selepas tertarik dengan bentuk muka bumi di kawasan berkenaan, sekali gus memilih untuk menetap di situ bersama keluarganya.
Selain itu, penumpang yang singgah di Krabi boleh memilih untuk ke Pulau Poda, Pulau Tup, Pulau Si, Pulau Ayam, Pulau Deang, Pulau Rai dan Pantai Hong sama ada menghabiskan masa dengan berkayak atau snorkeling.
Sementara menunggu masa kembali ke kapal (penumpang perlu pulang sebelum jam 5.30 petang disebabkan ia belayar jam 7 malam), rombongan menghabiskan masa dengan bersiar-siar di Pantai Ao Nang dan meninjau pelbagai pilihan cenderahati di deretan kedai kawasan itu.
Kembali semula ke kapal dan merehatkan diri seketika selepas seharian bersiar-siar, rombongan kami kembali berkumpul dan menikmati satu majlis rasmi ‘gala dinner’ bersama kapten kapal.
Kemudian, masing-masing melakukan aktiviti bebas di atas kapal, sama ada menonton persembahan hiburan ringan di Stardust Lounge di dek lima, berkaraoke atau bersantai di dek 10 sambil menikmati angin ketika di perairan dan menyaksikan kerdipan bintang di langit.
Kami berlabuh di Terminal Antarabangsa Chaophaya, Phuket, jam 12 tengah hari dan penumpang diberi masa untuk meneroka pulau eksotik di Selatan Thailand itu hingga jam 12 tengah malam.
Digelar sebagai Mutiara Andaman kerana terletak di Laut Andaman yang memisahkan pulau itu dengan India, Phuket menawarkan percutian yang pasti menjadi kenangan seumur hidup kepada pelancong dan bukan terhad kepada tarikan hiburan.
Bangla Street di Patong menempatkan ratusan pusat hiburan seperti Patpong di Bangkok, kerana Phuket yang luasnya hampir sama dengan Pulau Pinang mempunyai 1,001 daya tarikan lain.
Tidak kisah sama ada anda lelaki atau wanita bujang, pasangan bercinta serta mereka yang berkeluarga, Phuket memiliki segala-galanya untuk menghiburkan anda.
Pelancong bukan saja boleh bersantai di pantainya yang menarik seperti Kamala, Patong, Karon, Kata dan Rawai yang terkenal kerana pasir putihnya yang halus, malah boleh memilih menaiki feri atau bot laju ke Taman Laut seperti Pulau Phi Phi, Phang Nga atau Similan.
Kebanyakan penduduk tempatan menghuni pesisiran pantai seperti Pantai Patong, Karon dan Kata dan tidak perlu risau kerana masih boleh menggunakan ringgit untuk membeli-belah.
Kemeriahan di Phuket seperti masyarakatnya sudah melupakan tragedi dilanda bencana tsunami pada 2004.
Puas bersiar-siar, kami pulang ke pelabuhan dan sempat meluangkan masa meninjau dan menjamu selera di pasar malam.
Walaupun gerainya ringkas, hanya berbumbung kanvas dan tidaklah gah berbanding restoran, makanan yang disediakan sungguh menyelerakan.
Kekenyangan dan keletihan membuatkan penulis dan rakan tidak melepak lama, sebaliknya kembali ke kabin untuk melelapkan mata.
Keesokannya, penumpang dihiburkan dengan persembahan persembahan khas ‘underwater escape’ silap mata oleh Charles sebelum kapal berlabuh semula di Jeti Swettenham, jam 12 tengah hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: