'Abstrak Hingga Ke Bulan'
'Abstrak Hingga Ke Bulan'
Jika disebut nama 'Abstrak Hingga Ke Bulan' mungkin masih ramai yang belum mengetahui kewujudan kumpulan ini namun berbeza buat peminat muzik indie, yang mungkin sudah sinonim dengan karya mereka sebelum ini.
Pernah muncul dengan album pertama beberapa tahun lalu, namun entah di mana silapnya jenama dan karya kumpulan ini masih belum berjaya mendapat perhatian lebih meluas daripada peminat muzik tempatan.
Setelah empat tahun menyepi seketika, kini kumpulan yang pernah terkenal dengan lagu 'Cinta Ini Milik Kita' kembali membuat percaturan memeriahkan industri muzik tempatan.
Kemunculan mereka kali ini adalah untuk memperkenalkan anggota kumpulan yang baru iaitu Zarul Deeba (vokal), Fendi (kibod) dan Ikmal (drum).
Ketua kumpulannya, Zarul (gitaris) mengatakan walaupun beberapa anggota kumpulan telah berganti, mereka masih nekad mahu memperjuangkan muzik yang dibawa di bawah jenama yang sama.
"Saya dan Aretom (bass) masih lagi kekal dalam kumpulan ini. Kami masih terkenal dengan panggilan 'Abstrak' sama seperti dahulu.
"Cuma apa yang membezakan adalah penampilan ahli baru dan tetap  memandangkan sebelum ini kami terpaksa menggunakan pemuzik undangan," katanya.
Tambahnya, kehadiran Deeba selaku penyanyi utama sedikit sebanyak beri suntikan baru buat kumpulan ini untuk tampil lebih bertenaga.
"Kemunculan Deeba adalah kelebihan buat kami tambahan pula dia memiliki vokal yang tersendiri serta imej yang lebih segar," katanya.
Buah tangan baru

Apa yang menariknya mengenai kemunculan mereka kali ini, selain memperkenalkan anggota terbaru, Abstrak turut mengumumkan kemunculan buah tangan mereka berjudul 'Tik Tik'.
Kata Zarul, 'Tik Tik' adalah merupakan album ke dua mereka sejak kumpulan itu ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu.
"Album ini telah memuatkan sebanyak 12 buah lagu di mana ia mengandungi lapan buah lagu berbahasa Melayu dan selebihnya berbahasa Inggeris.
"Hala tuju muzik Abstrak masih sama macam dulu. Ia dicantikkan dengan elemen tambahan seperti horn dan string section serta synthesizer,” tambah Zarul.
Apabila ditanya mengenai pengalaman menghasilkan album tersebut, Zarul mengatakan ia menjalani rakaman di tiga buah studio yang berbeza manakala sebahagian daripadanya telah dirakamkan di dalam sebuah chalet di Janda Baik.
"Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini terbahagi kepada dua bahagian. Sebahagian dibuat khusus mengikut kehendak peminat dan sebahagian lagi dibuat mengikut kehendak ahli-ahli Abstrak," jelasnya.
Di samping tu, Zarul mengatakan melalui album kali, mereka turut melakukan banyak kolaborasi bersama artis-artis tempatan seperti Samier, Altimet, Zaid AF & Radhi OAG.
Sambutan baik

Menyentuh mengenai sambutan album terbaru mereka, Zarul menjelaskan sebelum mereka berjaya mengeluarkan album tersebut sebenarnya Abstrak telah pun tampil dengan sebuah album single.
Menurutnya, single yang mengandungi tiga buah lagu itu berjaya mendapat respons yang baik daripada pendengar.
"Kami bersyukur album tersebut berjaya mendapat respons yang baik di kalangan pendengar muzik tempatan, khususnya yang meminati alternatif rock.
“Dalam tempoh beberapa bulan je, kami berjaya menjual sebanyak 200 keping CD tersebut malah lagu-lagu yang yang ada turut berjaya dimainkan di Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura,” tambahnya lagi.