Chef Zam, Chef Florance Tan dan Chef Datuk Ismail
Chef Zam, Chef Florance Tan dan Chef Datuk Ismail antara teraju utama Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show.
Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show bawa kelainan
Tengah, Datuk Maglin Dennis D’Cruz bersama warga Barkath-CORA Sdn Bhd dan selebriti yang terlibat
Seakan satu fenomena program masakan disiarkan di kaca televisyen tempatan kini dilihat semakin mendapat tempat di hati penonton tidak mengira lapisan masyarakat.

Selain menu masakan yang cuba ditonjolkan, kehadiran chef dan barisan artis jemputan turut menjadi peranan utama menarik minat penonton terus setia mengikuti rancangan tersebut.

Melihatkan perkembangan itu, syarikat Barkath-CORA Sdn Bhd yang terkenal dengan produk jus oren, Sunquick menampilkan sebuah program 'Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show' yang bakal ke udara mulai 7 Oktober, jam 12.30 tengah hari menerusi siaran TV1.

Program masakan 13 episod ditayangkan pada setiap hari Ahad, akan diterajui oleh empat chef selebriti popular iaitu Chef Datuk Ismail Ahamd, Chef Wan, Chef Zam, dan Chef Florance Tan.

Pengurus promosinya, K. Asokan berkata program masakan ini juga bakal dimeriahkan dengan telatah barisan artis popular tempatan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Didie Alias, Vanidah Imran, Fizz Fairuz, Zain Saidin, Wawa Zainal, Yasmin Hani, Fizo Omar, Effa Raziah dan ramai lagi.

Menurutnya, terdapat 52 resipi telah disediakan oleh barisan chef yang terlibat di mana dalam setiap masakan itu akan menggunakan jus oren Sunquick.

"Memasak menggunakan Sunquick adalah antara keistimewaan yang cuba kami tonjolkan berbanding program masakan yang lain. Jika sebelum ini jus oren, Sunquick hanya digunakan untuk hidangan minuman, kini ia boleh dipelbagaikan dalam masakan.

"Terdapat beberapa resipi yang disediakan adalah hasil rekaan daripada pengguna setia kami yang begitu kreatif menggunakan produk kami dalam hidang masakan yang sememangnya lazat," katanya pada majlis pelancaran 'Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show' yang dijalankan di Hotel Hilton, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambahnya, selain menjadi platform memperkenalkan resipi daripada jus oren Sunquick, program masakan ini juga turut  memberi peluang kepada penonton untuk memenangi hadiah lumayan dalam penyertaan kuiz pada setiap episod yang ditayangkan.

"Saya kagum melihat kreativiti pengguna setia kami dalam menggunakan Sunquick dalam masakan mereka. Mungkin dalam program masakan ini lebih ramai pengguna Sunquick dapat mempelajari resipi yang disediakan."Kami
juga memberi peluang kepada penonton setia yang berjaya menjawab melalui pesanan ringkas soalan yang disediakan setiap episod," katanya.

Selain barisan chef dan artis yang terlibat, majlis pelancaran turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D’Cruz dalam merasmikan program masakan tersebut.


Cipta sejarah: Mat London

Tidak hanya mempertaruhkan chef dan selebriti ternama, program masakan 'Variarasa Sunquick Celebrity Cook Show' lebih istimewa dan lain dari lain kerana mendapat pengarah hebat, Mat London."Saya rasa ini adalah satu-satunya program masakan pertama di Malaysia yang menghimpunkan empat chef hebat di negara ini.

"Ini adalah sejarah dan sebagai seorang pengarah, saya amat berbesar hati bekerjasama dengan nama-nama besar ini," ujarnya.

Menyentuh mengenai pengalaman mengarahkan program masakan ini, Mat London mengatakan komitmen dan kerjasama baik yang diberikan oleh barisan chef dan artis yang terlibat memudahkan perjalanan sesi penggambaran yang dijalankan.

"Alhamdulillah semuanya dapat berjalan dengan baik. Mereka semua beri kerjasama yang baik sepanjang penggambaran dijalankan.

"Sebagai seorang pengarah, saya tidak mengalami sebarang masalah dalam menyiapkan program siri 13 episod ini," jelasnya.