
ANJING diberi kalungan bunga dan dihiasi pewarna di kepala.
SAMA seperti penganut agama Hindu lain di seluruh dunia, penduduk Nepal juga merayakan sambutan perayaan cahaya atau Deepavali.
Namun, mempunyai nama dan amalan yang sedikit berbeza, perayaan itu dikenali sebagai Tihar di Nepal.
Dirayakan selama lima hari, setiap hari mempunyai makna dan ritual tersendiri yang perlu dilakukan oleh penganut Hindu di Nepal.
Selain mengindahkan rumah dengan lampu pelita dan dekorasi kolam menggunakan beras berwarna-warni, perayaan lima hari itu ternyata bukan hanya untuk mengeratkan hubungan sesama manusia.
Bagi warga Nepal, Tihar juga adalah masa untuk manusia menunjukkan rasa hormat dan meraikan haiwan. Dalam kepercayaan mereka, burung gagak, anjing dan lembu mempunyai tempat yang tersendiri sehingga diraikan semasa Tihar.

LEMBU diberi persembahan makanan yang enak dan dihias dengan bunga pada hari ketiga Tihar.
Hari pertama Tihar, penduduk Nepal biasanya akan meletakkan manisan atau makanan di atas bumbung. Ia adalah penyembahan khas untuk burung gagak.
Dalam kepercayaan masyarakat Hindu, bunyi burung gagak membawa simbol kesedihan dan kematian. Disebabkan itu, tujuan pemberian makanan kepada haiwan itu dikatakan sebagai simbol panjang umur dan menjauhkan kematian daripada rumah mereka pada hari perayaan.

MAKANAN diletakkan di atas bumbung rumah untuk dijamu kepada burung gagak.
Hari kedua pula adalah hari istimewa untuk anjing. Masyarakat India percaya anjing adalah utusan bagi Dewa Yamaraj atau dewa kematian. Jadi anjing diraikan setahun sekali sebagai doa panjang umur.
Pada hari itu, anjing-anjing diberikan kalungan bunga, disapukan dengan serbuk pewarna di kepala dan sudah tentunya diberi jamuan makanan yang enak.
Selepas ritual panjang umur, hari ketiga Tihar adalah hari untuk mendoakan agar dimurahkan rezeki dan dilimpahi kemewahan. Bagi penganut Hindu, lembu adalah haiwan yang membawa simbol tersebut.Oleh kerana itu, lembu diberi penghormatan tinggi dalam kalangan penganut Hindu sempena Tihar. Lembu-lembu biasanya dikalungkan bunga, dibelai penuh kasih sayang dan diberi makan rumput yang terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: