Tuesday, October 2, 2012

Suami pukul isteri didakwa


AMANDA menunjukkan kesan kecederaan akibat perbuatan suaminya pada sidang akhbar di Ipoh pada September lalu.


IPOH – Seorang peniaga pakaian dan aksesori wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan memukul isterinya yang hamil dua bulan di sebuah butik milik pasangan itu di sini pada Ogos lalu.
Calven Chik Foo Keong membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Haslinda Raof selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Calven, 26, didakwa dengan niat mendatangkan kecederaan ke atas isterinya, Amanda Fong Kim Yen, 19, dengan memukul wanita itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang 23 Ogos lalu di butik milik pasangan itu di Amanda & Co., No. 30, Taman Ipoh Selatan di sini.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar.
Calven diwakili tiga peguam
iaitu Dexter Mah Koh Leong, Hassanuddin Mohd. Yusoff dan Nur Syaira Othman.
Majistret Haslinda menetapkan 31 Oktober depan bagi sebutan semula kes itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: