Monday, October 22, 2012

Rombong berdepan kepupusan

Amnah Abdullah menunjukkan rombong yang telah siap dianyam.
Anyaman Rombong adalah seni kraftangan terkenal di Melaka dalam menghasilkan bakul serbaguna daripada mengkuang.
Dahulu rombong digunakan untuk menyimpan pakaian dan barang kemas, namun pada hari ini ia dijadikan hiasan hantaran perkahwinan dan bakul hamper.
Bakul rombong boleh didapati dalam pelbagai saiz dan bentuk seperti bujur telur, potong wajik, tiga segi, empat segi dan bulat selain set susunan tiga atau lima pada bentuk yang sama tetapi berlainan saiz dengan motif-motif berteraskan alam semulajadi.
Seni ini sangat terkenal pada suatu ketika dahulu dalam kalangan kaum wanita di Melaka, namun difahamkan pada masa kini hanya tinggal lima wanita di Malaysia yang mampu menganyam rombong sekali gus seni kraftangan itu berdepan ancaman kepupusan.
Teknik menganyam yang sukar sehinggakan seni kraftangan ini turut dikenali sebagai 'anyaman gila' adalah antara punca ia tidak digemari untuk dipelajari kerana memerlukan kemahiran tangan, kesabaran dan ilham yang tinggi.
Proses pembuatan bakul rombong tidak jauh berbeza daripada membuat tikar mengkuang kecuali proses anyamannya memerlukan seseorang melakukan anyaman tiga lapis berbanding anyaman rata pada tikar mengkuang.
Peringkat awal melibatkan pemilihan dan pemotongan daun mengkuang dari jenis baik sebelum daun tersebut dilayur di atas bara api hingga kekuningan.
Proses melayur bagi menjadikan daun mengkuang lembut dan tahan lama di samping memudahkan proses seterusnya 'menjangka' iaitu memotong daun dengan bilah yang sama saiz menggunakan jangka (alat untuk membelah daun pandan atau mengkuang atau buluh menjadi helaian atau bilah yang lebih kecil mengikut lebar yang diperlukan).
Daun-daun tersebut kemudian digulung dalam satu ikatan untuk direndam dalam air selama dua hari.
Ketika rendaman, air akan ditukar sebanyak dua kali sehari bertujuan melunturkan warna asal daun.
Setelah direndam, daun-daun itu akan dijemur sehingga menjadi putih kekuningan bagi memudahkan proses melurut.
Daun-daun yang telah kering kemudian dicelup ke dalam pencelup warna mengikut kesesuaian reka corak rombong sebelum dikeringkan di bawah sinaran matahari.
Selepas itu, proses melurut dilakukan bagi menjadikan daun mengkuang cantik dan tetap kembang. Jika tidak dilakukan, daun akan menjadi keras dan sukar dianyam.
Proses menganyam bermula dengan membuat pusat belanak iaitu menganyam enam helai daun secara jelujur dan melintang serta helaian daun ditambah mengikut saiz rombong.
Seterusnya proses menaja dilakukan iaitu menganyam daun sehingga membentuk tapak sementara bingkai yang diperbuat daripada pelepah disisip ke tapak rombong untuk memperkuatkannya sebelum anyaman dinaikkan ke atas untuk membuat badan bakul.
Proses terakhir ialah menyisip dan mencolek bunga dengan alat penyisip sebelum tudung atau penutup rombong dianyam seperti bahagian badan rombong.
Penyambung warisan
Amnah Abdulla, 53, adalah satu-satunya wanita paling mahir dalam anyaman rombong yang diketahui masih ada pada masa kini.
Perkara itu diakui sendiri Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) cawangan Melaka yang telah menjalankan usaha mengesan penganyam rombong di seluruh negeri bersejarah itu.
Amnah, anak ketujuh daripada sembilan adik beradik, mula mempelajari seni anyaman rombong ketika berusia 12 tahun bagi membantu ibunya mencari rezeki selepas bapa beliau meninggal dunia.
Hanya beliau dan seorang kakaknya yang mahir menghasilkan rombong di dalam keluarganya.
Bagaimanpun, seni anyaman itu berkubur hampir 35 tahun selepas Amnah mendirikan rumahtangga dengan seorang nelayan, Md. Jali Berahim.
Namun kejadian kira-kira tiga tahun lepas membawa sinar harapan kepada seni kraftangan yang semakin dilupakan itu. Amnah yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nah ketika itu sedang menggoreng ikan sebagai juadah bagi keluarga sebelum dipanggil suaminya untuk menonton sebuah dokumentari mengenai rombong di televisyen.
"Suami saya yang mengetahui saya pandai menganyam rombong kemudian begitu bersungguh-sungguh mencari daun mengkuang bagi dijadikan bakul rombong," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Batu 7 1/4 Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka.
Ketika memegang daun mengkuang berkenaan, teknik menganyam rombong seolah-olah terbentang kembali di kepalanya.
Amnah berkata ketika asyik menghasilkan rombong selepas begitu lama meninggalkan seni itu, beliau didatangi anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang kebetulan berada di kampung berkenaan dan bertanyakan mengenai hasil kerja tangannya itu.
Ab Rahaman tertarik dengan rombong itu lalu memaklumkan akan membawa seni anyaman tersebut kepada pengetahuan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Melaka untuk dipelihara dan dikembangkan.
"Tidak lama kemudian Kraftangan Melaka menghubungi Mak Nah dan selepas itu rombong mula diperkenalkan kembali kepada rakyat Melaka dan Malaysia," kata ibu kepada empat orang anak itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: