Stacy, Sheila Amzah dan Yuna
AIM
Rasanya, ramai masih mengingati kes pemulangan trofi di Anugerah Industri Muzik (AIM) 18, tahun lalu bagi kategori Lagu Terbaik.
Sekadar mengimbas kembali, penyanyi dan pencipta lagu Penakut, Yunalis Zaraai atau Yuna terpaksa memulangkan trofi Lagu Terbaik setelah berlaku kesilapan kiraan audit.
Trofi keramat tersebut akhirnya menjadi milik komposer Edry Abd Halim menerusi lagu Sedetik Lebih, nyanyian Anuar Zain.
Biarpun imej majlis anugerah berprestij itu telah tercalar, penganjurannya perlu diteruskan demi memastikan kelangsungan industri muzik tempatan.
Lupakan sejenak kisah tahun lalu kerana AIM19 yang bakal berlangsung 17 November ini di Stadium Malawati, Shah Alam menyaksikan beberapa pembaharuan.
Senarai calon terpilih ke peringkat akhir juga menarik kerana berlaku pertembungan muka baru dan lama.Bertambah meriah, dua artis bukan warganegara, kumpulan duo SleeQ dan Stephen Rahman Hughes turut tercalon setelah syarat penyertaan dilonggarkan asalkan mereka menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Malaysia.
Ketiadaan muka-muka popular misalnya Hafi z, Alyah, Najwa Latif, Klangit, Jimmy Palikat dan One Nation Emcees yang hangat di corong radio mungkin mengundang pertanyaan.
Namun, inilah hakikat AIM sebagai anugerah muzik yang mempertaruhkan kualiti bukan populariti.
Realitinya, biarpun diselubungi kontroversi, saban tahun trofi AIM terus didambakan mereka yang bergelar anak seni.
Mungkin masih terlalu awal untuk membuat ramalan, namun tidak mustahil berlaku kejutan yang bakal mengubah atmosfera muzik tanah air. Siapa tahu?
TUAH PATAH SERIBU
REZEKI anak dara ND Lala ini semakin murah sejak kebelakangan ini. Baru saja dinobatkan sebagai juara Shanghai Asian Wave 2012, Shila Amzah tercalon pula bagi dua kategori di AIM19.
Lebih manis, pencalonannya kali ini menerusi lagu ciptaannya sendiri iaitu Patah Seribu yang menyaksikan Shila tercalon untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik.
Mungkin dari segi umur, Shila yang baru berusia 22 tahun jauh lebih muda berbanding pencabarnya iaitu Datuk Siti Nurhaliza (I Cry Out), Nora (Doa) dan Jaclyn Victor (Counting Days, Jagalah Diri).
Namun, perlu diingat pembabitan Shila dalam industri sudah 12 tahun dan dia boleh dianggap antara penyanyi wanita paling menyerlah ketika ini.
Menyifatkan pencalonan kali ini lebih bermakna setelah tersenarai bersama 3 Suara tahun lalu, bagaimanapun Shila enggan meletak harapan tinggi.
“Saya anggap ia sebagai pencapaian tertinggi apabila dapat tercalon dalam kategori yang menjadi idaman setiap penyanyi.
“Siapa yang tidak mahu menang, namun dapat bersaing dengan idola saya sendiri cukup menggembirakan,” katanya yang tidak dapat hadir pada malam kemuncak AIM19 kelak kerana terikat dengan komitmen di China.
Patah Seribu juga pastinya mendapat tempat istimewa di hati Shila kerana lagu itu berjaya membuktikan kemampuannya mencipta lagu sendiri.
“Ramai tidak tahu saya ada bakat lain selain menyanyi. Siapa sangka, lagu yang hanya dicipta sekadar suka-suka berjaya tercalon ke AIM19.
“Pencalonan ini membuatkan saya makin bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak lagu berkualiti,” katanya yang memiliki 40 koleksi lagu sendiri dalam simpanannya.
VARIASI STACY
TERKENAL dengan lagu berentak pantas dan catchy, Stracie Angie Anam, 22, atau Stacy tidak pernah mengehadkan keupayaannya menyanyikan lagu bergenre lain.
Kelahiran album keduanya, Stay-C yang mengandungi variasi lagu adalah bukti anak kelahiran Sabah ini seorang penyanyi versatil.
Kepelbagaian itu jugalah, menurut Stacy, membolehkannya tercalon untuk kategori Album Terbaik bersama Sang Enemy (Hujan), Hikmah (Nora), Take Off (Pesawat) dan SalamMusik (SalamMusik).
“Sejak awal pembikinan lagi, saya memilih sendiri lagu yang akan dimuatkan dalam album tersebut.
“Semua lagu adalah yang terbaik dan saya yakin juri memandang kekuatan album ini pada variasi lagu yang terkandung di dalamnya,” ulas Stacy.
Seperti juga Shila, juara Akademi Fantasia (AF) 6 ini tidak mahu terlalu berharap kerana saingan cukup sengit.
Namun jika rezeki memihaknya, Stacy menyasarkan sekurangkurangnya dia menggondol kategori Video Muzik Terbaik (Pelangi Senja).
“Klip video ini diarahkan Ghaz Abu Bakar dan memaparkan pemandangan indah di Semporna, Sabah yang jarang ditonjolkan.
“Pertama kali saya terlibat dengan klip video yang berkonsep seperti Instagram. Kalau tak dapat menang Album Terbaik, menang kategori ini sudah memadai,” katanya.
Sebuah lagi lagu Stacy, Kasanova ciptaan komposer Edry Abd Halim turut tercalon untuk kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu.
YUNA TAK PERNAH SERIK!
AIM18 lalu mungkin enggan dikenang lagi oleh Yuna dalam kamus hidupnya. Namun, bukan bermakna penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat ini akan menyisihkan AIM19.
Lebih-lebih lagi, dirinya mendahului senarai calon dengan enam pencalonan iaitu Lagu Pop Terbaik (Terukir Di Bintang), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Memo & Photo of You), Video Muzik Terbaik (Sparkle), Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Terukir Di Bintang) dan Kulit Album Terbaik. Ketika sesi pemulangan trofi tahun lalu, Yuna pernah menyatakan dia tidak serik menyertai AIM.
“Tidak dinafi kan, memang rasa terkilan kerana membabitkan majlis anugerah berprestij.
“Apa pun, saya harap kesilapan sama tidak berulang kerana ia hanya akan menjejaskan maruah AIM sendiri.
Bagi saya sendiri, kesilapan ini tidak memberi kesan pun terhadap saya,” katanya.
Untuk AIM tahun ini, awal-awal lagi dia sudah menyatakan keterujaan untuk menghadiri majlis tersebut.
“Kebetulan, visa saya akan berakhir November ini.
Jadi, saya memang perlu pulang ke Malaysia.
“Kesempatan itu saya guna untuk menghadiri AIM19. Sebagai penyanyi, tentunya saya perlu sokong majlis yang memartabatkan industri muzik tempatan,” kata Yuna ketika berada di Malaysia, baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: