Monday, October 1, 2012

Tuah bersama Aaron, Erra

pix_middle
KAUM lelaki, sememangnya dianugerahkan kebolehan memikat dan pandai bermain kata. Andai telahan ini tidak benar, mana mungkin ada perempuan yang merelakan diri mereka berkongsi kasih menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat atau paling tidak sanggup terjerat dalam hubungan yang mempunyai kepastian.
Namun, isu yang cuba dikupas menerusi Ngorat, buah tangan terbaru Prof Madya Abdul Razak Mohaideen adalah sebaliknya. Bakal menjengah pawagam pada 4 Oktober nanti, Ngorat sebuah karya mengisahkan kehidupan Ijam, seorang jejaka kacak yang ‘loser’ dan tidak pernah mempunyai teman wanita.
  
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Didukung oleh pelakon yang boleh dikategorikan masih ‘hijau’ di lapangan lakonan, Iedil Putra, 28, khabarnya resah gelisah menantikan kemunculan filem itu yang turut diterajui pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Erra Fazira dan Zain Ruffedge.

“Bersarang rasa gementar di hati saya menantikan kemunculan filem ini, tambahan pula ia adalah filem pertama saya jayakan sebagai watak utama.

“Berganda keresahan kerana filem ini dibintangi pelakon hebat seperti Aaron, Erra dan Zain. Pun begitu saya amat berbangga berpeluang menimba pengalaman dengan mereka yang tidak pernah lokek ilmu, namun rasa rendah diri tetap ada.

“Saya mungkin tidak perlu merasa bimbang kerana kekuatan nama mereka saja sudah cukup menarik perhatian peminat dan pencinta filem ke panggung. Namun saya juga tidak mahu kehadiran saya di dalam filem ini di pandang sepi.

“Tak ingin saya dengar komentar, sama ada atau tidak ada saya di dalam filem ini tidak memberi sebarang kesan pun biarpun jujur saya akui, saya sudah bersedia menerima sebarang komen sama ada yang membina ataupun berbaur negatif.
Saya mahu kepercayaan yang diberikan pengarah ada impaknya buat penonton,” katanya.

Bercerita mengenai karakter Ijam, Iedil mengakui bertuah kerana berpeluang bekerja secara rapat dengan Aaron juga primadona filem Melayu, Erra Fazira.

“Ijam menempuhi pelbagai kesukaran dalam usahanya untuk memikat wanita dan di sinilah bermulanya plot utama filem ini apabila Arjuna Kasih watak dimainkan Aaron muncul dan membantu menyediakan tips untuk digunakan oleh Ijam untuk mendapatkan teman wanita.

“Arjuna Kasih atau ‘Love Guru’ ada kalanya muncul sebagai jelmaan Jack Sparrow dan bermacam-macam lagi karakter yang bakal mencuit hati penonton. Saya tabik dengan kemampuan Aaron yang memberikan gambaran berbeza-beza pada setiap karakternya.

“Sementara Erra pula yang membawakan watak Kira, menjadi sahabat baik saya di dalam filem ini. Tanpa sedar, Ijam sebenarnya menyimpan perasaan terhadap sahabatnya itu yang sangat lantang dan berkelakuan tomboi,” katanya.

Temu bual yang berlangsung di Balai Berita baru-baru ini, tidak hanya membabitkan Iedil yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem KL Zombie yang dibintangi Siti Saleha, Zizan Razak dan Faezah Elai. Malah turut disertai Zain Hamid, 33, atau lebih dikenali sebagai Zain Ruffedge.

Memegang watak sebagai Rizal, sahabat baik kepada Ijam juga adik kandung Kira, pergolakan wataknya kali ini sedikit berbeza daripada karakter yang pernah dibawakan sebelum ini.

“Pendek kata, karakter saya kalau mereka yang menonton akan menganggap Rizal seorang yang ‘poyo’ kerana sering menasihatkan Ijam soal perempuan sedangkan dirinya juga tidak punya teman wanita.

“Di luar nampak macho walhal di rumah seorang adik yang cukup manja dengan kakaknya (Erra). Sebab utama saya memilih untuk terbabit dalam projek ini bukan hanya ingin merebut peluang bekerja dengan Erra dan Aaron juga pengarah Prof Razak, tetapi juga kerana karakter Rizal itu sendiri yang tidak pernah saya jayakan sebelum ini,” katanya.

Zain turut menyifatkan Ngorat yang diterbitkan oleh Grand Brilliance itu adalah hasil karya yang lain daripada lain pernah ditampilkan Razak yang sebelum ini terkenal dengan himpunan filem berkaitan kehidupan anak mami.

“Sememangnya sejak dari dulu saya pernah menyimpan impian untuk bekerja dengannya. Walaupun sering mendengar filemnya dikritik, saya pula berpendapat sebaliknya.

“Saya seorang yang suka alami sendiri pengalaman itu sebelum jatuh hukum dan saya dapati sepanjang bekerja dengan Prof Razak sangat mudah dan menyeronokkan.
Saya tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengannya lagi.

“Berbalik semula pada filem Ngorat ini, ia adalah sebuah filem yang berbeza daripada filem pernah ditampilkan sebelum ini sekali gus menunjukkan sudut kreatif yang lain yang ada pada Prof.

“Selain itu, penonton juga pasti terkejut dengan persembahan Aaron yang selama ini terkenal dengan watak hero dan macho kerana siapa sangka Aaron sebenarnya mampu menghidupkan watak komedi.

“Saya jamin penonton akan ketawa melihatnya dan harus saya akui Arjuna Kasih salah satu watak Aaron yang paling baik pernah saya saksikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: