|
PULANG daripada menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada bulan Oktober dua tahun lalu membuka lembaran baharu buat Runaliza Kamaruddin, 52 dan keluarganya.
Beliau yang sebelum ini tidak pernah sedar mengenai kepentingan berdakwah mula berfikir mengenai perkara tersebut.
Lalu, Runaliza berbincang dengan anak perempuannya, Illyana Muzliza Muzzaffa, 26, mengenai perkara yang bermain di benak fikirannya.
Walaupun pada peringkat awal Runaliza dan Illyana agak samar-samar mengenai cara terbaik untuk berdakwah ke jalan Allah, mereka telah mencipta satu medium untuk menyebarkan agama Islam melalui label Owh So Muslim (OSM).

ILLY (kiri) dan Ummu Nana menunjukkan buku Prophet Muhammad SAW:The Last Sermon yang laris dijual secara dalam talian.
Menurut Illyana, dia mengklasifikasikan label OSM sebagai dakwah kreatif menggunakan ilustrasi kartun dan grafik dalam setiap produk.
"Pada awalnya, saya melakar lukisan grafik dengan kalimah-kalimah memuji Allah dan memuat naik ke akaun Facebook saya untuk tatapan rakan-rakan di laman tersebut.
"Saya amat gembira apabila kebanyakan rakan-rakan di laman Facebook tahu mengenai usaha ini. Apa yang paling penting bagi saya ketika itu ialah kesedaran mereka mengenai mesej dalam setiap status Facebook saya," ujarnya ketika ditemui di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang baru-baru ini.
Selain menggunakan laman sosial Facebook, OSM kini mengorak langkah dengan penghasilan karya tulisan dan lakaran di atas lencana, buku, penanda buku serta kad-kad dakwah.
Jika dilihat pada logo OSM, ia merupakan ilustrasi kartun grafik pengasas label itu sendiri iaitu Illyana atau lebih mesra dengan panggilan Illy Muzliza.
Lencana berwarna-warni yang tertera kalimah memuji Allah seperti Alhamdulillah dan Subhanallah menjadi signatur label tersebut sejak ia dijual sejak setahun lalu.
Penghasilan lencana-lencana itu dalam penyebaran dakwah bertujuan mengajak golongan muda untuk sentiasa menyebut kalimah Allah.

KALIMAH Alhamdulillah dan Subhanallah berwarna-warni antara signatur OSM.
Kad dakwah
"Ramai yang membeli lencana ini untuk dijadikan hiasan pada beg dan pakaian mereka. Jika orang lain terpandang lencana itu, secara tidak langsung mereka turut membaca kalimah itu.
"Seperti yang kita tahu, remaja masa kini gemar bercakap mengenai perkara yang sia-sia. Kami berharap kalimah-kalimah ini setidak-tidaknya memberi sedikit perubahan kepada mereka terutama dalam perbualan seharian," ujar Illy.
Selain itu, tiga set kad dakwah iaitu Rukun Islam cara-cara memakai hijab mengikut panduan Islam dan tujuh cara mudah bagi umat Islam untuk memasuki syurga merupakan antara produk OSM yang sering mendapat perhatian.
Kad-kad dakwah berwarna-warni itu menggunakan bahasa Inggeris yang mudah bagi membolehkan golongan kanak-kanak memahami mesej yang ingin disampaikan.
Pada peringkat awal, OSM memperkenalkan produk buku yang bertajuk OSM Ramadan Booklet pada bulan Ramadan tahun lalu.
Buku yang menceritakan 30 amalan wajib dan sunat sepanjang Ramadan menggunakan ilustrasi kartun itu telah berjaya mencatat cetakan kedua menjelang bulan Ramadan tahun ini.
Label OSM bukan hanya bergantung kepada usaha Runaliza dan Illy Muzliza sahaja malah mereka turut dibantu oleh Muhammad Faiz Abu Bakar, 25 sebagai penggerak dalam hal ehwal pemasaran produk-produk OSM.
Muhammad Faiz memberitahu, selain menjalankan promosi dan jualan menerusi internet dan laman sosial Facebook, OSM juga menyertai pelbagai majlis dan acara dalam usaha untuk mengembangkan usaha dakwah mereka.

ILLY (paling kanan) bersama dengan peminat label OSM yang hadir dalam acara Twin Of Faith yang berlangsung baru-baru ini.
Pasaran luar negara
Menurutnya, ketika mengadakan sesi jualan pada acara-acara itu, mereka dapat berdakwah secara terus dengan pengunjung-pengunjung.
"Antara acara yang telah kami sertai ialah Bing Me, Twin Of Faith dan terbaharu Halfest. Menerusi acara-acara seperti ini, ramai yang bertanya apa yang kami yang cuba tonjolkan. Di situ juga secara tidak langsung akan wujud komunikasi dakwah antara kami dan pengunjung.
"Kami tidak hanya mahu menjual produk kami semata-mata. Kami mahu memperkukuhkan dakwah kami kepada umat Islam. Biar sedikit yang mengetahui usaha kami, asalkan ia berterusan," ujarnya yang juga menguruskan imej janaan komputer (CGI) untuk filem-filem tempatan.
Lebih membanggakan, usaha OSM bukan sahaja terhad di Malaysia malah buku yang bertajuk Prophet Muhammad (SAW) : The Last Sermon mendapat tempahan memberangsangkan dari Brunei, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

MUHAMMAD FAIZ (kanan) sentiasa membantu olahan idea Illy mengenai hal ehwal rekaan ilustrasi produk OSM.
"Alhamdulillah, setakat ini penerimaan buku yang menceritakan mengenai khutbah terakhir Rasulullah itu mendapat sambutan yang menggalakan.
"Sebanyak 1,500 naskhah telah terjual sejak menjengah pasaran setahun lalu," tambah Muhammad Faiz, suami kepada Illy Muzliza.
Sehingga kini OSM mempunyai lebih daripada 20,000 peminat di laman Facebook mereka.
Cabaran utama OSM ialah kesahihan dan kebenaran dalam setiap mesej dakwah yang terdapat pada produk keluaran label tersebut.
Bagi Runaliza, selaku penasihat isi kandungan produk OSM, beliau perlu menjalankan kajian dengan merujuk pelbagai kitab untuk mendapatkan kepastian mengenai kebenaran sesuatu perkara yang melibatkan agama.
"Ramai yang tidak tahu bahawa banyak buku atau kitab yang terjual di pasaran diragui kesahihannya terutama perihal hadis dan sunah Nabi Muhammad. Kami tidak mahu dakwah kami ini menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
"Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim merupakan antara hadis sahih yang sentiasa menjadi rujukan saya. Walaupun teks dalam kebanyakan produk OSM ringkas namun setiap ayat juga perlu dijaga bagi menjamin kebenaran kata-kata Rasulullah untuk dijadikan rujukan generasi akan datang," ujarnya yang lebih dikenali dengan panggilan Ummu Nana.
Tambahnya, dia mahu setiap produk OSM memberi kebaikan dan manfaat kepada umat Islam terutama penghayatan dalam setiap mesej yang disampaikan dan memberi gambaran kepada golongan bukan Islam untuk mengenali Islam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: