Tuesday, November 20, 2012

Pameran artifak dan manuskrip Melayu


CHI PAU PEN iaitu sejenis alat muzik yang menggunakan air laut untuk menghiburkan Puteri Hang Li Po dalam pelayaran ke Melaka antara artifak yang dipamerkan di PNM.


SAKSIKAN sendiri himpunan artifak dan manuskrip lama Melayu pada Pameran Telusuri Kegemilangan Melayu menerusi Naskhah Melayu Lama dan Artifak di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bermula hari ini hingga 24 November.
Pameran empat hari itu dibuka kepada orang awam secara percuma bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang. Sebanyak 17 artifak seperti keris Tempa Melaka, keris Gajah Mada dan keris Penyalang akan dipamerkan bagi memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri keagungan warisan silam bangsa Melayu.
"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa keris Penyalang merupakan keris yang digunakan bagi menjatuhkan hukuman ke atas pembesar-pembesar istana zaman dahulu yang melakukan kesalahan.
"Orang ramai yang hadir ke pameran ini juga dapat melihat sendiri manuskrip asli Hang Tuah yang berusia lebih 150 tahun dan sembilan lagi manuskrip hebat," ujar petugas pameran tersebut, Normaliah Omar ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Pada hari terakhir, kemuncak pameran akan disempurnakan menerusi forum wacana ilmu. Ia akan membincangkan tentang kesahihan naskhah-naskhah Melayu lama menerusi pembuktian artifak dan manuskrip yang masih kekal sehingga ke hari ini.
Forum tersebut bakal dikendalikan tiga panel yang terdiri daripada generasi ke-12 Bendahara Tun Perak, Zainal Johan, Timbalan Pengarah Bahagian Manuskrip PNM, Faizal Hilmi dan Pensyarah Bahagian Persuratan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Talib Samad.
Pameran tersebut merupakan anjuran Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (Kemuda) dan PNM. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi hotline Kemuda pada talian 012-640 1797 atau layari www.kemuda.org.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: