Saturday, October 13, 2012

Rockaway Festival 2012 lebih rock


SEBAHAGIAN anggota band yang terlibat dalam Rockaway Festival 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada 20 September ini bergambar pada sesi sidang akhbar baru-baru ini.


TAHUN lalu kemuncak festival rock Rockaway dihangatkan dengan kemunculan band The Used mengubat rindu peminat mereka di pekarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Pada tahun ini pula, empat buah band antarabangsa diterbangkan khas buat peminat muzik rock, pop punk, heavy metal dan indiependent untuk festival yang sama.
Bagi memeriahkan Rockaway Festival 2012, Soulfly, MXPX All Stars, Unearth dan Set Your Goals bakal membuat persembahan dan bakal disertai dua buah kumpulan Pee Wee Gaskin dan Plainsunset masing-masing dari Indonesia dan Singapura.
Selain itu, barisan band rock tempatan seperti Go Gerila, Akta Angkasa, Guba, Gerhana Ska Cinta, Hujan, Love Me Butch, Bunkface, Massacre Conspiracy, The Padangs, Koffin Kanser dan Twilight Actiongirl akan turut sama terlibat sepanjang festival yang berlangsung pada 20 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang bermula pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.
Menurut Pengarah Urusan Livescape Sdn. Bhd., Iqbal Ameer, sebanyak 30 buah band akan menggegarkan pentas utama Rockaway Festival 2012 bersama buah tangan terbaharu.
“Setiap band yang bakal beraksi perlu memenuhi kriteria yang kami tetapkan sejak kali pertama penganjuran Rockaway Festival tiga tahun lalu iaitu mereka perlu mempunyai album atau single terbaharu untuk dipersembahkan.
“Sudah pasti kemeriahan festival tahun ini akan lebih bermakna dengan kehadiran empat buah band antarabangsa serta beberapa legenda rock tempatan,” katanya ketika sidang akhbar Rockaway Festival 2012 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, tambah pengarah bersama Rockaway Festival 2012, Rahul Kukreja, menjelang tarikh sebenar festival tersebut, pihaknya akan membawa muzik rock mendekati peminat-peminat di Kelantan, Johor dan Perak menerusi siri jelajah khas.
“Menerusi sedikit kajian berdasarkan tahun-tahun sebelum, kami mendapati pengikut irama rock turut tertumpu di beberapa kawasan lain selain Kuala Lumpur. Jadi kami membawakan muzik ini mendekati mereka,” tambahnya.
Tiga lokasi yang terlibat dengan jelajah tersebut adalah Hotel Rebana Kota Bharu, Kelantan (5 Oktober), Ipoh Rainhouse, Perak (6 Oktober) dan The Wall Johor Bahru, Johor (13 Oktober).
Peminat tegar muzik rock usah bimbang akan faktor pengangkutan sepanjang festival berlangsung kerana pihaknya akan menyediakan bas ulang-alik percuma untuk pemegang tiket dari KL Sentral ke Litar Antarabangsa Sepang.
Tiket sudah mula dijual dengan harga RM138 hingga RM178 beberapa rakan pengedar seperti Mukha Cafe, Mollydookers Coffee Bar dan Dolls Store sekitar Lembah Klang. Maklumat lanjut di www.rockawayfest.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: