|
JIKA berbicara tentang teknologi, ia tidak pernah ada penghujungnya. Saban hari pelbagai peralatan canggih yang merangkumi segenap aspek muncul untuk mendominasi kehidupan manusia moden.
Satu ketika dahulu komputer peribadi (PC) pernah dianggap simbol kekayaan seseorang, tetapi kini, dunia semakin berubah. Teknologi yang sentiasa ke hadapan membuatkan ramai sudah melupai zaman memiliki sebuah PC.
Kewujudan variasi telefon pintar dan aplikasi komputer tablet menyebabkan ia menjadi kegilaan masyarakat masa kini. Malah, penggunaan gajet sedemikian bukan sahaja terhad pada golongan dewasa, bahkan remaja belasan tahun termasuk kanak-kanak di sekolah rendah.
Bagaimanapun, di sebalik fenomena telefon pintar itu, ramai yang tidak menyedari dilema yang dihadapi pengusaha atau peruncit produk berkaitan teknologi maklumat (IT).
Apabila semua orang menggunakan telefon pintar untuk melakukan semua perkara daripada berkomunikasi, merakamkan foto, melayari internet, menghantar e-mel, mendengar lagu, memuat turun aplikasi dan banyak lagi, ia menyebabkan pengguna tidak membeli produk-produk IT lain.
Situasi tersebut menjejaskan pengusaha dan peruncit IT seperti margin keuntungan yang rendah, perlindungan harga/tuntutan rebat, komitmen terhadap stok dan kecairan kewangan.
Selain itu perang harga, kesan dasar komputer riba percuma kerajaan yang menjejaskan jualan, kekerapan penganjuran pameran perdagangan dan ketiadaan persatuan untuk melindungi nasib peniaga menambahkan keperitan peniaga.
Menyelami masalah peniaga
Menyedari hakikat itu, 1 Utopia Berhad, sebuah syarikat konglomerat berasaskan teknologi negara terpanggil untuk menganjurkan forum bertajuk Survival Peruncit IT bagi membincangkan dan menyelami permasalahan yang dihadapi golongan terbabit.
Pengarah Urusannya, Chin Boong Long berkata, perbincangan tersebut memberi tumpuan terhadap isu-isu serius yang melanda peruncit IT.
“Semua masalah ini jika tidak diatasi dengan baik mampu membuatkan ramai peruncit atau peniaga produk IT gulung tikar kerana tidak mampu menanggung beban tersebut,” ujar Boong Long sambil memberitahu jumlah pendapatan yang dijana oleh sektor IT untuk produk berasaskan IT antara Ogos 2011 dan Julai 2012 adalah sekitar RM4 bilion. Ia juga sebenarnya penurunan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Berlangsung di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 27 September lalu, forum tersebut dihadiri lebih 140 peruncit IT dan wakil persatuan IT negeri dari seluruh negara.
Rata-rata mereka melahirkan harapan agar satu tindakan segera perlu diambil bagi menyelesaikan dilema yang dihadapi bagi memastikan masa depan yang lebih cerah buat golongan tersebut.
Pengerusi Persatuan ICT Pulau Pinang (PICTA), Irene Sau memberitahu, beliau sudah melibatkan diri dalam industri jualan produk IT selama lebih 20 tahun dan telah melalui pelbagai situasi jatuh bangun dunia perniagaan dalam tempoh tersebut.
“Namun, pasaran kami sekarang begitu terkesan dengan kewujudan pelbagai aplikasi telefon pintar yang secara tidak langsung menjejaskan jualan produk IT.
“Sepuluh tahun lalu, peruncit boleh menjual bermacam-macam produk apabila pelanggan membeli sebuah PC untuk kegunaan sendiri.
“Tetapi, sekarang dengan membeli sebuah komputer riba atau telefon pintar, ia sudah mencukupi. Justeru, tidak banyak produk yang boleh kami jual kepada pelanggan. Tambahan pula, persaingan sengit dari pelbagai pihak membuatkan pengaliran wang masuk berkurangan,” luah Irene yang mewakili suara hati peruncit IT dari Pulau Pinang. Irene juga merupakan Pengarah Urusan Best Buy IT Mall Sdn. Bhd.
Masa sukar
Perkara itu dipersetujui Pengerusi Persatuan Pengusaha Komputer & Digital IT Ipoh Perak, Kevin Chang. Menurut Kevin, semua orang yang terlibat dalam industri jualan runcit IT berdepan situasi sukar ketika ini.
“Jualan berkurangan, harga produk yang tidak terkawal menyebabkan tiada keuntungan yang diperoleh dan peningkatan perbelanjaan bagi operasi kedai memburukkan lagi keadaan.
“Justeru, kami amat berbesar hati jika ada pihak yang mahu mengambil langkah pertama dalam usaha membendung permasalahan ini sekali gus menyokong penuh setiap tindakan yang akan dilakukan kelak,” tegas Kevin merangkap Pengarah Urusan Megamate Computer Holdings (M) Sdn. Bhd.
Apa yang pasti, melalui penganjuran forum itu, semua peserta menyokong penuh usaha untuk menubuhkan persatuan bebas, iaitu sebuah entiti berasingan daripada Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) bagi melindungi kepentingan dan masa depan peruncit IT.
Kewujudan persatuan itu diharap mampu menangani pelbagai cabaran yang dihadapi peruncit IT, bahkan membangunkan eko-sistem peruncitan IT yang mampan melalui sistem pasaran yang saksama di Malaysia.
Idea yang diilhamkan oleh Boong Long itu menerima sokongan padu daripada lebih 100 peruncit IT yang melihat kepentingan pembentukan badan bebas tersebut.
Selain itu, para peruncit IT telah menandatangani satu bentuk petisyen untuk menunjukkan sokongan mereka kepada penyelesaian yang dicadangkan sepanjang forum itu berlangsung.
Selain itu, setakat ini 13 peruncit IT dari seluruh negara telah menawarkan diri secara sukarela untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa kerja bagi melancarkan pentadbiran persatuan baharu itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: