Tuesday, November 20, 2012

Badut sedunia banjiri Kuching

BADUT sudah sinonim dengan unsur komedi dan hiburan dalam kalangan rakyat negara ini.


PERSATUAN Badut Sedunia (WCA), yang ditubuhkan di Amerika Syarikat (AS) memilih Kuching, Sarawak bersempena ulang tahun ke-30 persatuan itu yang akan diraikan pada tahun depan.
Organisasi yang mempunyai hampir 3,000 ahli itu sering mengadakan konvensyen di luar AS, namun Malaysia menjadi tuan rumah pertama bagi benua Asia.
Konvensyen yang bakal berlangsung bermula 25 Februari sehingga 1 Mac 2013 itu akan diadakan di Merdeka Palace Hotel and Suites dan turut melibatkan kerjasama beberapa lokasi rasmi yang lain.
Badut-badut berdaftar di bawah WCA yang datang dari Kanada, England, Hong Kong, China, India, Indonesia, Jepun, New Caledonia, New Zealand, Singapura dan AS selain Malaysia akan menjalani pelbagai program bagi meningkatkan kemahiran dan menghiburkan penduduk setempat.
Sebahagian peserta ialah badut sarkas manakala selebihnya badut yang berkhidmat di hospital, sekolah, gereja, taman dan pusat hiburan, parti dan festival. Kesemua mereka memiliki latar belakang kemahiran yang pelbagai seperti menjugel, mengajuk (mime), melakukan pertunjukan silap mata, akrobatik atau komedi pentas.
Memandangkan badut memerlukan latihan yang berterusan, konvensyen tersebut akan menjadi medan bagi mereka belajar dan mengikuti kelas-kelas berkenaan teknik menghiburkan orang ramai.
Mereka yang hadir menjayakan konvensyen tersebut juga bukan calang-calang. Antara yang terlibat ialah Arthur Pedlar dari Southport, England yang telah bekerja sebagai badut lebih daripada 60 tahun dan badut paling popular di Malaysia, Sam Tee.
Bekas badut sarkas, Bruce 'Charlie' Johnson juga akan berada pada acara tersebut bagi berkongsi pengalamannya.
Selepas meninggalkan sarkas, dia mula menulis tentang dunia badut untuk beberapa syarikat penerbitan dan merupakan ahli sejarah rasmi bagi WCA.
Selain berhimpun sesama mereka, para peserta juga akan melakukan demonstrasi dan menganjurkan persembahan amal.
Pada hari terakhir konvensyen, satu pertandingan khas antara badut yang dipanggil para deability juga akan diadakan di kawasan terbuka di pusat beli-belah Merdeka Plaza.
Mereka juga akan melakukan aktiviti bersama komuniti untuk sambutan istimewa yang digelar Sarawak Smiles. Pada hari tersebut, mereka akan melawat sekolah, hospital, pusat jagaan dan pusat beli-belah bagi memberi keseronokan kepada orang ramai.
Untuk maklumat lanjut tentang acara tersebut, sila layari laman web http://worldclown.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: