Wednesday, October 10, 2012

Polisi satu anak mencengkam China


POLISI satu anak yang dijalankan sejak berpuluh-puluh tahun kini mendatangkan kesan negatif kepada sistem sosial China.


KETIKA Wu Rui kematian anak perempuannya yang berumur 12 tahun, dia bukan sahaja kehilangan satu-satunya anak yang boleh dimiliki malah turut kehilangan sumber jaminan dan sokongannya pada usia emas nanti.
Kini, dalam usia 55 tahun, dia harus menjaga dirinya sendiri dan kedua-dua ibu bapanya yang sudah uzur. Mereka tinggal di sebuah rumah cabuk dua bilik berbekalkan wang pencen Wu yang tidak seberapa.
Kehidupan tiga beranak itu sentiasa dirundung ketakutan jika terdapat sebarang kecemasan berlaku pada salah seorang daripada mereka kerana Wu tidak mampu menampung kos perubatan yang mahal.
Polisi satu anak di China selalunya menyebabkan seseorang itu menyara keperluan ibu bapanya dan juga empat orang yang berstatus datuk dan nenek kepadanya.
Jika si anak itu mendapat kecelakaan lalu mati, kebajikan ibu bapa dan datuk serta neneknya terabai begitu sahaja.
Sejak polisi itu diambil pada tahun 1980, dianggarkan sejuta keluarga China telah kehilangan satu-satunya penyambung warisan mereka akibat kematian.
Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang, antara empat hingga tujuh juta keluarga di China dijangka mengalami nasib yang sama.
Ramai yang mengalami nasib seperti Wu dan tidak ada orang boleh membantunya melalui waktu-waktu kecemasan atau menampung kos perubatan ketika lanjut usia.
Wu bercerai pada tahun 1994 dan setahun kemudiannya dia kehilangan anak perempuan, Zhang Weina, yang menderita epilepsi.
Dia kini banyak menghabiskan masa di rumah, mengait baju sejuk dan menyediakan makanan di dapur rumah yang juga dijadikan tempat tidur buat ibunya yang berusia 76 tahun.
Ayahnya yang berusia 80 tahun semakin hilang deria pendengaran dan hanya mampu duduk di atas katil yang diletakkan dalam sebuah bilik sempit.
Cat dinding yang sudah retak dan cahaya suram daripada dua buah mentol melatari suasana rumah itu.
Bimbang berpindah
Selain masalah kesihatan, ketakutan terbesar Wu adalah rumahnya yang kecil dan murah itu bakal dirobohkan sama seperti perumahan lama Beijing yang lain.
Separuh daripada kawasan yang terletak di bahagian tengah kejiranan itu telahpun bertukar menjadi menara-menara moden.
Bila-bila masa sahaja mereka mungkin terpaksa berpindah ke pangsapuri yang lebih mahal, berbanding pencen bulanannya sebanyak 2,000 yuan (RM970).
Undang-undang kebangsaan 2001 mewajibkan kerajaan-kerajaan tempatan menyalurkan 'bantuan keperluan' kepada keluarga-keluarga yang kehilangan satu-satunya anak mereka. Begitupun, tiada perincian dilakukan.
Peraturan berbeza terjadi mengikut kawasan. Wilayah Sichuan membenarkan keluarga memohon untuk memiliki seorang lagi anak manakala di Shanghai, sejumlah wang yang tidak dinyatakan perlu dibayar untuk anak kedua.

BAYI lelaki masih menjadi dambaan banyak keluarga di China. - Gambar hiasan


"Peraturan sentiasa ada tetapi tidak membawa sebarang erti," kata ahli akademik yang berpusat di Amerika Syarikat, Yi Fuxian. Dia merupakan penulis Big Country in an Empty Nest, sebuah buku yang mengkritik polisi perancangan keluarga China.
Kira-kira 4.63 peratus keluarga satu anak di China dengan jumlah keseluruhan 218 juta dijangka kehilangan anak lelaki atau perempuan apabila mencecah usia 25 tahun, katanya memetik statistik rasmi.
Yi dan penyelidik demografi lain mendesak China membantu keluarga-keluarga itu sekali gus memansuhkan penetapan satu anak serta-merta.
Bagi mereka yang menyokong pula berkata, ia membantu masalah lebihan populasi dan mengurangkan bilangan rakyat China yang hidup dalam kemiskinan.
Menurut anggaran bancian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun 2050 nanti, 30 peratus penduduk China akan berusia 60 tahun dan lebih, berbanding 20 peratus di seluruh dunia.
Tanpa generasi muda, China tidak mempunyai ramai pewaris yang boleh memberi keperluan kepada orang tua atau pekerja dalam sistem keselamatan sosial kerajaan.
Namun begitu, Ketua Suruhanjaya Perancangan Keluarga dan Populasi Negeri, Li Bin memberitahu, China cenderung untuk mengekalkan dan memperbaiki langkah-langkah yang ada serta memahami keperluan yang dikehendaki oleh populasi warga tua.
Sekarang terdapat beberapa pengecualian pada peraturan satu anak iaitu melibatkan sesetengah petani yang melahirkan anak perempuan, pasangan yang berketurunan etnik minoriti dan ibu bapa yang juga merupakan anak tunggal dalam keluarga masing-masing.
Pihak berkuasa semakin dapat mengesan masalah-masalah yang terhasil daripada polisi satu anak apabila generasi pertama ibu bapa itu menginjak usia tua, kata profesor di Universiti Renmin, Beijing, Gu Baochang.
Dia memberi amaran, mereka sepatutnya bertindak bertahun-tahun dahulu kerana bahaya berkaitan demografi hanya dapat dilihat dengan peredaran masa.
Luahan hati
Seorang ibu yang kematian anak bercerita tentang kesedihannya dalam sebuah forum dalam talian untuk dikongsi dengan ibu bapa yang senasib dengannya.
"Semua keindahan terasa seperti direntap jauh, kegelapan awan dan malam menyembunyikan kesakitan yang tiada penghujung," katanya yang dipetik daripada forum itu.
Ibu bapa lain pula mengeluh dalam forum yang sama: "Kami mengikut arahan untuk mempunyai seorang anak. Mana penjagaan dan keprihatinan untuk kami? Tiada. Penyakit kanser, jantung dan otak selain tekanan serta penyakit serius lain datang menjengah.
"Tiada institusi yang mampu menangani masalah yang wujud, tiada satu jabatan yang bersimpati dengan kedukaan ini.
"Kami terperangkap dalam kesunyian, kepahitan dan keadaan yang tragik. Tiada seorangpun yang boleh kami berpaut."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: