
TAKAKO lebih selesa menggunakan pengangkutan awam.
MENGAKUI dia bukan seorang yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Pengurus Besar Operasi Mercy Malaysia, Takako Izumi, 40, lebih banyak berbicara menggunakan bahasa Inggeris.
Namun, dia mengakui memahami beberapa butir perkataan Melayu seperti mari pulang, ke kedai, apa khabar serta nasi goreng.
Wanita yang dilahirkan di Fukuoka, Jepun ini sudah lima tahun menetap di Malaysia.
Tutur Takako, dia tertarik dengan sikap ramah, lemah lembut serta kepelbagaian menu masakan negara ini.
“Orang Malaysia rajin serta tidak lokek untuk membantu orang lain.
“Malah, sekiranya saya lama menetap di negara ini, mungkin lelaki pilihan saya seorang lelaki Melayu,” katanya tersenyum.
Cerita wanita ini, dia gemar makan nasi goreng, nasi lemak, mi kari, roti canai dan rendang ayam.
“Cuma saya tidak menggemari masakan yang pedas.
“Dahulu, saya pernah makan sambal belacan dengan nasi goreng tetapi lepas itu saya terpaksa minum air berbotol-botol air akibat kepedasan.
“Ia juga membuatkan saya tidak dapat tidur malam,” ujarnya.
Dia yang menetap di Setiawangsa, Kuala Lumpur memilih untuk menetap di negara ini setelah mengenali bekas pengasas dan presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.
“Saya mula mengenalinya sejak 2002 semasa menghadiri persidangan antarabangsa mengenai bantuan kemanusiaan di Tokyo, Jepun. Selepas beberapa kali berjumpa dengannya dia mempelawa saya menyertai Mercy Malaysia untuk mengetuai bahagian logistik dan pengagihan bantuan,” cerita Takako.
Jelasnya, pengurusan logistik antara salah satu keutamaan bantuan kemanusiaan bagi memastikan setiap bantuan yang dihulurkan sampai kepada penerimanya.
Sebelum terlibat dengan Mercy Malaysia, wanita ini terlibat aktif dalam badan-badan kemanusiaan di bandar kelahirannya.
Menyertai pelbagai misi kemanusiaan Takako mengakui yang menyentuh perasaannya ialah membantu mangsa bencana alam di Bangladesh, Indonesia dan negara kelahirannya sendiri.
Takako menceritakan, pengalaman melihat sendiri mangsa tsunami di Aceh, Indonesia yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Mayat
“Bayangkan radius kemusnahannya dengan segala infrastruktur dan bangunan hancur kerana gelombang air laut yang dahsyat. Malah, bantuan kemanusiaan tiba agak lewat.
“Jujurnya, ia bukan perihal bencana alam semata-mata tetapi membantu memulihkan psikologi mangsa yang terjejas,” jelasnya.
Dia yang mampu menghabiskan sebuah buku novel bertemakan cinta dalam tempoh sehari turut menceritakan pengalaman membantu mangsa banjir di Bangladesh turut menyayat hatinya.
Bangladesh mempunyai ramai penduduk yang miskin tetapi dalam masa sama sering terdedah kepada kemusnahan nyawa dan harga benda akibat bencana alam.
“Semua itu menguji ketabahan mereka,” cerita Takako.
Ironinya, peristiwa tsunami yang berlaku di Jepun tahun lepas banyak memberikan impak kepada dirinya.
“Saya tidak menyangka negara saya diuji dengan bencana yang sebegitu besar termasuk ancaman radiasi nuklear.
“Namun, kami menghargai sumbangan rakyat Malaysia yang banyak menghulurkan bantuan,” katanya.
Pengangkutan awam
Satu perkara yang unik mengenai wanita berperwatakan lembut ini ialah dia tidak gemar memandu kereta dan lebih selesa menggunakan perkidmatan kenderaan awam untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja.
Ujarnya, di negaranya sendiri dia jarang menggunakan kereta kerana lebih selesa menggunakan pengangkutan awam.
“Pengangkutan awam lebih efisien serta menjimatkan masa dan wang.
“Saya sendiri kurang gemar dengan kesibukan lalu lintas. Kenderaan sendiri banyak mengeluarkan karbon dioksida mencemarkan alam dalam kuantiti yang banyak,” ujarnya.
Katanya, di negara ini dia juga menggunakan pengangkutan awam terutama sistem transit aliran ringan (LRT) berbanding teksi atau bas.
“Ia menyebabkan saya jarang pergi bersiar-siar tempat-tempat menarik sekitar Malaysia kerana tidak mempunyai kereta.
“Jadi kebanyakan aktiviti hanya terhad di sekitar kediaman semata-mata.
“Lagipun saya tidak mempunyai teman lelaki untuk bersiar-siar bersamanya,” ujarnya.
Namun, Takako memberitahu, sekiranya keadaan memerlukan dia akan memiliki sebuah kereta.
“Mungkin kereta jenis kompak seperti Perodua Myvi kerana ia kecil dan menjimatkan minyak.
Dia berkata mungkin apabila berkahwin kelak akan membeli sebuah kereta.
“Lebih mudah untuk urusan menghantar anak ke sekolah serta membeli barangan keperluan rumah.
“Tetapi, setakat ini perkara itu tidak difikirkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: