Friday, November 16, 2012

Lima peserta terbaik Soulstar beraksi hari ini


DARI kiri, Nyda, Bayu, Celine, Afif dan Iz akan membuat persembahan di Kompleks Kubah Ria, Kuching hari ini.


KUCHING – Lima peserta terbaik pada konsert pertama Soulstar 2012 minggu lalu dipilih untuk membuat persembahan pada majlis pembukaan Kompleks Kubah Ria di sini hari ini.
Peserta tersebut ialah Muhammad Azhar Liza, 16, atau lebih dikenali sebagi Iz; Rina Bayu Adilana Jimmy (Bayu), 18; Mohd. Afif Amier (Afif), 23; Celine Bong (Celine), 17, dan Harnida Shazila Haron (Nyda), 17.
Pembukaan kompleks dua tingkat berharga RM15 juta yang menyediakan 100 ruang niaga itu bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Menurut Iz, dia dan peserta lain berasa bangga apabila diberi penghargaan untuk membuat persembahan pada majlis tersebut.
Ujarnya, dia membuat persiapan sejak Ahad lepas bagi memastikan persembahannya benar-benar mantap.
“Gugup atau tidak, saya akan melakukan yang terbaik. Saya tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan ini.
“Saya banyak mempelajari teknik nyanyian daripada guru vokal, Norafizah Busman dan sering berbincang mengenai lagu yang sesuai dengan ton suara saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Iz memberitahu, dia akan mendendangkan lagu Wanita Seluruh Dunia oleh Kumpulan Project Pistol dan yakin dapat membuat persembahan yang benar-benar menghiburkan penonton.
Ujarnya, pemilihan lima peserta Soulstar 2012 bagi majlis pembukaan kompleks itu membuktikan bakat dan kemampuan mereka mendapat pengiktirafan daripada orang ramai.
Sementara itu, kesemua 24 finalis Soulstar 2012 akan menentukan nasib masing-masing apabila beraksi pada konsert kedua esok.
Juara Soulstar 2012 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta hadiah-hadiah lain. Pemenang tempat kedua dan ketiga akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 dan RM2,000 masing-masing.
Program Soulstar 2012 adalah anjuran Kampung Budaya Sarawak dan E-One Dasri Talent Management manakala akhbar Kosmo! menjadi rakan media rasmi.
Untuk urusan pembelian tiket, sila hubungi talian 082-846108.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: