|
JIKA wanita-wanita Afghanistan lain selesa membiarkan seluruh tubuh dibaluti jubah biru dan burqa ketika berada di luar rumah, seorang gadis berumur 23 tahun di negara Asia Selatan itu memilih untuk menentang arus.
Sosan Firooz selesa membiarkan rambut panjangnya mengurai melepasi bahu manakala kepalanya sekadar ditutupi dengan sehelai bandana bercorak tengkorak. Sehelai jaket berwarna terang dan jean lusuh pula menjadi penutup tubuhnya.
Bagi masyarakat tempatan yang masih utuh dengan pemikiran konservatif, penampilan itu dianggap sebagai satu tindakan yang tidak bermaruah.
Namun bagi Sosan, dia selesa memilih cara tersebut memandangkan kerjayanya sebagai seorang penyanyi rap. Sosan merupakan penyanyi hip hop wanita pertama Afghanistan.
Namanya mungkin masih belum dikenali, tetapi semangatnya berjaya memecahkan tabu masyarakat tempatan. Dia menyanyi untuk menyampaikan mesej yang terbuku dalam hati tentang wanita dan semangat patriotik.
Antara permulaan petikan bait lagunya yang berjudul Our Neighbours, berbunyi: “Dengarlah kisahku, dengarlah kesakitanku dan kesengsaraanku.”
Lirik tersebut merupakan sebahagian daripada luahan emosi Sosan tentang isi hatinya. Segalanya tentang iktibar daripada sejarah lampaunya yang suram.
Dia memilih untuk menyanyi bukan kerana suka-suka. Sosan pernah melalui hidup yang menyedihkan. Sekurang-kurangnya cara itu merupakan ekspresi dirinya untuk merayu kepada sebuah keamanan di Afghanistan.
Seluruh ahli keluarga Sosan terpaksa menjadi pelarian di Iran semasa dia masih kecil. Ketika itu perang saudara baru sahaja meletus dan kebangkitan rejim Taliban bermula pada 1996.
Sepanjang lima tahun menetap di Iran pada 1990-an mereka sekeluarga dipandang rendah. Mereka dianggap sebagai manusia kelas bawahan oleh masyarakat tempatan.

BUKAN sekadar menyampaikan mesej
buat wanita, Sosan turut menyeru warga Afghanistan mencintai negara
mereka dan bersatu melawan cabaran dalam lagu berentak rap yang
berjudul Our Neighbours.
Cium debu
“Saya masih ingat ketika kami berada di sana. Kami digelar sebagai ‘Afghan yang kotor’ dan disuruh beratur di barisan belakang ketika berada di kedai roti,” ujar Sosan.
Bagaimanapun Sosan dan keluarganya pulang ke kampung halamannya di Afghanistan sejak tujuh tahun lalu. Ketika itu ketika usianya baru 16 tahun.
Mesej yang disampaikan melalui lagu itu cukup mendalam. Ia tentang kata-kata semangat untuk seluruh warga Afghanistan. Katanya, walau apa pun yang berlaku, adalah lebih baik tinggal di negara sendiri. Jika tidak, mereka hanya boleh menjadi tukang cuci pinggan atau tukang cuci kereta.
“Mereka akan merindui tanah air. Mereka pasti mahu mencium debu Afghanistan. Apa kesudahannya jika warga Afghanistan menjadi pelarian di Iran dan Pakistan? Separuh daripada mereka adalah penagih dan sebahagian lagi menjadi pengganas,” dendang Sosan dalam nada hip hop. Lagu itu dinyanyikan dalam bahasa Dari, yang merupakan antara bahasa utama Afghanistan.
Lagu tersebut dimuat naik di laman sosial YouTube untuk tontonan seluruh dunia. Biarpun bukan menjadi klip video rasmi, ia tetap memaparkan gambar-gambar Sosan yang berani berpakaian ala hip-hop.
Selain itu, Sosan mahu menyampaikan isi hatinya tentang kehidupan wanita yang didakwa masih ditindas di negara dengan populasi 30 juta orang penduduk itu.
“Keganasan terhadap wanita masih lagi berlaku di sini terutamanya di kawasan pedalaman. Masih ada wanita yang direjam dengan batu di tempat awam apabila ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan lelaki.
“Kami mahu keadilan yang sewajarnya kepada wanita dan kanak-kanak,” kata Sosan menerusi lagu tersebut yang dirakamkan di sebuah studio di Kabul.
Tidak ketinggalan, dia bercerita mengenai peperangan yang tidak sudah-sudah di negara yang berkeluasan 647,500 kilometer persegi itu.
Dipulau jiran, keluarga
“Apabila peperangan bermula di negara kami, peluru, roket dan meriam mula berguguran. Pokok-pokok kami semuanya terbakar. Perang juga memaksa kami meninggalkan kampung.
“Kami meminta agar negara-negara jiran membiarkan kami hidup dengan aman,” ungkap Sosan dalam studio tersebut.
Kehidupan Sosan begitu daif. Dia menetap bersama keluarganya dalam sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat di kawasan miskin di selatan Kabul Utara.
Sebuah komputer lama digunakan untuk dia menulis nota muzik. Komputer tersebut sering tergendala. Mujurlah dia dihadiahkan dengan sebuah keyboard oleh seorang peminat. Sekurang-kurangnya mudah untuk dia berkarya.
Sosan tidak mempunyai banyak sumber kewangan. Sebab itulah dia tidak mampu menghasilkan klip video rasmi apatah lagi memasarkan album dalam bentuk cakera digital (CD).
Lagu tersebut merupakan ciptaan penyanyi dan komposer tempatan, Fared Rastagar. Dia juga merupakan pelarian perang yang baru sahaja pulang dari Jerman.
“Saya mengagumi Sosan kerana keberaniannya dan menghargai sepenuh sokongan daripada keluarganya.
“Budaya rap diperlukan di sini. Kita perlu membawa kelainan dalam hidup termasuklah dalam bidang muzik,” kata Fared jujur.
Pada awal bulan ini, Sosan telah membuat persembahan di sebuah festival muzik tiga hari di Kabul. Oleh kerana lelaki dan perempuan dilarang duduk bercampur di negara itu, Sosan terpaksa membuat persembahan sama selama dua hari.
Hari pertama untuk penonton wanita, manakala hari kedua adalah persembahan khas untuk peminat lelaki.
Bagaimanapun perjuangannya itu mendapat tentangan hebat. Hubungan saudara-maranya terputus manakala jiran tetangga bertindak memulaukan keluarganya. Bapa saudara Sosan turut memutuskan hubungan dengannya setelah melihat dia beraksi dan menyanyi di kaca televisyen.
Bapanya, Abdul Ghafar pula terpaksa terpaksa berhenti kerja sebagai seorang juruteknik elektrik di jabatan kerajaan semata-mata memberi sokongan penuh kepada Sosan.
![]() |
|
Sebelum Taliban berkuasa pada 1996, hanya sebahagian wanita sahaja yang mengenakan burqa ketika keluar rumah.
|
“Saya adalah pembantu peribadinya. Saya menjawab panggilan telefon dan saya juga menjadi pengawal keselamatannya di mana-mana sahaja.
“Apabila dia melangkah keluar rumah, sayalah yang akan menjadi peneman. Sepatutnya sebagai ibu bapa kita perlu memberi sokongan penuh kepada anak kita agar membantu mereka berkembang,” kata Abdul Ghafar.
Ibunya pula yang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di sebahagian kawasan pedalaman di Selatan Afghanistan.
Budaya rap dan hip-hop baru sahaja mula diterima oleh golongan muda di negara itu. selain Sosan, terdapat beberapa orang penyanyi rap lelaki. Antara yang popular termasuklah Bejan Zafarmal, 28, atau dikenali sebagai DJ Besho.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: