Sunday, November 18, 2012

Nasyid masih popular - Hufaz


HUFAZ dianggotai empat jejaka, (dari kiri) Aizat, Amir, Izwan dan Ijam.


ADA yang beranggapan bahawa irama nasyid pada ketika ini sudah hilang panasnya. Jika beberapa tahun kebelakang, lagu-lagu kerohanian dendangan kumpulan Hijjaz, Raihan, Rabbani, In-team mahupun Brothers sering menjadi siulan peminat, kini ia tidak semeriah dahulu.
Biarpun sedikit alah dari segi populariti, namun carta komuniti nasyid menampakkan sesuatu yang positif. Pelbagai jenama nasyid baharu yang muncul untuk bersama-sama memeriahkan irama keislaman itu.
Antara yang tampil dengan misi untuk berdakwah menerusi lagu mereka termasuklah kumpulan Hufaz yang dianggotai oleh empat anak muda iaitu Amir, Aizat, Izwan dan Ijam.
Mereka bertegas menafikan bahawa irama nasyid sudah tidak popular. Jelas Hufaz, dunia nasyid semakin berkembang, cuma liputan mengenai penggiat nasyid sahaja yang menurun.
"Nasyid masih lagi popular seperti mana dahulu dan masih diperlukan. Mungkin dari segi penjualan album sedikit rendah kerana trend masa kini adalah begitu. Selain itu, kumpulan nasyid sedikit tenggelam mungkin kerana kurang mendapat pendedahan.
"Tetapi kemunculan nama-nama baharu seperti Maher Zain, Hafiz Hamidun yang bergerak secara solo turut kembali mempopularkan nasyid dan dijadikan penanda aras bahawa ia masih diterima.
"Kami tidak takut (tentang keadaan semasa) kerana irama nasyid masih lagi ada pengikut setia. Bahkan ramai yang sanggup membeli album dalam bentuk cakera padat (CD) walaupun pada ketika ini penjualan lagu dalam bentuk digital lebih mendapat permintaan," kata Aizat selaku ketua kumpulan.
Hufaz yang ditubuhkan sejak 2008 baru sahaja tampil dengan sebuah album berjudul Hufaz: Kembali Pada Asas. Menampilkan lima buah lagu termasuklah Khusyuk, Idolaku, Zikir Rahsia, Ingatlah Allah dan Kurnia Saktimu. Hufaz menampilkan lagu-lagu yang ringkas dan sedap didengar.
Menyedari trend penjualan album di kedai muzik seolah kurang berjaya pada masa kini, Hufaz memilih menjual album dengan lima buah lagu itu secara dalam talian di www.loonaqrecords.com.my.
Banyak bersandarkan kepada laman sosial Facebook, jelas mereka, teknologi itu memainkan peranan besar buat Hufaz untuk meneruskan kelangsungan dalam industri seni.
"Laman sosial seperti Facebook begitu membantu kumpulan kami untuk terus diterima kerana ia memudahkan perhubungan dua hala antara peminat dan Hufaz.
"Segala maklumat terkini Hufaz dapat dikongsi dengan mudah dan cepat. Album juga dijual menerusi dalam talian kerana lebih banyak permintaannya," kata Aizat mewakili kumpulan yang bernaung di bawah label Loonaq Records itu.
Menyedari irama nasyid tempatan mudah diterima luas di luar negara, Hufaz turut menyimpan impian untuk menempa nama di tempat lain.
"Perkembangan nasyid tempatan membuktikan bahawa kita diterima oleh negara luar. Contohnya, kebanyakan tempat di Indonesia boleh menerima lagu-lagu nasyid tempatan.
"Selain merancang untuk melebarkan sayap ke Indonesia, kami juga mahu melihat lagu-lagu kami diterima di seluruh dunia Islam. Untuk lagu Idola, kami ada mendapat permintaan untuk merakamkannya dalam bahasa Arab dan Inggeris.
"Hufaz juga menerima undangan melakukan persembahan di luar negara antaranya di Thailand dan Aceh, Indonesia," ujar Ijam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: