Saturday, October 27, 2012

Pengganti Z750



AKHIR tahun 1960-an menyaksikan corak peralihan pembangunan enjin dua lejang kepada empat lejang oleh beberapa syarikat pengeluar motosikal di Jepun.
Mengikuti arah aliran semasa pada ketika itu, Kawasaki Heavy Industries Ltd. (KHI) mula menyusun langkah bagi membangunkan motosikal empat lejang iaitu N600.
Projek yang diketuai oleh Sam Tanegashima itu berjaya menyiapkan jentera berkenaan pada bulan Oktober 1968. Ia dipercayai bakal mencipta sejarah dalam industri motosikal global.
N600 dipasang enjin sejukan udara DOHC empat silinder sebaris bersesaran 750cc dan menanti masa untuk memasuki barisan pengeluaran dalam skala besar-besaran.

Reka bentuk model Z800 diberi penelitian rapi agar kelihatan agresif atas jalan.


Hasrat KHI untuk mengejutkan dunia pemotoran terbantut apabila mengetahui pesaing senegara iaitu Honda sudah mendahului kejutan di Tokyo Motor Show pada tahun sama (1968).
Honda memperkenalkan model CB750 Four berkapasiti 750cc. Kejayaan Honda mendahului pengenalan produk itu membuatkan pasukan projek N600 kembali ke meja rundingan untuk mengatur strategi baharu.
Enam tahun kemudian, pasukan projek itu tampil dengan pengenalan Kawasaki Z1. Itulah motosikal sport pertama dunia yang dihasilkan secara besar-besaran.
Kawasaki Z1 dipasang enjin DOHC empat silinder sebaris bersesaran 903cc dan kotak gear lima kelajuan.
Lebih menarik lagi, pelumba Reg Pridmore memenangi kejuaraan perlumbaan AMA Superbike di Pocono Raceway di Amerika Syarikat pada tahun 1977 dengan menunggang model Z1.
Kejayaan itu meletakkan jenama Kawasaki sebagai motosikal pertama keluaran Jepun memenangi kejuaraan AMA Superbike.
Ahli keluarga Z mula berkembang menerusi pengenalan beberapa model baharu termasuklah Z1-R pada 1977 dan model Z1300 (1978).
Kawasaki Z1100GP pula muncul pada 1981, sebelum disusuli model Z1000R (1982), Z1000 (2003, 2007 dan 2010) serta Z750 (2004, 2007 dan 2011). Model terbaharu ialah Z800, pengganti kepada Z750.
Tepat pada masanya.

MUKHRIZ (dua dari kiri) dan Takata (kanan) melancarkan dua model baharu Kawasaki sambil disaksikan oleh barisan pengurusan tertinggi KHI dan Kawasaki Malaysia di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Di pasaran Malaysia, model Z800 diperkenalkan oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) sewaktu majlis Makan Malam Gala Kawasaki di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Z800 yang berwajah agresif dipasang enjin baharu bersesaran 806cc. Pereka motosikal itu juga mengadun huruf ‘Z’ pada aspek rekaannya. Antaranya pada lampu belakang, tangki minyak dan tempat duduk.
Kemasukan model naked itu boleh dikatakan tepat pada masanya memandangkan kedudukan dan prestasi jualan semasa Kawasaki Malaysia.
“Sejak sembilan bulan pertama tahun ini, Kawasaki Malaysia sudah menguasai 50 peratus pasaran motosikal berkapasiti 500cc ke atas,” kata Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim Chee Sing.
Apa yang paling mengejutkan adalah harga Z800. Untuk sebuah jentera berkuasa begitu, harga sekitar RM48,000 boleh dianggap sebagai cukup berpatutan. Pengenalan harga itu berikutan Z800 merupakan produk pemasangan tempatan (CKD) ASEAN yang dipasang di Thailand.
Saiz pasaran motosikal berkapasiti 500cc ke atas tidaklah begitu besar di Malaysia. Kategori berkenaan hanya merangkumi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV).

INFORMASI dipamerkan menerusi instrumen meter digital.


TIV tahun lalu adalah sebanyak 540,000 unit dan angka itu dijangka meningkat kepada 600,000 menjelang akhir tahun ini.
Biarpun volum jualan motosikal Malaysia masih kecil, ia berpotensi untuk berkembang bersama dua negara ASEAN lain iaitu Indonesia dan Thailand.
Perkara itu diakui oleh Presiden Motorcycle & Engine Company KHI, Hiroshi Takata. Namun tiada angka atau peratusan peningkatan didedahkan.
Sebagai persiapan awal, kapasiti pengeluaran kilang Kawasaki Malaysia di Shah Alam, Selangor tersenarai untuk dinaik taraf.
Takata berkata, dalam tempoh tiga tahun akan datang, jumlah pengeluaran akan ditingkatkan kepada 40,000 unit. Kadar semasa ialah 15,000 unit sahaja.
Jika itu berlaku, sudah pasti lebih banyak model bakal dipasang secara tempatan dan pilihan motosikal pastinya bertambah. Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman terbaharu daripada Kawasaki Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: