Friday, October 26, 2012

Tajamkan pisau dengan lima batu asah



BUNYI pisau yang diasah di atas batu pengasah memecahkan suasana pagi rumah Mohamad Nazri Abdul Halim. Lelaki berusia 37 tahun yang bertugas sebagai imam di Masjid Azzubair Ibnur Awwam, Cheras, Kuala Lumpur itu sibuk membuat persediaan untuk melaksanakan satu tugas besar.
Segala persiapan perlu dibuat serapi mungkin, pisau mesti diasah tajam. Bahkan, beliau tidak luput menunaikan solat sunat taubat dan meningkatkan bacaan ayat-ayat al-Quran 10 hari sebelum melakukan tugas tersebut.
Sambutan Hari Raya Aidiladha empat tahun lalu meninggalkan kenangan yang bukan sedikit kepada Mohamad Nazri. Dalam sejarah hidupnya itulah kali pertama beliau diberi tugas menyembelih lembu.
Tugas itu dirasakannya cukup berat. Sejak mendalami ilmu menyembelih lapan tahun lalu, kemahiran itu hanya dipraktikkan pada ayam sahaja. Bahkan, beliau tidak mempunyai pengalaman menyembelih kambing.
Rasa berdebar
Beberapa hari sebelum melakukan tugasan itu, Mohamad Nazri mengambil inisiatif menyembelih kambing sebagai motivasi kepadanya.
Bagaimanapun, pengalaman menyembelih kambing tidak meredakan debaran anak kelahiran Kedah itu. Sebelum memulakan tugas sembelihan, beliau mengambil wuduk terlebih dahulu.
"Saya rasa berdebar-debar untuk menyembelih lembu, namun saya gagahkan juga, apabila doa dibaca keberanian mula datang akhirnya tugas tersebut berjalan lancar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohamad Nazri yang memperoleh ilmu sembelihan daripada datuk saudaranya mengakui tugas menyembelih lembu agak sukar dilaksanakan sehinggalah selepas beliau dilantik menjadi imam dan diberi tanggungjawab itu.
Menurutnya, setiap kali pulang ke kampung beliau sering diajukan soalan sama ada sudah menyembelih lembu atau belum.
"Mula-mula tidak berani untuk sembelih lembu kerana tengkuk haiwan itu besar berbanding ayam. Kalau tidak kerana tugas saya sebagai imam dan pada masa itu tiada tukang sembelih, terpaksalah saya memikul tanggungjawab berkenaan," katanya yang pernah menyembelih sehingga 15 ekor lembu sehari pada sambutan Hari Raya AidilAdha.
Berkongsi pengalaman sebagai penyembelih haiwan korban, Mohamad Nazri mempunyai kisah-kisah lucu. Beliau lazimnya akan bertanya kepada haiwan tersebut sama ada sudi untuk dikorbankan.
Sepanjang melakukan tugas tersebut, pernah seekor lembu menggelengkan kepala kerana enggan menjadi haiwan korban, namun lembu itu tetap disembelih.
Selain itu, pernah berlaku lembu yang hendak dikorbankan terjatuh ke dalam longkang sehari sebelum Hari Raya Aidiladha. Lembu yang cedera parah itu bagaimanapun disembelih segera.
Menurutnya, terdapat juga orang memuji mutu sembelihan dengan berkata, daging lembu yang disembelih sedap rasanya.
Sebelum menyembelih, Mohamad Nazri menitikberatkan ketajaman pisau yang digunakan.
Batu asah

TUGAS menyembelih lembu satu tugas yang berat jika seseorang itu tidak mempunyai keberanian.- Gambar hiasan


Pisau atau alat sembelih yang digunakan perlulah benar-benar tajam bagi memotong seluruh halqum (saluran nafas) dan seluruh marih (saluran makanan dan minuman) haiwan korban.
Ia juga memudahkan tukang sembelih sendiri kerana pisau tersebut dapat digunakan berkali-kali terutamanya ketika korban yang memerlukan banyak haiwan perlu disembelih dalam satu-satu masa.
Mohamad Nazri kebiasaannya menggunakan dua bilah pisau yang diselitkan di pinggang iaitu satu pisau utama dan satu lagi pisau gantian.
Bagi memastikan setiap pisau yang digunakan tajam, dia menyediakan lima ketul batu pengasah dengan fungsi tersendiri.
Kelebihan Mohamad Nazri ialah dia mahir membuat ulu dan sarung pisaunya, manakala mata pisau yang dibeli juga mempunyai kriteria tertentu. Salah satu mata pisau miliknya berharga RM350 tidak termasuk harga ulu dan sarung.
Lain pula pengalaman yang dikongsikan oleh Imam Masjid Al-Najihin Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, Mohd. Abdul Aziz Mohamed. Kepada beliau menjadi tukang sembelih lembu bukanlah suatu tugas yang sukar.
Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mempelajari ilmu penyembelihan daripada rakan-rakan senior ketika menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir. Di negara tersebut, ramai kawan-kawannya menyembelih haiwan seperti biri-biri dan unta.
Belajar atas inisiatif sendiri, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu kemudiannya memerhatikan orang lain menyembelih biri-biri sebelum mencuba sendiri. Ketika itu beliau berumur 22 tahun.
Sejak itu dia tidak menoleh kebelakang dan sering dipelawa untuk melakukan tugas-tugas sembelihan termasuk apabila pulang di kampung halamannya.
Pikul amanah
Sebagai Ketua Pentadbir Masjid Al-Najihin Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, beliau bertanggungjawab membuat urusan pentadbiran termasuk tugas menyembelih.
"Bagi memudahkan urusan menyembelih lembu saya membeli sebilah pisau di Pulau Pinang pada harga RM300. Pisau ini tajam dan tidak perlu diasah selalu," katanya yang telah menyembelih lebih 50 ekor binatang.

NOOR AZZUDDIN menerima tempahan lembu, kambing dan biri-biri yang menggalakkan setiap kali tiba bulan Zulhijjah.


Mohd. Abdul Aziz berkata, menyembelih lembu atau kambing cukup berbeza jika dibanding dengan unta.
Menurutnya, unta tidak seagresif lembu. Haiwan itu disembelih ketika berdiri menggunakan pisau khas. Halkum unta dipegang sebelum disembelih.
Jelasnya, tugas sebagai tukang sembelih merupakan satu amanah kepada orang ramai.
"Sebagai tukang sembelih haiwan korban, kita tidak dibenarkan meminta upah atau menetapkan bahagian pada haiwan yang diingini kecuali ditetapkan oleh tuannya atau orang lain," tegasnya.
Ketibaan Hari Raya Aidiladha turut memberi rezeki tambahan kepada pengusaha-pengusaha ladang ternakan seperti Noor Azzuddin Abdul Aziz, Pengarah Urusan Gombak Agro Farm.
Sejak mengusahakan perniagaan bekalan kambing, biri-biri dan lembu untuk ibadah akikah dan korban 12 tahun lalu setiap tahun permintaannya sentiasa meningkat.
Menurut lelaki berusia 45 tahun itu, pada peringkat awal, ladang tersebut hanya menerima tempahan 30 ekor lembu sahaja. Angka itu bagaimanapun meningkat sehingga 500 ekor lembu, kambing dan biri-biri masing-masing untuk memenuhi keperluan ibadah korban sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
"Pada Hari Raya Aidiladha kami menggunakan khidmat empat tukang sembelih termasuk saya sendiri.
"Saya hanya sembelih 40 ekor lembu pada hari pertama dan 100 ekor kambing," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau terbabit sebagai tukang sembelih setelah membuka ladang tersebut dengan mempelajari kemahiran itu daripada kawan rapatnya.
Rakannya juga memesan supaya tidak sesekali meminta atau mengambil upah daripada pekerjaan tersebut.
"Saya rasa puas apabila dapat melaksanakan tugas menyembelih kerana kita memberi orang Islam makan daging yang halal.
"Kerja sebagai tukang sembelih tidaklah begitu sukar berbanding mereka yang memegang lembu," katanya yang menggalakkan generasi muda mempelajari ilmu menyembelih haiwan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: