|
APA yang anda ingat tentang SsangYong? Saya mengingati SsangYong menerusi model SUV kompak Rexton dan MPV Stavic yang seorang kawan menyatakan rekaannya seperti sebuah kapal layar.
Rexton memang berjaya memperkenalkan SsangYong kepada pengguna di Malaysia. Malangnya, momentum itu tidak bertahan lama. Kemudian, muncul pula trak pikap Actyon Sports yang dilihat oleh ramai orang sebagai mempunyai rekaan hadapan agak pelik.
Isu nilai jualan semula, penyelenggaraan dan sebagainya membuatkan jenama SsangYong tidak kuat dalam pasaran automotif tempatan. Malah, ramai yang mungkin tidak tahu mengenai kewujudannya. Keadaan itu nyata langsung tidak membantu untuk SsangYong kembali membina tapaknya di Malaysia.
Namun, itu bukanlah alasan buat pengedarnya, Competitive Supreme Sdn. Bhd. (Competitive Supreme) untuk tidak menawarkan jentera SsangYong kepada orang ramai. Terbaru, ia tampil dengan dua model iaitu SUV yang diberi nama Actyon dan trak pikap Actyon Sports.
Walaupun berkongsi nama yang hampir sama, kedua-dua kenderaan itu dibina di atas platform berbeza. Actyon menggunakan kerangka jenis monocoque, sementara trak pikap itu dihasil menerusi kerangka ladder frame.
Itu sahajalah perbezaaan paling ketara, komponen lain banyak dikongsi di antara satu sama lain. Tidak terkecuali, enjin dieselnya. Cuma, Actyon ditala agar mendapat lebih kuasa berbanding Actyon Sports.
Actyon

PAPAN pemuka dan meter diiluminasi menggunakan lampu berwarna kuning.
Direka bentuk oleh pereka terkenal Itali, Giorgetto Giugiaro dari firma rekaan Italdesign, Actyon yang dikenali sebagai Korando di banyak pasaran lain nyata memiliki citarasa Eropah. Rekaannya matang dan kemas.
Jangan salah tengok pula, itu bukan model keluaran Jaguar. Tidak perlu bimbang, bukan anda seorang boleh terkeliru jika hanya melihat kepada rekaan gril hadapan yang berwarna krom tersebut.
Percaya atau tidak, Actyon menawarkan ciri yang lebih baik berbanding pesaing sekelasnya. Selain daripada ciri yang ada, satu lagi perkara yang boleh membuatkan anda berfikir dua kali adalah harga yang ditawarkannya.
Ditawarkan pada harga RM129,977 seunit (tidak termasuk insurans), Actyon nyata amat kompetitif jika dibandingkan dengan pesaing sekelasnya seperti Kia Sportage. Mungkin ada yang beranggapan harga itu mahal untuk sebuah SsyangYong. Tetapi, cuba lihat dulu apa yang boleh ditawarkannya secara keseluruhan.
Actyon dijana oleh unit enjin diesel e-XDi200 baharu. Bagi sesiapa yang pernah memandu jentera diesel, pasti anda ketagih dengan kuasa tork yang mampu diberikannya. Tipikal enjin diesel, keseronokan itu tetap menjanjikan penjimatan.
Enjin diesel e-XDi200 yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan berupaya menghasilkan kuasa sehingga 175PS dan tork maksimum 360Nm @ 2,000 hingga 3,000rpm. SsyangYong mendakwa Actyon hanya menggunakan 7.5 liter petrol bagi setiap perjalanan sejauh 100 kilometer.
Menyentuh tentang ciri pula, ia sebuah SUV sebenar kerana dipacu oleh sistem pacuan semua roda (AWD). Bagi mereka yang tahu tidak akan membawa jentera itu meredah laluan off-road, Competitive Supreme memberitahu phaknya akan membawa masuk model pacuan dua roda nanti.
Melengkapkan penampilan maskulin Atcyon ialah tiang C yang lebar, lampu brek LED, roof rail dan bumbung suria. Di dalam kabin, anda boleh mengharapkan rekaan dan pengunaan material kulit serta plastik yang berkualiti.
Actyon Sports

ENJIN diesel e-XDi200 baharu yang menjanjikan kuasa dan penjimatan.
Faham mengenai pasaran trak pikap yang semakin kompetitif, terutama selepas kemuculan Ford Ranger, Actyon Sports bagaimanapun tidak gentar.
Hadir dengan rekaan lebih kontemporari, jentera itu ditawarkan menerusi empat varian yang dibezakan oleh sistem pacuan (2WD atau 4WD separuh masa) dan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.
Penampilan luarannya menyerlahkan hala tuju rekaan SsangYong yang moden dan efisien. Bahagian kabin pula menawarkan ruang yang luas dan selesa untuk kegunaan seisi keluarga, bukan sekadar untuk bekerja.
Sentuhan mewah kabin Actyon Sports terserlah menerusi gabungan material berwarna hitam dan kemasan metalik. Sementara penggunaan kluster instrumen yang diiluminasi oleh lampu LED membuatkan ruang itu rasa lebih sofistikated.
Actyon Sports membezakan dirinya menerusi pelbagai ciri menarik. Antaranya ialah kewujudan bumbung suria dan cermin sisi berkuasa elektrik yang boleh dipanaskan.
Menggunakan enjin sama, talaannya sedikit berbeza. Actyon Sports menjana kuasa maksimum 155PS. Jumlah torknya juga sama iaitu 360Nm, tetapi ia dapat dicapai dengan lebih pantas pada julat rpm antara 1,500 hingga 2,800rpm.
Kalau diimbas sekali lagi, kedua-dua tawaran daripada SsangYong itu tiada kurangnya berbanding pesaing yang lain. Cuma, cabaran paling getir yang perlu dihadapi oleh Competitive Supreme adalah untuk mengubah persepsi dan rasa skeptikal pengguna terhadap jenama SsangYong. Memang bukan tugas yang mudah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: