Saturday, October 13, 2012

UTM lancar sistem rangkaian pengecas kenderaan elektrik

SALLEH Mohd. Nor (dua dari kiri) melakukan gimik pelancaran mengecas kereta elektrik dengan mengunakan MyEV Charger Network System di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Norbik Bashah Idris (kiri) dan Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Ir Dr. Mohd. Azraai Kassim (tiga dari kiri).
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Usaha membangunkan infrastruktur kenderaan elektrik di negara ini perlu digiatkan bagi menyokong pelaksanaan dan perkembangan industri berkenaan.
Pro Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor berkata, pembangunan infrastruktur merupakan satu daripada komponen penting dalam ekosistem teknologi hijau bagi kenderaan elektrik.
Menurutnya, satu cabaran utama ketika ini ialah standard bagi sistem pengecas masih di peringkat pembangunan yang menyebabkan berlaku ketidakserasian sewaktu mengecas.
Ketidakseragaman ini katanya, jika tidak ditangani akan membantutkan kerancakan usaha kerajaan mempelopori pengunaan kenderaan elektrik.
"Melalui penggunaan pelbagai maklumat dalam talian serta sistem siber, pengguna kenderaan elektrik dapat segera mengetahui di mana stesen terdekat untuk mengecas kenderaan dan ini mampu direalisasikan menerusi sistem rangkaian pengecas yang dibangunkan oleh UTM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan 'My Electrical Vehicle (MyEV) Charger Network System, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Projek MyEV, Prof. Datuk Dr. Norbik Bashah Idris berkata, MyEV telah dibangunkan oleh Sekolah Informatik Termaju (AIS) UTM dan merupakan sistem yang bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah ketidakseragaman ketika mengecas kenderaan elektrik tetapi boleh dipadankan dengan sistem lain yang digunakan oleh rakyat Malaysia.
"Ini termasuk penggunaan Touch 'n' Go bagi membuat pembayaran serta penggunaan sistem penentu kedudukan global bagi pencarian penunjuk arah jalan," katanya.
Malah hasil kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang ada di AIS, sistem yang dibangunkan itu kata Norbik Bashah, turut ditambah dengan aplikasi canggih seperti penggunaan 'Augmented Realities' dalam mengenal pasti destinasi dan sasaran dituju.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: