
TIGA daripada empat anggota Soulfly
yang hadir pada sidang akhbar bersama media tempatan di Kuala Lumpur
baru-baru ini, (dari kiri), Marc Rizzo, Max Cavalera dan Tony Campos.
PEMINAT tegar muzik heavy metal pasti mengenali kumpulan dari Amerika Syarikat, Soulfly yang memulakan perjalanan karier kumpulan mereka sejak 1997 lagi.
Mengimbas sejarah Soulfly, ia ditubuhkan dan diterajui oleh bekas vokalis kumpulan Sepultura, Max Cavalera selepas dia meninggalkan kumpulan tersebut pada tahun 1996.
Sejak 15 tahun lalu, sudah banyak negara Eropah yang dijelajahi kumpulan heavy metal ini.
Bukan sahaja peminat mereka yang teruja menyaksikan persembahan mereka pada konsert Rockaway Festival 2012 Sabtu lepas, namun ahli kumpulan ini sendiri meluahkan keterujaan mereka berada di Malaysia.
“Ini pertama kali kami sampai ke Malaysia, dan sejujurnya, kami sangat teruja dan gembira dapat berada di sini. Kami baru pulang dari siri jelajah Eropah selama dua bulan, dan kami akan berikan yang terbaik kepada peminat di Malaysia.
“Kami juga tidak sabar untuk menggegarkan pentas Rockaway Festival esok ( Sabtu, 20 Oktober),” tutur Max ketika sesi temu ramah bersama kumpulan Soulfly yang bertempat di Hotel Double Tree, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sehari sebelum konsert berlangsung.
Sepanjang bergelar sebuah kumpulan selama 15 tahun, Soulfly telah pun menghasilkan sebanyak lapan album studio termasuk album baharu yang kini sedang giat dipromosi yang berjudul Enslaved.
Album tersebut telah dilancarkan pada bulan Mac lepas.
Apa yang menarik, anggota kumpulan Soulfly tidak pernah kekal dan sering bersilih ganti.
Buat masa ini, anggota kumpulan Soulfly terdiri daripada Marc Rizzo, Tony Campos, David Kinkad dan Max Cavalera sendiri.
“Bukannya setiap kali melancarkan album baharu, Soulfly akan bertukar anggota. Sebenarnya, itulah keunikan Soulfly.
“Mereka semuanya bagus dan ia dianggap sebagai kelebihan kerana setiap kali Soulfly punya anggota kumpulan baharu, kami akan dapat kumpulkan idea segar dan berbeza.
“Kami nampak bagaimana progres penghasilan album dan ia sangat mengujakan kami.
“Bagi saya, ia pengalaman membuat rakaman yang paling menyeronokkan sepanjang bersama Soulfly, kerana studio penuh dengan tenaga,” jelas Max ketika ditebak persoalan tentang kesukaran menyesuaikan diri bersama anggota kumpulan baharu Soulfly.
Berbicara mengenai kandungan serta konsep album Soulfly kali ini, apa yang dilihat, kumpulan ini sekali lagi menggunakan konsep penghambaan seperti mana album terdahulu mereka.
Tutur Max, sepanjang menghasilkan album, dia antara tunjang yang banyak mengeluarkan idea mengenai konsep dan kandungan album.
“Saya sering mengeluarkan idea, dan kali ini saya seperti telah kekeringan idea setelah menghasilkan tujuh album Soulfly.
“Namun, saat itu juga timbul idea untuk saya menggunakan semula idea album pada tahun 1998 iaitu album pertama Soulfly yang juga mempunyai judul yang serupa.
“Saya memang berminat dengan sejarah dan dengan itu saya menulis tentang gladiator dan roman. Ia juga merupakan sebuah heavy metal dan konsep keseluruhan ialah mengenai penghambaan,” akhiri Max.
Walaupun Soulfly merupakan sebuah kumpulan heavy metal namun, muzik yang mereka hasilkan pernah dipengaruhi elemen muzik negara Brazil dan Afrika, selain irama beat dan juga metal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: